suria

“Jadilah kambing yang sedap dimakan” - Lelaki ini bela kambing ikut zaman! Nama macam manusia, sesi borak live TikTok tak pernah sunyi

Azroy mengusahakan ladang penternakan kambing sejak lima tahun lalu.

KAMBING-kambing yang dibela di ladang penternakan ini diberi pelbagai nama yang unik oleh pemiliknya.

Antara nama yang menjadi pilihan termasuklah Aiman, Zubir, Suzana, Rokiah, Nurul Huda, Hanafi dan banyak lagi.

Menurut Azroy Abdul Manaf, 38, nama-nama itu diberi secara spontan, namun ia ternyata membawa perbezaan buat haiwan ternakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ini belajar hartanah, kerja ternak arnab! Kongsi kisah Jenny dan Poppy tak pandai mengembek tapi bawa tuah - “Bisnes arnab, kambing dapat nama”

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan viral di mStar, peniaga kambing bakar tak menang tangan terima tempahan... ramai ikut jejak bersedekah - “Rezeki Allah balas balik”

"Nama-nama kambing saya beri secara spontan. Kalau kita panggil dengan gelaran kambing, ia tak akan menyahut. Suatu hari, saya panggil dengan nama manusia, terus kambing menoleh.

"Jadi saya buat keputusan untuk namakan semua kambing saya. Setiap kali dipanggil, Alhamdulillah, ia akan menoleh dan beri respon kepada saya.

"Selain itu, ada juga pengikut media sosial yang beri cadangan nama untuk kambing-kambing saya," ujarnya yang mengusahakan ladang ternakan Temasek Agro di Batu 9, Gombak, Selangor.

Menurut penternak yang senang disapa Azroy itu, ladang miliknya sudah diusahakan sejak lima tahun lalu.

azroy3

Kambing-kambing belaan Azroy diberi pelbagai nama dan gelaran.

Setakat kiraan pada 7 Januari 2022, terdapat 257 ekor kambing di ladang tersebut yang mana ia secara berkala akan disalurkan kepada pelanggan yang terdiri daripada orang persendirian, pengusaha restoran, katering dan sebagainya.

"Kami kemas kini stok setiap bulan. Setakat ini, ada 257 ekor kambing dan biri-biri. Selain dibeli untuk aqiqah dan korban, kami juga supply kambing hidup kepada penternak yang lain.

Saya juga selalu bercakap dengan kambing. Saya pesan supaya mereka jadi kambing yang sedap dimakan.

AZROY

"Ada juga pengusaha katering, pengusaha kambing perap serta orang persendirian yang beli kambing untuk kenduri dan sebagainya.

"Ada yang beli kambing hidup, ada yang minta disembelih dan dipotong siap, kami jual ikut permintaan," ujarnya yang dibantu dua adik serta dua lagi pekerja.

Jika dahulunya Azroy banyak berkongsi mengenai kambing-kambingnya di Facebook, dia mula beralih ke platform TikTok pada Oktober tahun lalu dan berjaya meraih lebih 130,000 pengikut dalam tempoh singkat.

Lebih menggembirakan, video-video keletah menghiburkan Azroy dengan kambing-kambing ternakannya turut mencuri perhatian netizen sehingga meraih jutaan tontonan di platform berkenaan.

azroy2

Ladang ternakan Azroy terletak di Gombak, Selangor.

"Sebenarnya saya memang terharu dapat raih ramai followers dalam tempoh singkat. Melalui TikTok, sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan mengenai ladang ini. Malah, ia turut membawa pelanggan-pelanggan baharu buat kami.

"Disebabkan TikTok, ada individu dari Johor nak beli kambing dengan saya, sedangkan di sana pun memang ada orang jual kambing. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang beri sokongan.

"Setiap hari jam 9 pagi, 12 tengah hari dan 5 petang saya akan buat live di TiKTok, untuk tunjuk sesi beri makan kepada kambing. Agak mengejutkan kerana ia meraih puluhan ribu tontonan.

"Sebagai penghargaan, saya juga jemput 80 followers terpilih dari serata Malaysia untuk datang makan kambing golek di ladang saya pada ambang Tahun Baharu, baru-baru ini," jelas Azroy lagi.

azroy4

Gelagat kambing di ladang ternakan itu banyak dikongsi melalui TikTok.

Mengenai kehidupan sehariannya, Azroy mengakui dia mengabiskan sekitar 12 jam untuk menguruskan semua haiwan ternakan di ladang tersebut.

Selain pemeriksaan kesihatan, pemberian makanan serta pembersihan kandang, Azroy percaya komunikasi yang bagus juga dapat memberi impak positif buat haiwan-haiwan tersebut.

"Sesiapa yang nak masuk bidang ini, mereka kena beri komitmen penuh. Saya bermula 7 pagi dan akan berakhir 7 petang. Seharian di kandang. Pada saya, kita jangan buat kandang seperti kandang, sebaliknya anggap ia seperti rumah. Kena sentiasa bersih, biar selesa orang nak datang.

"Saya juga selalu bercakap dengan kambing. Saya pesan supaya mereka jadilah kambing yang sedap dimakan. Aktiviti bercakap dengan kambing yang saya kongsi di TikTok turut menjadi punca followers meningkat, mereka suka tengok video begitu," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain