suria

Menara KL terapung, Menara Alor Setar terputus... apa sudah jadi? - “Memang nak bagi nampak tak logik”

Karya manipulasi foto oleh Zairul meraih perhatian ramai netizen.

KREATIVITI yang dipamerkan jejaka ini dalam penghasilan karya manipulasi foto ternyata meraih perhatian ramai.

Mana tidaknya, video-video penghasilan karya tersebut turut meraih sehingga jutaan tontonan dalam tempoh yang cukup singkat.

Antara yang menarik tentunya foto binaan ikonik di Malaysia seperti Menara Kuala Lumpur, Menara Alor Setar serta Bangunan Sultan Abdul Samad yang diubah sehingga kelihatan berbeza daripada rekaan asal.

ARTIKEL BERKAITAN: Pereka grafik balik kampung tolong keluarga jual sate, tak sangka main TikTok tambah rezeki

ARTIKEL BERKAITAN: Pereka grafik wanita ini rela tinggalkan kehidupan kota, balik Teluk Intan jadi petani

Dalam suntingan tersebut, sebahagian binaan Menara KL misalnya, kelihatan seolah-olah terapung di udara, manakala Menara Alor Setar bagaikan terputus daripada struktur asalnya.

Bercakap kepada mStar, empunya badan yang hanya mahu dikenali sebagai The Zairul mendedahkan dia sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang rekaan grafik.

Menurut jejaka berusia 33 tahun itu, segala karya kreatif yang dikongsi di media sosial merupakan hobi semata-mata demi mencari kepuasan untuk diri sendiri.

"Saya memang kerja dalam bidang ini. Dah 10 tahun saya bekerja sebagai pereka grafik. Photo manipulation yang saya buat ini hanyalah hobi masa lapang.

"Ditambah pula dengan situasi pandemik Covid-19, jadi saya ada banyak masa lapang. Akhirnya saya mula aktif berkongsi hasil karya menerusi TikTok bermula September 2021.

zairul5

Hasil karya Zairul meraih perhatian ramai di TikTok.

"Tapi saya sekadar buat saja. Saya tidak ada sebarang persiapan untuk content-content seterusnya. Tiba-tiba dapat perhatian, jadi ramai pula yang tertunggu-tunggu," ujarnya berseloroh.

Senang disapa Zairul, dia juga terharu apabila akaun TikTok tersebut meraih hampir 50,000 pengikut dalam tempoh singkat.

Ada orang cakap gambar saya nampak tak logik. Memang nak bagi nampak tak logik pun.

ZAIRUL

Selain kagum dengan kreativitinya, ramai netizen turut meminta Zairul menghasilkan video tutorial untuk mereka ikut sama mempelajari teknik manipulasi foto.

"Ramai yang minta buat tutorial. Saya nak ajar, tapi tak pandai nak mengajar. Saya dah buat satu saluran YouTube sejak bulan lepas, InsyaAllah saya akan kongsikan menerusi platform itu.

"Pada saya, kalau betul nak belajar, mesti kena ada minat. Kedua, kena banyak buat research. Kemudiannya, kita boleh rujuk gambar-gambar yang dihasilkan orang lain.

zairul4

Zairul sudah 10 tahun bekerja sebagai pereka grafik.

"Saya sendiri belajar asas saja ketika di kolej, selebihnya saya belajar di YouTube. Banyak ilmu percuma dalam internet.

"Ketika awal-awal, saya juga melalui fasa sukar. Buat photo manipulation tapi tak jadi, down tengok hasil karya orang. Tapi begitulah prosesnya, kita mencuba sampai ia berhasil," ujarnya yang menetap di Kuala Lumpur.

Kata Zairul, ada juga yang berpendapat bahawa foto-foto yang dihasilkannya kelihatan tidak logik dan tidak masuk akal.

zairul3

Antara foto yang dikongsi di Instagram miliknya.

"Ada orang cakap gambar saya nampak tak logik. Memang nak bagi nampak tak logik pun. Kalau nak tengok sesuatu yang tak logik, boleh datang ke Instagram dan TikTok saya.

"Kalau nak tengok gambar yang logik, itu kita dah tengok setiap hari. Memang niatnya nak bagi nampak tak logik. Saya rasa di Malaysia masih tak ramai yang buat photo manipulation. Saya rasa kita perlu beri lebih pendedahan.

"Saya juga sengaja buat photo manipulation bangunan-bangunan di Malaysia untuk tarik perhatian orang ramai. Ia merupakan mercu tanda negara kita. Tapi ramai juga yang menyangka saya bukan orang Malaysia," ujarnya lagi.

zairul6

Antara binaan ikonik negara yang mendapat sentuhan kreatif pereka grafik itu.

Selain karya manipulasi foto, Zairul turut berkongsi hasil-hasil fotografi menerusi akaun TikTok miliknya.

Namun kata Zairul, dia bukanlah seorang jurufoto, sebaliknya sekadar mempunyai minat mendalam terhadap cabang seni itu.

Untuk rekod, Zairul merupakan graduan bidang Rekaan Grafik dari Kolej PTPL Sentral, Kuala Lumpur yang menamatkan pengajiannya pada tahun 2012.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain