suria

‘Pakar bedah daun’ kongsi emosi ukir potret Rayan, 2 jam mengukir hanya bayang kesedihan dan ketakutan

Muhammad Hafizi sayu memegang ukiran daun potret Allahyarham Rayan.

MASYARAKAT dunia meratapi kematian Rayan Oram, seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang terjatuh dan terperangkap selama lima hari di dalam perigi sedalam 32 meter di Maghribi, pada Ahad.

Selain berkongsi kesedihan, rakyat Malaysia juga tidak putus-putus membanjiri media sosial menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Rayan.

Turut terkesan dengan insiden menyayat hati itu adalah seorang pemuda yang berbakat mengukir daun dengan menghasilkan potret Allahyarham Rayan.

ARTIKEL BERKAITAN: Takziah... kanak-kanak 5 tahun jatuh perigi sedalam 32 meter disahkan meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pakar bedah daun' akhirnya bertemu Tun M, bersengkang mata sampai pukul 2.30 pagi hasilkan satu lagi buah tangan

Pelukis berusia 31 tahun itu, Muhammad Hafizi Abdul Karim berkata, dia juga mengikuti kisah Rayan dan berharap kanak-kanak itu dapat dikeluarkan dengan selamat.

"Mulanya saya gembira apabila adik Rayan berjaya dikeluarkan, tapi terkejut apabila dapat tahu dia kembali kepada Ilahi selepas beberapa minit dikeluarkan.

"Kita semua dikejutkan dengan pemergian adik Rayan, sekali gus membuatkan ramai yang berduka," katanya kepada mStar.

potret rayan 6

Kematian Rayan menyentuh emosi masyarakat dunia.

Melabelkan dirinya sebagai 'pakar daun', pemuda dari Sungai Petani, Kedah itu menerima permintaan daripada pengikutnya di laman sosial supaya membuat ukiran daun memaparkan potret Rayan.

"Jadi, saya terus melakukannya sebaik mendapat request tersebut dan mengambil masa dua jam untuk menyiapkannya," ujarnya yang lebih dikenali sebagai Eiji.

Sebagai seorang ayah, saya mendalami perasaan anak dan ibu bapa sebagaimana yang dilalui oleh ibu bapa Rayan

MUHAMMAD HAFIZI ABDUL KARIM

Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sayunya bapa kepada dua cahaya mata itu sewaktu mengukir daun potret arwah Rayan.

"Ketika mengukir potret Rayan, saya membayangkan ketakutan dan kesedihan kanak-kanak yang keseorangan selama lima hari sedalam 32 meter di dalam tanah.

"Tak terbayang perasaan arwah. Sebagai seorang ayah, saya mendalami perasaan anak dan ibu bapa sebagaimana yang dilalui oleh ibu bapa Rayan," kata Muhammad Hafizi yang mempunyai dua anak perempuan, masing-masing berusia tiga tahun dan tiga bulan.

potret rayan 7

Muhammad Hafizi menunjukkan daun potret Rayan yang telah dibingkaikan.

Video pembikinan ukiran daun dengan potret Rayan yang dimuat naik Muhammad Hafizi di aplikasi TikTok sejak Ahad meraih lebih 14 juta tontonan.

Muhammad Hafizi sebelum ini pernah tular apabila menghasilkan ukiran daun bagi potret Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga berpeluang menyerahkan sendiri hasil seni berkenaan kepada bekas perdana menteri itu.

Selain Dr Mahathir, antara potret yang diukirnya di atas daun adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew; Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee; dan pelakon Shukri Yahaya dan Hannah Delisha.

potret rayan 3

Muhammad Hafizi sebelum ini menyerahkan ukiran daun potret Dr Mahathir kepada bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, usaha menyelamatkan Rayan yang terperangkap selepas terjatuh dalam perigi berhampiran rumah keluarganya di perkampungan Inghrane wilayah Chefchaouen sejak Selasa lalu menyentuh hati masyarakat dunia.

Bagaimanapun, usaha itu berakhir selepas pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus melaksanakan kerja menggali, menemui Rayan di dasar perigi terbabit dan disahkan meninggal dunia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain