suria

Anak mengaku tak fikir panjang, dedah cerita sebenar di sebalik perkongsian video TikTok sebelah jenazah bapa

Tangkap layar video menunjukkan tiga beradik membuat video bersebelahan jenazah bapa mereka.

SUSULAN video mengikut trend media sosial 'sebelum dan selepas' yang memaparkan aksi tiga beradik bersama jenazah bapa mereka, salah seorang anak mengakui kekhilafannya memuat naik video berkenaan.

Bercakap kepada mStar, dia yang hanya mahu dikenali sebagai Bella berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir Jumaat malam lalu akibat kanser limfoma tahap empat pada usia 58 tahun.

Bella yang berusia 30 tahun mengakui video yang dimuat naik menerusi akaun TikToknya dipengaruhi emosi yang tidak terkawal kerana pemergian bapa tercinta.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa baru meninggal, 3 beradik sempat buat video trend TikTok sebelah jenazah - "Aku tak boleh brain..."

Menurutnya, video itu sekadar untuk mengimbas kembali kenangan mereka adik-beradik bersama arwah bapa.

"Hanya saya seorang berada di Kuala Lumpur, manakala adik-beradik lain di Johor. Selama dua tahun PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) susah nak jumpa papa (panggilan bapa).

"Kali terakhir saya jumpa papa pada Oktober tahun lalu, yang sempat dirakamkan dalam bahagian video 'sebelum'. Bahagian 'selepas' di bilik jenazah itu untuk menunjukkan momen 'flashback' kami sewaktu meluangkan masa bersama papa.

"Moment 'flashback', sebab susun atur kami adik beradik sewaktu itu sama seperti video terakhir bersama arwah papa. Video terakhir arwah papa pun, papa yang nak menyelit secara tiba-tiba dengan anak-anaknya.

"Bila semua dalam keadaan emosi dan sentimental kerana terlalu sedih, ia dimuat naik tanpa berfikir panjang," katanya ketika dihubungi.

trend tiktok jenazah ayah 3

Tangkap layar video yang dikatakan mengikut trend media sosial 'sebelum dan selepas'.

Bella yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu menafikan video berkenaan dibuat untuk tujuan 'content' di media sosial, jauh sekali mengaitkannya dengan motif pemasaran bisnes.

"Kami bukan nak kejar content, bukan juga buat marketing. Sekadar untuk mengingatkan kepada semua, hargai ibu bapa sementara mereka masih ada, tanyalah khabar mereka sebab kita tak tahu bilakah hari terakhir kita dapat jumpa atau bercakap dengan mereka.

"Ia sekadar video untuk kenangan terakhir bersama papa dan dikongsi supaya kita semua menghargai mak ayah selagi mereka masih ada," katanya sambil menambah bapanya menghidap kanser limfoma sejak 2017.

Sekadar untuk mengingatkan kepada semua, hargai ibu bapa sementara mereka masih ada, tanyalah khabar mereka sebab kita tak tahu bilakah hari terakhir kita dapat jumpa atau bercakap dengan mereka.

BELLA

Sehubungan itu, Bella yang mengusahakan sebuah restoran meminta semua pihak tidak menghakimi mereka tanpa usul periksa.

"Kalau ada yang kata kami gembira buat video tu, sebenarnya kami sangat sedih, dah tak larat nak menangis.

"Sengsara menanti papa bangun di ICU (unit rawatan rapi) selama 33 hari, setiap hari kami berdoa agar ada keajaiban daripada Allah diberi peluang terakhir untuk salam, cium dan peluk papa tapi kami reda papa pergi.

"Kami terima teguran orang ramai dan telah pun memadamkan video tu. Kami mohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki," katanya.

Sementara itu, adik bongsu Bella yang hanya mahu dikenali Sofea, 22, berkata, mereka sekeluarga sudah cukup terkesan dengan kehilangan bapa.

"Ia sekadar video biasa dan bukannya kami pasang lagu ketika jenazah ada di sebelah. Kami juga tak tunjuk wajah papa selepas jenazah dimandikan.

"Walau apa pun, hentikanlah menyebarkan video berkenaan sebab kami pun dah padam video tu. Doakan kami yang baik-baik terutama arwah papa,” katanya yang menafikan dirinya memakai baju lengan pendek sebagaimana yang dilihat di dalam video, sebaliknya menyinsingkan lengan baju selepas proses mandi jenazah.

komen trend jenazah ayah compile B

Antara komen-komen netizen berhubung video yang tular.

Terdahulu, mStar melaporkan tentang penularan video berdurasi 18 saat menunjukkan rakaman 'sebelum' pada Oktober 2021 dengan tiga beradik menari ketika duduk dan bapa mereka berdiri di belakang.

Ia disusuli rakaman 'selepas' iaitu pada Februari 2022 di mana ketiga-tiga mereka memakai tudung dengan kedudukan sama, namun kali ini berdiri bersebelahan dengan jenazah bapa.

Di akhir video, ketiga-tiga mereka kemudian berpaling ke arah jenazah yang ditutupi dengan kain kapan.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Januari 2021 memberi penjelasan berhubung pertanyaan tentang menyebar video orang yang telah meninggal dunia yang dirakamkan bagi tujuan kenang-kenangan dan dikongsi di media sosial.

"Tidak sepatutnya bagi seseorang muslim itu menyebar video atau gambar si mati di dalam media sosial atau kepada masyarakat umum. Ini kerana ia bertentangan dengan etika dan akhlak bagi seorang muslim.

"Selain itu, perbuatan itu juga boleh mengundangkan kepada fitnah dan perasaan tidak selesa terhadap keluarga si mati. Bahkan ia juga perlu dihentikan daripada terus tersebar dengan kadar segera,” menurut penjelasan 'Irsyad Al-Fatwa Siri Ke 540: Hukum Merakam Video Orang Yang Meninggal Dunia?'

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain