suria

Luar kedai hardware, masuk dalam kata-kata hikmah di dinding menusuk kalbu... terbaik cara Uncle Yap pupuk semangat Keluarga Malaysia!

Kiri Uncle Yap di kedai hardware, kanan kata-kata hikmah di dinding. foto Twitter The_UglyOrgan

SEBUAH kedai hardware di Lanchang, Pahang mungkin biasa-biasa jika dilihat dari luar, dan hanya dikunjungi dengan satu tujuan – membeli peralatan atau perkakasan.

Namun siapa sangka sebaik melangkah masuk ke kedai ini, satu bahagian dindingnya akan membuatkan anda terpesona.

Bukan kata-kata romantis, sebaliknya kata-kata hikmah memberi inspirasi dan antaranya membawa maksud ke arah perpaduan.

ARTIKEL BERKAITAN: Uncle Cina bantu pelajar UiTM terima ganjaran, tempias ke siswi juga - "Cadang nak sedekah tolong kawan-kawan susah"

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis solat atas rumput tepi jalan, uncle Cina bawa Grab sanggup tunggu, "Kereta dia bersih, wangi... macam hatinya sebab respek kami"

Hanya ditulis menggunakan pen marker warna merah, namun kesannya cukup mendalam sehingga terdetik hati betapa bangganya dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.

uncle yap mainpic 2

Sebuah kedai hardware yang sentiasa menerima kunjungan pelanggan.

"Kita jadi Melayu bukan kita pilih, dia jadi Cina bukan dia nak, dia jadi India bukan dia minta. Nak tukar Melayu jadi Cina tak boleh, nak tukar Cina jadi Melayu tak boleh. Allah jadikan berbagai kaum bukan untuk bergaduh tapi untuk berbaik."

"Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh," demikian antara kata-kata menusuk kalbu, dipercayai ditulis oleh seorang lelaki warga emas berbangsa Cina.

uncle yap 7

Antara kata-kata hikmah mengenai kepelbagaian kaum dan perpaduan.

Berkongsi pengalaman kepada mStar, Salmi Ahmad antara pelanggan di kedai harware di barisan kedai dua tingkat di Lanchang itu.

Wanita berusia 36 tahun itu berkata, dia beberapa kali berkunjung ke kedai itu sejak bencana banjir yang melanda di beberapa negeri termasuk Pahang, akhir tahun lalu.

"Saya bersama pasukan sukarelawan ke kedai hardware ini untuk membeli barang-barang dan peralatan bagi membina madrasah yang sebelum ini ditenggelami banjir.

"Madrasah tu tak jauh dari kedai ni, hanya kira-kira satu kilometer. Selain banyak barang keperluan untuk baik pulih madrasah ada di kedai ini, Uncle Yap yang mengusahakan kedai ini begitu peramah dan mudah didekati," katanya ketika dihubungi.

uncle yap 5

Keadaan sebuah madrasah di Lanchang, Pahang selepas dilanda banjir akhir 2021.

Salmi berkata, dia turut tersentuh melihat kata-kata hikmah yang ditulis Uncle Yap dan bersetuju dengan pandangannya.

"Tiada siapa minta dia lahir jadi kaum apa, dan tiada siapa minta lahir miskin atau kaya, senang atau ditimpa musibah.

"Uncle Yap dibesarkan di Lanchang dan begitu dikenali di kawasan itu dengan sifat pemurahnya. Amat penting perpaduan di antara semua kaum.

"Kata Uncle Yap, apabila orang datang kepada kita untuk meminta bantuan, bermakna itu adalah rezeki kita. Memberi bantuan kepada orang merupakan rezeki buat kita," katanya sambil menambah warga emas berusia 80-an itu sentiasa bersikap merendah diri.

uncle yap 4

Kerja-kerja memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Bercakap mengenai perpaduan, Salmi yang juga pengurus projek teknikal mengagumi semangat patriotisme dan perpaduan Uncle Yap yang begitu tinggi.

"Bukan Uncle Yap saja, tapi ramai lagi rakyat Malaysia yang mempunyai semangat perpaduan. Contohnya dalam bantuan untuk pasca banjir. Dari Disember sampai sekarang team kami bagi bantuan banjir dan pasca banjir menggunakan duit sendiri dan kawan-kawan rapat.

Kata Uncle Yap, apabila orang datang kepada kita untuk meminta bantuan, bermakna itu adalah rezeki kita. Memberi bantuan kepada orang merupakan rezeki buat kita.

SALMI AHMAD

"Bantuan diberi tak kira kaum apa, asal susah kita bantu. Kami bukan NGO (badan bukan kerajaan), bukan parti politik, jadi kami bantu dengan ikhlas.

"Antara yang menyumbang untuk mangsa banjir termasuk membaiki semula madrasah ini termasuk dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Muslim.

uncle yap 6

Pasukan sukarelawan yang disertai Salmi dan rakan-rakan.

"Dari segi bantuan-bantuan lain, semua kaum juga sumbangkan keperluan asas, keperluan bayi dan wang ringgit. Kesimpulannya, rakyat berbilang kaum elok je bersatu-padu membantu antara satu sama lain," katanya.

Kisah Uncle Yap menjadi tular menerusi satu ciapan di laman Twitter @The_UglyOrgan sehingga diulang kicau sebanyak 6,500 kali dan mendapat lebih 11,000 tanda suka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain