suria

Mak ayah cari rezeki, anak setia berteduh di bawah meja berniaga! Mainan dan kipas jadi peneman selama 6 jam di gerai

Nuramira selalu mengikut ibu bapanya berniaga sejak kecil lagi.

"DEKAT luar gerai berniaga, di dalam tempat lepak anak."

Begitulah kapsyen yang ditulis oleh seorang ibu, Deanna Erlyssa pada rakaman video menunjukkan anaknya sedang duduk di ruang seakan bilik kecil yang diperbuat daripada papan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga rindu nak berniaga di pasar, jual online serba tak kena... TikTok kena sekat, pelanggan pula main-main - “Nak simpan duit sambut baby”

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan viral di mStar, peniaga kambing bakar tak menang tangan terima tempahan... ramai ikut jejak bersedekah - “Rezeki Allah balas balik”

Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, dia tidak menghantar anaknya Nuramira Dylaina, 3, dan Amir Dylan yang baru berusia enam bulan ke rumah pengasuh jadi dia terpaksa membawa anak-anaknya pergi berniaga.

"Saya memang bawa dua-dua anak ikut pergi berniaga. Saya pernah cuba hantar di rumah pengasuh supaya lebih selamat tapi dia (Amira) tak nak duduk situ pula. Bila bawa berniaga ni risiko, dia main merata.

"Tapi ada baiknya juga sebab saya boleh pantau pergerakan dia sebab ada depan mata. Lagipun saya berniaga pukul 4 petang sampai 10 malam saja.

"Saya kesian tengok anak tak bebas bergerak sedangkan memang usia dia ni tengah seronok bermain. Jadi saya sediakan ruang kat bawah meja berniaga tu sebagai ruang bermain," ujarnya.

Dia yang menetap di Taman Jasmin, Senawang, Negeri Sembilan ini berkata antara tujuannya membuat ruangan kecil khas di bawah meja berniaga tersebut adalah untuk mengelakkan anaknya bermain di sekitar kawasan gerainya yang terletak depan sebuah kedai mainan di Senawang.

Menurut Deanna lagi, dia dan suaminya, Amyzan Syafiqi, 28, sudah lama berniaga laksa tempurung, corndog, jagung susu serta kentang goreng di situ.



Nuramira merupakan puteri sulung dalam keluarganya.

Malah, ujar Deanna lagi, ini bukanlah kali pertama mereka membawa anak ke tempat berniaga.

"Saya memang akan bawa dia dan adiknya pergi berniaga. Setiap kali nak pergi tempat berniaga, dia akan pilih siap-siap nak bawa mainan apa untuk main di bawah meja nanti.

"Biasanya dia akan bawa mainan dan pensil warna. Ikut mood dia nak main apa nanti. Dia memang selesa duduk bawah tu sebab suami dah sediakan kipas jadi memang tak panas pun.

Saya saja share video tu untuk kenangan tapi tak sangka pula boleh viral. Saya nak tunjuk dekat mereka nanti sebab ikut saya dan suami pergi berniaga.

DEANNA

"Dari segi keselamatan saya dah ambil kira juga. Sebelum anak nak keluar, saya akan suruh dia panggil sebab saya akan pantau dulu jadi tak ada masalah pun," jelas Deanna.

Berikutan video yang tular, wanita ini mendapat pujian di ruangan komen video yang dimuat naik.

Tambahnya, mereka turut mendoakan Deanna agar sentiasa murah rezeki dalam perniagaannya.

"Ramai yang puji anak saya baik sebab dia siap tolong berniaga. Dari dia kecil lagi kami dah bawa berniaga jadi memang dah terbiasa dengan rutin macam ni.



Wanita ini merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata.

"Saya saja share video tu untuk kenangan tapi tak sangka pula boleh viral. Saya nak tunjuk dekat mereka nanti sebab ikut saya dan suami pergi berniaga. Rupa-rupanya ramai orang yang kongsi cerita mereka pun dulu ikut mak ayah pergi berniaga sama macam anak saya sekarang.

"Apa-apa pun saya bersyukur dengan semua yang Allah dah aturkan. Dapat anak yang sihat dan baik juga satu anugerah dan nikmat Allah pinjamkan untuk kami sekeluarga juga," tambah Deanna.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain