suria

Kejadian pelik silih berganti selepas lipan besar masuk kafe, wanita hamil tanggung derita disihir... ramai mengadu tak nampak kedai, tuduh makanan basi

Nelly mula mendapat gangguan mistik setelah sebulan pembukaan kafe baharu di Johor Bahru.

PERCAYA atau tidak, walaupun kita sudah memasuki era serba moden, masih wujud individu yang menggunakan kaedah sihir untuk tujuan tidak baik.

Malah, perbuatan keji demi kepuasan hati ini dilakukan khususnya bagi menjatuhkan musuh atau orang-orang yang tidak disukai.

ARTIKEL BERKAITAN: Seminggu pelanggan lalu lalang tapi tak singgah, belum apa-apa ustaz dah tersenyum lihat burung tiong ketika dipanggil periksa kedai disihir

ARTIKEL BERKAITAN: Pengamal perubatan kongsi cara batal sihir dihantar nak tutup periuk nasi! Ramai peniaga tak tahu rupa-rupanya tak boleh sembarangan ambil duit pelanggan

Turut merasai pengalaman perit ini, Ezzah Nellysa, 29, terpaksa menanggung derita sakit akibat disihir disebabkan perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab.

Jelas wanita senang disapa Nelly, dia pada mulanya menjumpai barang sihir yang didakwa ditanam pihak tidak bertanggungjawab berhampiran kedai makannya yang ketika itu baru sebulan beroperasi.

"Tiga bulan lepas saya jumpa jarum, syiling, duit kertas dan sehelai kertas bertulis nama kafe milik saya. Saya dah pergi berubat, ingatkan dah habis dan tak ada apa-apa, tapi kebelakangan ni jadi makin teruk. Sebelum jumpa benda-benda macam tu pun saya memang sakit teruk.

"Kejadian dalam video saya upload tu hari Jumaat lepas. Cuma saya baru ada kekuatan nak post di media sosial pasal apa yang terjadi. Masa tu ada seekor lipan sangat besar nak masuk dalam kafe saya. Jadi saya panggil ustaz untuk 'tengokkan' kafe tapi tiba-tiba jadi lain pula.

Sebenarnya tujuan asal ustaz tu datang nak 'pagar' kafe tapi lain pula jadinya. Ustaz tu kena ubatkan saya pula sebab tiba-tiba jadi macam tak sedarkan diri masa tu. Tak tahulah kenapa boleh menjerit terlolong macam dalam video tu," ujarnya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini, perkara mistik ini terjadi setelah berpindah kedai makan di Ekoflora, Johor Bahru, Johor.

Ujarnya, banyak kejadian aneh telah berlaku di kafe sehingga menjejaskan jualannya selain vendor yang turut berniaga di sana.



Wanita ini didakwa terkena perbuatan sihir oleh individu yang tak bertanggungjawab.

"Kejadian ini berlaku selepas saya buka kedai dekat Johor Bahru ni. Sebelum ni saya berniaga dalam satu kabin 'comel' je di tempat lain. Masa buka kafe baru ni, sebulan je OK. Lepas tu terus memang tak berapa baik sangat nasib saya.

"Ramai sangat yang cakap tak nampak kafe. Dah sampai sini pun, nampak kafe tutup, tak nampak staff, makanan jadi tak sedap, ada juga yang komplen makanan basi sampai satu tahap tu sale merundum lebih daripada separuh. Kami sangat-sangat struggle masa tu sebab perniagaan saya ni melibatkan vendor. Saya tak uruskan semua sendiri termasuklah masak.

"Kafe saya ni merupakan first cafe di Malaysia yang kumpulkan semua usahawan dekat Johor Bahru ni dan jual makanan mereka sendiri. Bisnes ni pun bermula dari kita start PKP sebab ramai orang terkesan jadi saya buka kedai berkonsepkan macam ni. Kesian pada vendor bila saya sakit macam ni sebab mereka sangat terkesan," keluh Nelly.

Menurut ibu yang kini sarat mengandung hampir sembilan bulan ini, dia tidak mengesyaki atau menuduh mana-mana pihak yang sanggup lakukan perbuatan keji ini dan menganggap ia sebagai satu perkara yang mahu disampaikan oleh Allah buat dirinya.



Nelly merupakan seorang ibu kepada dua cahaya mata yang kini sarat mengandung anak ketiga.

"Saya tak boleh nak tuduh sesiapa yang buat semua ni sebab kalau salah nanti jatuh fitnah pula. Jadi saya tak nak cari angkara siapa. Saya fikir benda ni Allah yang izikan terjadi. Mungkin ada benda yang Allah nak sampaikan pada saya.

"Sekarang saya dah OK lepas berubat dengan ustaz tu. Ustaz pun pesan pada saya supaya reda dengan apa yang berlaku. Dia cakap 'Allah tak akan uji kalau kita tak mampu jadi kita minta ampun pada Dia dan fokus untuk nak sihat je'," imbas Nelly lagi.

Bercerita lanjut mengenai video yang dimuat naik oleh Nelly, dia menerima beberapa komen yang kurang senang dibaca oleh netizen namun dalam pada itu ramai juga yang menitipkan doa buat dirinya.

"Penerimaan netizen bila saya upload video tu macam biasalah... ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak. Tapi apa yang saya nampak bila post video tu, ramai sangat mendoakan kesihatan dan kesembuhan walaupun datang dari orang yang tak dikenali. Itu yang diperlukan sangat-sangat sekarang ni untuk saya sihat selain usaha sendiri.

"Saya harapkan dengan video tu, ia boleh jadi pengajaran dan peringatan buat orang ramai bahawa benda-benda khurafat macam ni masih wujud dalam kalangan kita walaupun zaman sekarang dah maju. Ada yang saya baca dekat komen tu turut berkongsi cerita juga. Tak sangka rupanya ramai lagi dah terkena macam ni.



Wanita ini berharap perkongsian di media sosial dijadikan sebagai peringatan dan pengajaran buat semua.

"Saya nak nasihatkan orang pun, saya sendiri bukan orang yang baik sangat tapi kalau boleh tolonglah bersaing secara sihat. Kesiankan orang yang kita aniaya tu apatah lagi dalam dunia bisnes ni sebab saya sendiri pun seorang usahawan. Saya harap dengan apa yang saya sampaikan ni dijadikan sebagai semangat untuk orang lain yang buat bisnes juga," jelas Nelly.

Sehingga kini, perkongsian wanita ini di TikTok telah meraih lebih 7 juta tontonan dalam masa kurang 24 jam.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain