suria

Guru mohon maaf, tandatangan akur janji selepas rotan pelajar tak buat salah sampai berbirat... ibu harap perkara sama tak berulang

Murid Kafa dirotan tanpa alasan dan sebab yang kukuh oleh gurunya.

ENGGAN perkara sama berulang kepada murid lain, ibu dan bapa kepada mangsa yang dirotan tanpa sebab meminta guru terlibat membuat permohonan maaf dan menandatangani 'akur janji'.

Susulan kejadian tersebut, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah di Cheras Kuala Lumpur itu membuat permohonan maaf sekali gus meredakan 'ketegangan' yang berlaku sejak 1 April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kes guru Kafa rotan murid hingga berbirat

Antara yang tertulis di dalam kenyataan tersebut adalah, pelaku memohon maaf kepada keluarga Nurlaili Borhanudin atas kesalahan merotan anak mereka.

"Saya mengaku perbuatan itu dibuat tanpa provokasi atau kesalahan daripada pelajar berkenaan. Saya mengaku saya gagal mengawal kemarahan saya ketika itu dan melepaskannya terhadap pelajar saya.

"Saya memohon maaf sekali lagi atas perbuatan saya dan berjanji tidak akan mengulanginya di masa hadapan terhadap mana-mana pelajar lain. Saya menegaskan pelajar yang dirotan oleh saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak membalas perbuatan saya.

"Saya juga mengaku pelajar itu juga tidak melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyebabkan dia dihukum sepertimana yang telah saya lakukan terhadapnya."

Sementara itu, ibu kepada mangsa, Nurlaili Borhanudin berkata, kes berkenaan dianggap selesai selepas guru terbabit membuat permohonan maaf dan menandatangani 'akur janji' yang disediakan.

"Keluarga kami telah menerima permohonan maaf dari pihak guru dan kes ini dianggap selesai. Terima kasih juga kepada pegawai PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) yang membantu kami menyelesaikan perkara tersebut.

Akur janji yang ditandatangani guru terlibat.

Akur janji yang ditandatangani guru terlibat.

"Ingin saya jelaskan tujuan utama kami ketengahkan perkara ini bukanlah untuk memusuhi atau memburukkan kerjaya guru, tetapi kami mahu pihak berkenaan bertanggungjawab atas apa yang telah terjadi dan mahu menegakkan kebenaran kerana anak kami tidak melakukan apa-apa kesalahan yang menyebabkan dia dirotan," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas mendapati anaknya 'dihukum' hanya kerana meminta salah seorang rakan membuka songkok selepas tidak dapat melihat papan tulis yang digunakan guru di hadapan.

Susulan permohonan maaf itu, dia menyatakan berpuas hati dengan tindakan pihak polis serta majikan guru berkenaan.

Kami berharap semua warga pendidik dapat teruskan usaha murni mereka mendidik anak bangsa dan jika ada sebarang masalah, berbincanglah dengan baik dan ambillah tindakan tanpa melanggar undang-undang.

NURLAILI BORHANUDIN

Malah, katanya, pihak sekolah juga telah memberi jaminan tindakan sewajarnya diambil terhadap guru yang terlibat.

"Suka saya jelaskan, sebelum kami membuat keputusan menerima permohonan maaf ini kami telah berbincang dengan anak kami, mangsa sebenar dalam kejadian tersebut dan segala tindakan yang diambil adalah dengan persetujuan mangsa sendiri.

"Kami sebagai ibu bapa hanya mahu memastikan anak kami dan tiada lagi pelajar lain di mana-mana sekolah diperlakukan sebegitu. Kami berharap semua warga pendidik dapat teruskan usaha murni mereka mendidik anak bangsa dan jika ada sebarang masalah, berbincanglah dengan baik dan ambillah tindakan tanpa melanggar undang-undang.

Mangsa dirotan tanpa melakukan kesalahan.

Mangsa dirotan tanpa melakukan kesalahan.

"Anak-anak adalah masa depan kita dan mereka masih dalam proses pembelajaran. Hanya ibu bapa dan guru tempat mereka mendapatkan perlindungan. Jangan kita khianati anak-anak kita lagi," tambahnya yang berharap kejadian seumpama itu tidak berulang.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati keluarga yang berhadapan masalah sama supaya mendapatkan pandangan daripada pihak yang lebih arif.

"Kepada ibu bapa yang mungkin berdepan masalah sama, saya doakan anda semua tabah dan bersabar. Pesan saya, jangan ambil tindakan melulu dan dapatkan nasihat dari pihak yang lebih arif," tambahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain