SETIAP ibu bapa ada cara tersendiri dalam mendidik anak mereka untuk berpuasa di bulan Ramadan. Terbaharu, seorang ibu mendakwa anaknya pulang ke rumah dalam keadaan lemah kerana dipaksa berpuasa oleh guru di sekolah. Kisah itu diceritakan semula oleh Dr Kamarul Ariffin menerusi Facebook sehingga ia tular dan meraih perhatian ramai netizen. ARTIKEL BERKAITAN: Ramadan tiba tapi tak boleh puasa, jejaka hidap kanser tahap 4 rindu solat Tarawih... 12 sesi kemoterapi tapi belum nampak ‘cahaya’ ARTIKEL BERKAITAN: Azan hampir berkumandang, jejaka ini lewat berbuka kerana lebih fikirkan perut 3 beranak ‘tersidai’ tepi jalan Imbas Dr Kamarul, kanak-kanak itu dibawa ke klinik oleh ibunya pada Isnin, ketika hari kedua umat Islam di Malaysia berpuasa. "Si anak baru berumur antara 6 hingga 7 tahun. Baru nak mengenal puasa. Sekolah pagi. Ibu tak sediakan sarapan, sebab sedang ajar nak berpuasa, tapi dibekalkan air dan roti untuk ke sekolah. "Dipesan pada anak, jika tak tahan berpuasa, maka berbukalah dengan bekal yang dibawa. Namun begitu, sehingga si ibu ambil anaknya pulang di waktu tengah hari, anaknya masih belum berbuka. Murid itu mendakwa makanan dan minumannya dirampas oleh seorang guru. (Gambar Hiasan) "Jika tidak kerana anaknya kelihatan begitu lemah, pasti si ibu berasa senang hati," tulis Dr Kamarul kepada lebih 370,000 pengikut Facebook miliknya. Menurut Dr Kamarul, si kecil itu mengadu kepada ibunya bahawa dia benci untuk ke sekolah kerana mendakwa makanan dan minumannya dirampas oleh seorang guru. Difahamkan, mana-mana murid yang tidak berpuasa juga akan ditegur secara terbuka oleh guru tersebut sehingga ditertawakan rakan-rakan lain. "Malangnya, si anak ni nampak sangat lemah. Dia kata benci berpuasa. Dia benci sekolah. Dia benci kawan-kawan. Anak tu kata dia tak nak berpuasa lagi selepas ini, dan tak mahu lagi ke sekolah. Tak perlu kecam cikgu secara umum kerana tak semua begini... Ada yang bagus, prihatin dan berempati. DR KAMARUL ARIFFIN "Selain itu siapa yang tak berpuasa ditegur di khalayak kelas. Ada rakan sekelas yang tertawakan mereka yang tak puasa. "Lepas sesi persekolahan habis baru bekal makanan dipulangkan. Dipesan sekali lagi oleh cikgu agar berpuasa sehingga masuk waktu berbuka. Si anak hanya menurut, kerana takut kena marah," ujarnya. Dalam perkongsian sama, Dr Kamarul berpendapat tidak wajar kanak-kanak tersebut dipaksa dan dimalukan dalam usaha untuk mendidik mereka. Sarannya, kanak-kanak boleh diajar berpuasa secara berperingkat agar mereka dapat menyesuaikan diri sebelum melakukan ibadah itu secara sempurna. "Pendapat saya, apabila mengajar kanak-kanak lakukan ibadah, hendaklah ia bersifat mengajak dan memujuk. Tak usahlah ia dalam keadaan memaksa atau dengan cara yang memalukan mereka. Menurut Dr Kamarul Ariffin, kanak-kanak itu dibawa dalam keadaan lemah ke klinik. "Kita semua mahukan anak-anak yang membesar dengan cinta terhadap agama. Kita kena lakukannya dengan berhemah, kerana jika sudah terbit benci, maka sukar nak disemai cinta di kemudiannya. "Mereka mungkin mampu berpuasa sampai ke Maghrib, namun ia perlukan persediaan serta penyesuaian berperingkat untuk elakkan risiko kemudaratan. "Kita ada sekitar 30 hari, InsyaAllah cukup masa untuk mendidik, cukup masa untuk melatih, cukup masa untuk memberi sokongan. Sampai masa nanti, kita raikan kejayaan kita sama-sama. Semoga Ramadan ini, lebih baik daripada yang sebelumnya," ujarnya. Di penghujung bicara, Dr Kamarul turut berpesan agar netizen tidak mengecam guru tersebut. "Tak perlu kecam cikgu secara umum. Tak semua cikgu begini. Ada yang bagus, prihatin dan berempati," pesannya ringkas. Murid itu mengadu kepada ibunya bahawa bekal makanan dan minuman dipulangkan selepas tamat waktu sekolah. (Gambar Hiasan) Posting tersebut sehingga kini meraih lebih 12,000 likes dan turut dihujani 1,300 komen netizen. Selain bersetuju dengan saranan Dr Kamarul, ada ibu bapa yang turut berkongsi cerita anak mereka menerusi ruangan komen. "Alhamdulillah, sekolah anak saya cikgu siap pesan suruh bawa bekal untuk anak-anak yang tak puasa. Nanti time rehat, mana-mana yang tak puasa cikgu bawa pergi makan kat satu tempat. "Puasa wajib untuk yang baligh. Kanak-kanak tak wajib pun. Untuk melatih tu bolehlah. Kalau mereka tak larat bagi la mereka berbuka. "Kasihannya anak. Sebagai ibu saya sangat tersentuh hati. "Saya suka penulisan doktor, tegur secara berhemah, bukan memalukan," tulis beberapa netizen. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI