suria

Doktor kongsi detik cemas pesakit ulser perut tahap 3 berak berdarah mengalir macam air, 112 adiwira bantu selamatkan nyawa

Seorang pesakit terlantar sedang menerima rawatan. Gambar kecil beg darah. gambar hiasan / foto AP

DENGAN menderma darah, seseorang itu mampu menyelamatkan nyawa orang lain.

Menerusi satu perkongsian, Tabung Darah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor pada minggu lalu menerima permintaan darah yang tinggi apabila seorang pesakit dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami pendarahan dalaman yang teruk.

Menurutnya, denyutan jantung pesakit berhenti dan bantuan kecemasan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) dilakukan sebanyak dua kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sahaja menyelamatkan nyawa, ada 5 manfaat derma darah kepada penderma

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir tak halang usaha murni menderma darah... 73 beg dikumpul sehari kejayaan besar Hospital UCSI

"Pengunaan darah yang banyak akan diperlukan. Pesakit dimasukkan ke dewan bedah untuk pembedahan kecemasan bagi memberhentikan pendarahan tersebut.

"Pesakit telah kehilangan kira-kira 8 liter darah," menurut posting yang tular menerusi Facebook Derma Darah HTAR yang dikongsi 1,200 kali.

derma darah 2

Tempat penyimpanan beg darah. foto FB Derma Darah HTAR

Menurutnya, kira-kira 52 beg darah telah digunakan bagi menyelamatkan nyawa pesakit tersebut.

"Tiga set MTP (Massive Transfusion Protocol) yang merangkumi 18 unit darah merah, 18 unit plasma dan 18 unit platelet telah digunakan untuk menyelamatkan nyawanya.

"Setelah berjuang selama lapan jam, akhirnya pesakit tersebut diselamatkan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"52 penderma darah untuk 52 beg darah diperlukan untuk menyelamatkan satu nyawa. Darah yang digunakan mungkin daripada salah seorang daripada anda. Terima kasih adiwira atas sumbangan anda! 52 adiwira dan satu nyawa," katanya.

derma darah 1

Cara penyimpanan beg darah di dalam peti. foto FB Derma Darah HTAR

Sementara itu, seorang doktor di sebuah hospital di Kuala Lumpur turut berkongsi pengalamannya mengendalikan seorang pesakit yang memerlukan sumbangan darah.

Dr Mohd Afiq Adli Murad berkata, kejadian berlaku pada Februari 2017 membabitkan seorang pesakit yang mengalami pendarahan yang teruk akibat ulser perut tahap tiga.

Selepas rawatan masuk darah baru pesakit dapat disedarkan dari koma. Alhamdulillah, pesakit pulih dan dapat pulang ke rumah dalam keadaan baik.

DR MOHD AFIQ ADLI MURAD

"Pada mulanya pesakit lelaki berusia 36 tahun dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung dan diberikan ubat cair darah.

"Selepas diberi ubat cair darah, pesakit mengalami buang air besar berdarah mengalir macam air sehingga terkena katil dan lantai," katanya kepada mStar.

Akibat pendarahan yang sangat banyak, Dr Afiq memberitahu bahawa pesakit yang berada di zon merah dewan kecemasan ketika itu terpaksa menjalani proses intubasi, sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU).

derma darah 3

Orang ramai disarankan untuk menderma darah.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang perubatan selama hampir 10 tahun itu berkata, sebanyak 112 beg darah digunakan untuk menyelamatkan pesakit berkenaan.

"Apabila di CCU jumlah masuk darah adalah 48 beg darah merah, 24 beg darah fresh frozen plasma, 24 beg darah cryoprecipitate dan 16 bed darah platelet.

"Selepas rawatan masuk darah baru pesakit dapat disedarkan dari koma. Alhamdulillah, pesakit pulih dan dapat pulang ke rumah dalam keadaan baik.

"Penggunaan beg darah ini membantu menyelamatkan nyawa. Disarankan individu yang boleh menderma darah untuk berbuat demikian," kata Dr Afiq.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain