suria

Hari-hari ada kecoh, wanita hamil dapat ‘priority lane’ beli nasi Arab Cef Ammar jawab tuduhan potong barisan… Sanggup datang dari Melaka!

Kiri Cef Ammar memberi penjelasan kepada pihak polis, kanan staf Cef Ammar (baju biru) yang dimarahi pelanggan.

SABAN hari ada saja insiden kekecohan yang berlaku di gerai nasi Arab Cef Ammar yang terletak di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam.

Walaupun sebelum ini dikecam netizen kerana menjual makanan dengan harga 'Tel Aviv', tetapi nampaknya ramai yang sanggup beratur panjang untuk membeli juadah tersebut.

Pada Rabu timbul pula kekecohan apabila stafnya dimarahi pembeli gara-gara memberi kemudahan kepada ibu mengandung hingga membuatkan ada yang tidak bersetuju dengan 'peraturan' cef kelahiran Palestin itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kecoh harga mahal, pelanggan beratur panjang pula bikin panas! Mahu berlaku adil, Cef Ammar buat 'peraturan' baharu hari ini

ARTIKEL BERKAITAN: Dilabel jual nasi Arab ‘harga Tel Aviv’, Cef Ammar jawab naik RM1 je... Geram sikap orang tahu makan sedap tapi nak harga B40

Susulan kekecohan berkenaan, seorang wanita yang mendakwa dia merupakan pelanggan yang dimaksudkan itu tampil memberi penjelasan.

Bercakap kepada mStar, Nur Aliah Natasha Nasaruddin yang hamil lapan bulan berkata, dia bersama ibu bapanya bertolak dari Melaka dan tiba Shah Alam sekitar pukul 12 tengah hari.

Wanita berusia 26 tahun itu memberitahu, dia pada mulanya menemani ibu bapanya, masing-masing berusia 49 dan 52 tahun untuk gerai Cef Ammar.

"Masa nak beratur dekat pukul 1 petang memang dah ramai orang, sudah berbelas orang.

"Selepas tu, saya masuk ke kereta sekejap sebab masa tu dah penat berdiri tapi dapat order sheet. Saya tunggu di kereta kira-kira 20 minit sementara tunggu gerai dibuka.

"Bila saya datang balik ke gerai untuk beratur, mereka nampak ada wanita mengandung, jadi mereka terus suruh ke depan (priority lane)," katanya ketika dihubungi.

cef ammar 2

Nasi Arab air tangan Cef Ammar menjadi 'buruan' di bazar Ramadan.

Namun tegas wanita yang hamil anak sulung itu, dia tidak 'memotong' barisan kerana datang lebih awal untuk beratur bagi membeli makanan tersebut.

"Kami tak menyelit, kami beratur, malah kami datang lagi awal. Walaupun kami dapat priority lane, I kat situ sebagai wanita mengandung masih kena tunggu 30 minit. Tapi saya tak nak bising-bising, saya tunggu je.

Kami tak menyelit, kami beratur, malah kami datang lagi awal.

ALIAH

"Masa I tengah beratur, ada orang call Cef Ammar nak beli ikut 'pintu belakang', dia tak layan. Dia kata kalau nak, mengidam ke, datang," ujarnya yang berasal dari Bukit Katil.

Malah dia yang lebih mesra disapa Aliah berkata, ibu bapanya sendiri beratur seperti biasa tanpa menggunakan kemudahan 'priority lane'.

"Ibu bapa saya tak dapat (priority lane), jadi mereka beratur sampai dapat. Disebabkan hari tu ada had (pembelian), saya termasuk ibu bapa dapat beli 12 pek," katanya sambil menambah bapanya yang memandu kereta dari Melaka ke Shah Alam.

Tambah wanita tersebut, dia yang menggagahkan diri untuk beratur membeli nasi Arab sebenarnya bukanlah penggemar juadah tersebut.

cef ammar 4

Pelbagai insiden yang berlaku di gerai Cef Ammar.

Aliah turut menjelaskan bahawa suaminya sedang bekerja di Melaka ketika itu, menyebabkan dia datang ke gerai Cef Ammar bersama ibu bapanya.

"Saya tak minat pun nasi Arab ni tapi sebab ibu bapa saya nak makan dan ramai lagi famili I yang kirim, jadi kami pun datang seawal pukul 12 tengah hari.

"Bagi saya, tak adil. Kalau nak, datanglah awal-awal. Saya cakap bukan sebab saya mengandung tapi sebab ramai yang datang dan beratur awal.

"Kami yang datang awal pun, masa tu ramai lagi tak dapat. Lepas tu a few yang baru datang dah merengek-rengek. Benda tu kena adil la," tambahnya.

cef ammar 3

Cef Ammar menetapkan 'peraturan' baharu susulan rungutan pelanggan kerana tidak dapat membeli nasi Arab.

Difahamkan, pihak polis menerima aduan daripada pelanggan kerana bengang wanita mengandung diberi keutamaan untuk membeli makanan dari gerai Cef Ammar.

Menurut Cef Ammar, wanita mengandung perlu diberikan keutamaan kerana keadaan fizikal mereka lebih memerlukan perhatian.

Sejak minggu lalu, Cef Ammar yang terkenal dengan menu nasi Arab lamb shank menjadi kecaman netizen kerana harganya mahal.

Minggu ini tular pula seorang pelanggan menegurnya kerana tidak puas hati apabila tidak sempat membeli nasi Arab, kerana kehabisan, sedangkan sudah beratur terlalu lama.

Susulan itu, demi berlaku adil kepada semua pelanggannya, Cef Ammar berkata, setiap individu dihadkan untuk membeli empat set sahaja bermula Rabu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain