GARA-GARA kucing 'terkejut', wanita ini terpaksa berkejar ke jabatan kecemasan hospital pada tengah malam untuk mendapatkan rawatan. Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada malam hari raya ketiga baru-baru ini, Nur Erni Yusnita berkata ketika itu dia baharu sahaja tiba di rumah ibunya selepas selesai beraya. "Saya sampai rumah ibu sekitar pukul 11.45 malam. Masa parking kereta, ada ternampak seekor kucing lain di luar rumah. Waktu saya buka pintu nak masuk rumah, tak tahu pula kucing peliharaan kami, Muezza, ada belakang pintu. ARTIKEL BERKAITAN: Awas gigitan si bulus! Tangan berdenyut, bernanah sampai tak boleh lena... wanita tak sangka kena bedah - “Saya takkan berhenti sayang kucing” ARTIKEL BERKAITAN: Tak berdarah pun! Isteri terkejut doktor beritahu gigitan manja kucing di tangan suami boleh bawa maut... tanda bermula dengan lemah satu badan "Rupa-rupanya ia dah kesan 'bau' kucing lain... jadi apabila saja pintu terbuka, ia terus meluru keluar nak terkam kucing dekat luar tadi. "Kucing kami ni memang tak pernah lepas sebab ia suka cari gaduh dengan kucing lain... memang bebas dalam rumah saja. Apabila Muezza keluar, saya risau ia terkam orang lain, kebetulan ada budak-budak kecil di luar. Muezza, kucing peliharaan Erni yang dipelihara sejak lima tahun lalu. "Masa saya ambil nak selamatkannya dan bawa masuk dalam rumah bimbang ia cakar orang lain, waktu itulah ia meronta-ronta dan sempat cakar serta gigit tangan kiri saya," cerita wanita berusia 37 tahun ini. Menurutnya yang senang disapa Erni, adik perempuannya segera membantu selepas melihat insiden Muezza agresif namun tangannya turut menjadi sasaran si bulus. "Masa kena tu terus rasa pedih dan sakit... darah pun meleleh daripada kesan gigitan dan cakaran. Beberapa minit kemudian dah nampak bengkak. "Disebabkan bimbang keadaan menjadi lebih buruk, saya dan adik terus ke jabatan kecemasan Hospital Besar Melaka tengah malam itu juga. Tak masuk rumah malah tak sempat cuci darah pun," ujar ibu kepada dua cahaya mata ini. Selain suntikan, Erni turut diberi tiga jenis ubat-ubatan. Erni berkata setibanya di hospital, doktor dan beberapa petugas perubatan yang lain terkejut apabila melihat kecederaan pada tangannya dan menyangka ia adalah disebabkan terjatuh. "Sebabnya bengkak pada tangan tu besar dan ia seolah-olah seperti patah. Tapi apabila lihat kesan cakaran lain dan kesan di tangan adik saya, barulah doktor percaya disebabkan kucing. "Saya diberi suntikan dan turut menjalani imbasan bimbang kuku atau gigi kucing tertinggal dalam isi. Alhamdulillah semuanya okay. Doktor juga beri tiga jenis ubat lain. "Doktor minta saya monitor kesan luka dalam tempoh seminggu, bimbang ada nanah atau jangkitan," ujarnya yang berasal dari Merlimau, Melaka. Saya diberi suntikan dan turut menjalani imbasan bimbang kuku atau gigi kucing tertinggal dalam isi. Alhamdulillah semuanya okay. NUR ERNI YUSNITA Tambah Erni, sehari selepas insiden tersebut, bengkak pada tangannya sudah mulai surut namun kesakitan masih dirasai menyebabkan dia meminimakan pergerakan agar lekas pulih. "Ini adalah kejadian pertama saya dicakar dan digigit kucing hingga terpaksa ke hospital. Sebelum ini kena cakar dan gigit 'manja' saja. "Muezza sebenarnya seekor kucing yang manja dan jinak, namun ia cepat trigger kalau nampak kucing lain. Saya peliharanya sejak kecil lagi. "Selama lapan bulan saya pelihara di kediaman saya di Johor dan apabila bawa balik kampung, ibu pula sayang jadi dia pelihara sampai sekarang. Tak sangka langsung jadi insiden 'kucing makan tuan'," ujarnya berseloroh. Tidak menyangka hantarannya di Group Facebook Kucing Sepahkan Apa Hari Ini menarik perhatian warganet, Erni berkata dia sekadar suka-suka berkongsi tragedi di Aidilfitri bersama ahli grup tersebut. Kesan cakaran dan gigitan sehari selepas kejadian. "Seronok apabila baca kisah-kisah ahli dengan si bulus masing-masing. Saja nak share juga sekadar suka-suka. Banyak komen positif dan mendoakan kesembuhan. "Tapi ada pula yang komen, kalau insiden sama terjadi padanya, memang kucing tu akan terus dibuang ke pasar jawabnya. Pada pandangan saya, tak baiklah buat macam tu. Kucing tak berakal, kita yang berakal ni patut ada sifat ihsan. "Kata pencinta kucing kan? Apapun, saya tak rasa trauma atau fobia pun. Selepas balik dari hospital, Muezza siap baring manja-manja lagi. Mungkin saya perlu lebih berwaspada selepas ini," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI