suria

Puas tahan mata, wanita kesal tertidur lama ketika anak demam... sedar-sedar dah kena sawan! Doktor kata si ibu sikit pun tak salah

Dr Redza (gambar kecil) berkongsi kebimbangan seorang ibu mengenai anaknya mengalami demam sawan.- gambar hiasan

IBU mana yang tak sayangkan anak? Jika digigit nyamuk pun dah cukup risau, inikan pula jatuh sakit.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana sekiranya anak kesayangan terkena sawan panas atau demam sawan.

Namun begitulah yang dilalui seorang ibu, sebagaimana yang dikongsi oleh doktor.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandangan luar biasa di klinik! Doktor terpaku lihat dua beranak tunggu giliran - "Depan anak kena hati-hati, otak mereka hebat belaka"

ARTIKEL BERKAITAN: Asyik pegang telefon tapi tak ambil gambar bayi, ada sebab kenapa si bapa terkilan lupa rupa jari anak - "Tak perlu posing hebat-hebat"

"Pernah seorang kanak-kanak masuk ke wad sebab sawan panas. Sawan panas ni ialah keadaan anak yang sawan disebabkan demam antara usia enam bulan sehingga enam tahun.

"Macam biasa, saya pun tanya itu ini untuk mendapatkan maklumat lengkap tentang anaknya. Sambil ibu ni bercerita, saya perasan yang ibu ni nampak serba tak kena.

"Muka berkerut dan nampak kusut. Setiap perkataan yang keluar dari mulutnya penuh dengan nada kecewa," tulis Dr Redza Zainol menerusi satu posting.

dr redza zainol

Dr Redza Zainol.

Dalam masa sama si ibu turut meluahkan perasaan kecewanya sehingga menitiskan air mata.

"Saya sebenarnya cuba tahan mata supaya tak tertidur malam tadi. Sebab saya nak lap badan anak saya. Tapi bila saya terjaga, badan dia dah panas sangat. Sebab tu dia sawan. Lambat betul saya nak tersedar," kata Dr Redza mengimbas kembali kata-kata wanita berkenaan.

Menurut Dr Redza, ibu kepada kanak-kanak itu diselubungi dengan rasa bersalah sehingga menganggap dirinya yang mengakibatkan anaknya menjadi sawan.

Berpengalaman dalam kesihatan kanak-kanak dan ilmu keibubapaan, Dr Redza memberi penjelasan bagi menenangkan ibu yang begitu bimbang mengenai anaknya yang sakit.

"Sebenarnya dia demam sikit atau demam tinggi, dia tetap boleh jadi sawan. Suhu dia 37.6 darjah Celsius pun boleh sawan, suhu dia cecah 41 darjah Celsius pun boleh sawan.

"Tak ada orang yang boleh kawal sawan sebab ia datang dari dalam otak anak. Bukan salah puan anak jadi sawan," tambahnya.

dr redza zainol 2

Perkongsian Dr Redza di Facebook.

Penjelasan doktor yang berpengalaman bertugas di wad kanak-kanak selama 10 tahun ternyata mengubah wajah si ibu yang kemudian kelihatan lega.

"Dia pandang pada saya. Riak mukanya perlahan-lahan bertukar. Nampak lega. Dia ucap terima kasih sambil dipeluk-peluk anaknya tu.

Tak ada orang yang boleh kawal sawan sebab ia datang dari dalam otak anak.

DR REDZA ZAINOL

"Besar sungguh ujian kaum ibu ni. Ramai ibu yang datang ke wad dalam keadaan begini. Ada yang rasa bersalah sebab anak kerap masuk ke wad.

"Ada yang mengadu malu dengan bos sebab anak asyik sakit sampai terpaksa kerap ambil cuti," katanya.

dr redza zainol 3

Kaum ibu turut berkongsi pengalaman mengenai anak mereka mengalami deman sawan.

Sehubungan itu, Dr Redza menasihatkan kaum suami agar memberi perhatian kepada isteri masing-masing termasuk menjadi pendengar setia.

"Untuk suami, kalau anda nampak isteri bergelut dengan bermacam rasa, tawarkan diri anda untuk mendengar sepenuh hati.

"Tak reti juga, senyumlah dan cuba ada di samping isteri. Mereka perlukan sokongan keluarga. Untuk ibu-ibu, anak sakit bukan salah awak.

"Tertidur ketika anak sakit dan demam, tak sedikit pun mengurangkan kebaikan awak sebagai seorang ibu. Tidur itu Allah yang beri sebab Allah tahu ibu pun perlukan rehat," kata Dr Reda menerusi postingnya di Facebook miliknya yang dikongsi lebih 3,000 kali.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain