suria

Wanita macam tak percaya ‘jodoh’ dengan Axia tak panjang, tetap ikhtiar walau tahu kereta hilang susah nak jumpa semula

Iffa memohon bantuan orang ramai untuk mengesan keretanya yang hilang pada 4 Jun lalu.

KENDERAAN yang diparkir di tepi jalan sememangnya berisiko tinggi menjadi sasaran pencuri.

Selain tidak berada di dalam kawasan yang dipantau oleh pengawal keselamatan, liputan kamera pengawasan (surveillance camera) atau kamera litar tertutup (CCTV) yang kurang jelas juga menjadi penyumbang kepada berlakunya kes kecurian.

Seorang wanita turut menjadi mangsa apabila kereta Perodua Axia miliknya yang diparkir di tepi jalan berhampiran kondominium keluarganya di Taman Shamelin Perkasa, 'ghaib' dipercayai dicuri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sampai hati tengok ayah termenung fikirkan kereta hasil titik peluh hilang, anak rayu si pencuri pulangkan semula... mahu settle cara baik

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar runsing kereta baru beli dah hilang! Ramai buat bermacam andaian, betul ke Kelisa value tinggi sekarang?

Berkongsi cerita dengan dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Iffa itu berkata, dia terpaksa meletakkan keretanya di luar memandangkan lot parkir unit kediaman keluarganya sudah penuh.

"Hari Khamis (2 Jun), saya balik dan parkir macam biasa dekat area parkir luar kondominium. Hari berikutnya, saya tak guna kereta dan ia masih selamat di tempat parkir. Ibu bapa saya yang pulang dari kerja pun sahkan ia masih di situ.

"Pada Sabtu (4 Jun), ahli keluarga semua balik kampung awal pagi. Sekitar pukul 11 pagi, saya turun untuk pergi bekerja... saya mengajar muzik part-time dekat Damansara.

"Saya pun pergi berjalan ke tempat parkir. Tengok-tengok kereta tak ada dekat tempat yang sepatutnya," cerita wanita berusia 24 tahun ini.

AXIA 3

Laporan polis yang dibuat Iffa sejurus selepas menyedari kehilangan keretanya.

Iffa berkata pada mulanya dia menyangka terlupa kedudukan lokasi parkir, justeru dia mengambil pendekatan untuk mencari keretanya di sepanjang tepi jalan berhampiran kondominium, namun malangnya gagal menemui kenderaan tersebut.

"Saya call ibu bapa dan bertanya kalau-kalau mereka ada guna kereta saya dan parkir semula di tempat lain. Ketika itu memang dah cuak.

"Mereka cakap tak ada guna dan suruh round keliling kondominium. Saya round dua tiga kali juga luar dan dalam kondominium dan sah tak ada.

"Jantung memang macam nak terkeluar sebab panik. Saya duduk kejap dekat perhentian teksi untuk bertenang. Lepas itu baru saya inform keluarga dan rakan-rakan rapat. Macam tak percaya pun ada yang kereta tu betul-betul hilang," katanya yang juga penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor.

Sedih sangat sebab dengan kereta itu saya dah hadap macam-macam. Mungkin ada silap saya juga sebab tak peka.

IFFA

MANGSA

Iffa berkata dia tidak melengahkan masa dan terus ke balai polis untuk membuat laporan ditemani rakannya.

Sempat menggunakan kereta tersebut selama kira-kira lima tahun, Iffa mengakui dia berasa amat sedih memandangkan ia adalah kereta pertamanya.

"Sedih sangat sebab dengan kereta itu saya dah hadap macam-macam. Mungkin ada silap saya juga sebab tak peka... ya lah, saya membesar di kawasan tersebut, jadi rasa macam 'secure'. Tahu-tahu kena dekat diri sendiri," ujarnya lagi.

Buat masa ini Iffa berkata dia menggunakan kenderaan awam atau perkhidmatan e-hailing sekiranya perlu keluar bekerja atau urusan pengajiannya.

Wanita ini menambah, kes tersebut sedang disiasat oleh pihak polis namun dia turut mengambil inisiatif membuat hebahan di media sosial sebagai salah satu ikhtiar untuk menemukan keretanya semula.

AXIA 2

Netizen mendoakan agar kereta milik Iffa dapat ditemui semula.

"Selepas buat hebahan dekat media sosial, tak ada lagi yang tampil memberitahu mereka 'witness' apa-apa.

"Saya berterima kasih sangat-sangat dekat semua orang yang prihatin. Saya faham kes kereta hilang ni agak susah nak jumpa balik, tapi kita cuba... mana tahu rezeki ada orang terjumpa atau ternampak.

"Kalau ada yang park kereta dekat kawasan yang security tak jaga, especially area Shamelin, kunci la stereng atau brek walau depan rumah sekalipun.

"Kalau sesiapa pakai Apple product, gunalah airtag tu dekat kereta. Saya sangat berharap agar tiada lagi yang kena experience macam ni," katanya lagi.

Sehingga kini perkongsian Iffa di laman Twitter meraih lebih 14,000 ulang kicau.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain