suria

Sekeluarga hidup melarat... Hutang keliling pinggang gara-gara suami dibuang kerja kerana bipolar! Isteri pula sarat mengandung

Keadaan keluarga ini terhimpit selepas si suami dibuang kerja kerana menghidap bipolar.

IBARAT jatuh ditimpa tangga.

Demikian perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan situasi keluarga ini apabila si suami yang menjadi penyara utama dibuang kerja kerana mempunyai masalah kesihatan mental.

Apa yang lebih membuatkan keadaan semakin terhimpit, si isteri sedang sarat mengandung dan mereka dijangka menerima kehadiran cahaya mata ketiga, Ogos nanti.

bipolar 3

Ubat yang perlu diambil oleh Muhammad Nur Iman bagi merawat penyakit bipolar.

Kisah pasangan Muhammad Nur Iman dan Nor Afiqah Syahzani ini dikongsikan oleh salah seorang team Marhaen, @zumairaaa menerusi bebenang di Twitter.

"Suami Afiqah kena buang kerja sebab ada bipolar. Kesian. Suami dia terpaksa tipu condition untuk dapat kerja. Kalau tak, sampai sudah tak dapat kerja.

"Orang tak nak ambil kerja. Dah tu orang yang ada sakit ni, tak boleh kerja ke? Macam mana dia nak tanggung keluarga dia," kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Baju sekolah pun tak lepas nak beli, ibu tunggal lebih fikir duit anak masuk asrama penuh... raya tolak tepi!

ARTIKEL BERKAITAN: Anak sakit buah pinggang, ibu tunggal hidap tiroid gigih cari duit! Ikat perut ulang alik Pahang-KL asalkan si kecil dapat rawatan

Menurut wanita tersebut, disebabkan keadaan kesihatannya itu, Muhammad Nur Iman terpaksa bergantung kepada ubat dan perlu menghadiri janji temu di hospital sekali setiap dua minggu.

"Dia terpaksa bergantung pada ubat, kalau tak celaru emosi dan akan tidur dalam waktu lama. Dia ada rujuk psikiatri, kena datang hospital dua minggu sekali.

"Apabila dia ambil ubat benzhexol dan lithium carbonate, automatik urin 'sangkut'.

"Dia cuba untuk tak ambil ubat sebab dia nak kerja. Kalau jujur dengan majikan sekali pun, mereka tetap tak terima alasan ni. Kesian dekat dia, anak-anak masih kecil. Tolong bantu!" kongsinya lagi.

bipolar 1

Lampin pakai buang dan susu yang terpaksa dicatu gara-gara ketiadaan wang.

Pasangan berkenaan mempunyai dua anak kecil yang masing-masing berusia empat dan dua tahun, sekali gus menuntut perbelanjaan yang bukan sedikit untuk kos susu dan lampin pakai buang.

Menerusi pautan yang turut dikongsikan di dalam bebenang tersebut, difahamkan Muhammad Nur Iman didiagnos menghidap bipolar sejak November tahun lalu.

Pautan mengenai kisah keluarga malang tersebut yang ditulis oleh Nor Afiqah, memaklumkan dia dan suami buntu untuk mencari wang bagi menampung perbelanjaan kerana dalam masa sama perlu menyelesaikan tunggakan rumah serta motosikal.

"Bayaran rumah kami tertunggak dua bulan, motor pula tertunggak enam bulan dan memang tiada pihak yang dapat menolong. Sekarang motor pun nak kena tarik.

"RO (repossession order) atau surat kebenaran untuk menarik kenderaan baru saja dikeluarkan. Kami terpaksa bayar RM300 sebab tukang tarik datang tiga orang. Jadi duit BKM (Bantuan Keluarga Malaysia) yang kami dapat dah habis sebab nak selamatkan motor.

Saya tak mampu beli keperluan untuk anak yang bakal lahir sebab kami ada hutang dan kami selalu dahulukan makan minum anak-anak.

NOR AFIQAH SYAHZANI

"Sewa bulanan kami RM900 dan tertunggak selama dua bulan jadinya RM1,800. Motor sebulan RM202, tunggakan selama enam bulan..

"Lampin dan susu anak kami dapat beli dengan baki daripada bayar duit motor kena tarik, tapi sekarang kami memang dah habis bekal makanan.

"Sekarang memang dah tak ada duit langsung, last kami beli beras dan telur untuk makan bulan ni," tulisnya.

Menerusi perkongsian tersebut juga, Nor Afiqah berkata dia dan suami terpaksa merayu sumbangan orang ramai memandangkan sudah buntu memikirkan cara bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.

"Saya tak pernah mohon mana-mana bantuan dan ini pertama kali saya mohon. Untuk minta tolong keluarga pula, ibu mentua saya bukan orang yang senang. Keluarga saya dah stop contact saya sejak empat tahun yang lepas.

"Saya nak bekerja balik untuk menampung keluarga pun tak dapat kerana tidak mampu untuk menghantar anak-anak kepada pengasuh sedangkan kami berhutang dengan tuan rumah dan bank," ujarnya.

Tambah ibu dua anak itu lagi, suaminya baharu sahaja diterima bekerja di sebuah kedai vape yang terletak tidak jauh dari rumah mereka, namun belum menerima gaji pertama.

bipolar 2

Tiada langsung stok makanan dalam peti ais di rumah sewa mereka.

"Saya sedih sangat sebab saya nak bersalin kurang sebulan lagi.

"Saya tak mampu beli keperluan untuk anak yang bakal lahir sebab kami ada hutang dan kami selalu dahulukan makan minum anak-anak.

"Kami memang tak ada tempat bergantung, simpanan kami habis terjejas sebab suami ada masalah.

"Kami harap ada pihak sudi membantu, sampai suami dapat gaji pertamanya hujung bulan hadapan,"ujarnya lagi.

Sehingga kini perkongsian kisah keluarga ini di laman Twitter meraih lebih 1,000 retweet.

Untuk menghulurkan bantuan, anda boleh menyalurkan sumbangan di Marhaen.my.

*Marhaen.my merupakan platform bagi memudahkan rakyat Malaysia membantu dan berkongsi rezeki melalui kemudahan pembayaran secara dalam talian menerusi kempen "Senyum Bersama Marhaen".

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain