DALAM dunia serba mencabar hari ini, bukan mudah untuk kita mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan akademik. Begitulah juga yang dilalui graduan Kejuruteraan Mekanikal ini apabila dia reda bergelar peniaga takoyaki sepenuh masa demi mencari rezeki. Menurut Muhamad Yusof Rasid, 24, yang senang disapa Ujang, dia juga sempat mengikuti kursus berkaitan penerbangan namun segala impian tersekat dek pandemik Covid-19 dua tahun lalu. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Dulu saya ambil diploma dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu. Selepas tamat diploma pada 2019, saya masuk bidang airline. Habis je kursus terus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi saya tak sambung dalam bidang itu. "Ketika PKP, saya banyak bertukar-tukar kerja, biasanya saya kerja di kedai makan. Saya mahu cari pengalaman pada waktu itu. Kemudian kawan saya ajak berniaga takoyaki. Saya pun bersetuju. Saya bermula pada 2021. Masa tu kami berniaga di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). "Sekarang kawan saya usahakan dua gerai. Dia jaga gerai berdekatan Digital Mall, Petaling Jaya manakala saya uruskan gerai di Kelana Jaya. Sejujurnya saya seronok berniaga, sebab mak saya pun berniaga kuih tradisional," ujarnya yang berasal dari Besut, Terengganu. ARTIKEL BERKAITAN: Sushi baru buat 3 jam dah berulat! Peniaga nekad bisnes macam biasa, enggan tahu siapa hantar sihir ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan jumpa mata kail dalam kari kepala ikan, tapi aduan tak dilayan... Peniaga restoran hanya ‘refund’ 60 sen! Menurut Ujang yang juga anak bongsu daripada lima beradik, dia sendiri tidak pernah menikmati hidangan Jepun itu sehinggalah terlibat dalam perniagaan berkenaan pada tahun lalu. "Dulu saya pun tak tahu apa benda takoyaki. Bila hari pertama kerja baru saya belajar cara buat takoyaki. Sebelum mula kerja, saya tak pernah makan pun. Tak pernah tahu rasa atau inti dalamnya. Awalnya saya tolong-tolong je, lama-lama baru pandai buat sendiri. "Bila berniaga macam saya ni, cuaca menjadi cabaran utama. Kalau hujan, mungkin jualan agak perlahan sikit. Antara cabaran lain, kadang-kadang tak cukup barang bila pelanggan tiba-tiba ramai datang. Saya pun masih baru lagi," ujarnya. Saya seronok berniaga. Kalau saya nak cari kerja semula dalam bidang sebelum ini, saya rasa ia lebih susah. UJANG Untuk rekod takoyaki adalah makanan ringan Jepun berbentuk bebola yang diperbuat berasaskan tepung dan dimasak dalam kuali takoyaki khas. Dalam pada itu, Ujang berkata dia tidak kecewa apabila rezekinya terarah ke bidang perniagaan, malah menganggap ia sebagai satu perjalanan yang ditetapkan sang pencipta. Tambah Ujang lagi, ilmu yang dipelajari sebelum ini tidak pernah dipersiakan dan boleh dipraktikkan dalam perniagaannya yang saban hari semakin mendapat sambutan ramai. "Saya tak pernah menyesal, tak pernah terfikir mengenai hal itu. Sebab saya seronok berniaga. Kalau saya nak cari kerja semula dalam bidang sebelum ini, saya rasa ia lebih susah. Takut yang dikejar tak dapat, yang ada depan mata pun tercicir. Jadi sekarang saya fokus pada perniagaan. Ujang merupakan graduan Kejuruteraan Mekanikal. "Ketika saya ikuti kursus airline, saya banyak belajar mengenai komunikasi. Ilmu itu saya dapat terapkan dalam perniagaan saya hari ini. Tambahan pula saya seorang introvert, dulu tak reti nak sembang dengan orang. Alhamdulillah sekarang makin okey," ujarnya lagi. Dalam pada itu, Ujang yang baru lapan bulan aktif di aplikasi TikTok turut terharu apabila video yang dikongsi kerap meraih sehingga ratusan ribu tontonan. Jelas Ujang, penangan viral membolehkan dia meraih pelanggan baharu, sekaligus membuka rezeki buatnya yang masih bertatih dalam dunia perniagaan makanan Jepun. Ujang terharu apabila menerima sokongan ramai di TikTok. "Dulu saya tak ada TikTok dan Instagram. Awalnya, kawan saya yang juga rider FoodPanda selalu rakam video saya tanpa sedar, kemudian video viral. Selepas itu baru saya ada akaun TikTok. "Daripada video-video TikTok, orang mula nampak kedai saya. Kadang-kadang, saya juga buat live ketika berniaga. Alhamdulillah, ada juga saya dapat pelanggan daripada TikTok. "Apabila followers dah meningkat, ada pula yang offer saya buat reviu barang. Jadi tak adalah TikTok tu sekadar hiburan kosong. Selagi ada peluang, pasti saya akan terima. "Terima kasih kepada yang sudi beri sokongan. Saya terharu mereka doakan saya baik-baik walaupun kita tak kenal. "Komen netizen menjadi pembakar semangat untuk saya. Sokongan kecil memberi impak yang besar," ujarnya yang memiliki hampir 60,000 pengikut TiKTok. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI