BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan. Begitulah kisahnya mengenai Mohd Nizam Samin yang diuji hebat apabila isterinya Muzafrina Sagi Rahmad terlantar sakit akibat strok selepas berlaku pendarahan otak kiri pada 24 Jun lalu. Menurut bapa kepada lapan cahaya mata itu, kehidupan mereka sekeluarga berubah 360 darjah selepas kejadian malang itu berlaku, ditambah pula dengan keadaan kewangannya yang tidak mengizinkan. Isteri Nizam jatuh sakit pada 24 Jun lalu. "Pada 24 Jun, isteri terjatuh ketika nak buka telekung selepas solat Asar. Berlaku pendarahan otak kiri yang menyebabkan dia strok sejak dua bulan lalu. Selepas enam hari dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor, dia dibenarkan pulang ke rumah. "Sebelum ini saya kerja buat rumah dan landskap. Saya juga ada ambil upah potong rumput, tapi sekarang saya kena jaga isteri sepenuh masa. Saya juga tidak berapa sihat, namun mujurlah Allah masih beri kekuatan untuk jaga isteri. "Sekarang ini isteri perlu minum susu disebabkan sukar untuk menelan dan menggunakan lampin pakai buang. Susu berharga RM98 yang mana isteri menggunakan untuk dua hari bagi satu tin dan lampin sebanyak lapan keping sehari. "Sebulan saya memerlukan lebih kurang RM1,900 ke RM2,000 hanya untuk susu sahaja, tak termasuk keperluan lampin dan tisu dan lain-lain lagi," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Anak sakit buah pinggang, ibu tunggal hidap tiroid gigih cari duit! Ikat perut ulang alik Pahang-KL asalkan si kecil dapat rawatan ARTIKEL BERKAITAN: Risau tak boleh survive, doktor kata jangan terlalu berharap... bayangkan dugaan ibu berpantang ini tanpa bayi di sisi, yang pasti tidak mengalah! Tambah Nizam kini perbelanjaan hariannya hanya bergantung harap kepada dua orang anaknya yang sudah bekerja. "Saya tidak dapat keluar bekerja membuat rumah seperti sebelum sebelum ini dan perbelanjaan harian kini dibantu oleh anak pertama dan kedua. "Anak pertama dah berkahwin, anak kedua bekerja di restoran Subway. Dua orang sedang sambung belajar dan empat lagi masih bersekolah," ceritanya panjang lebar. Kata Nizam yang berusia 48 tahun dan sebaya dengan isterinya, dia mengakui terpaksa menebalkan muka selepas dilanda masalah kewangan dan berharap ada sinar kebahagiaan untuk mereka sekeluarga tidak lama lagi. Menurut Nizam yang menetap di Johor Bahru, dia juga ada memohon bantuan daripada pihak berwajib namun prosesnya mengambil masa dua ke tiga bulan. "Saya ada memohon bantuan Baitulmal Johor Bahru dan saya difahamkan kelulusan mengambil masa bagi tempoh yang lama iaitu sebulan ke tiga bulan. Saya amat memerlukan bantuan khususnya untuk keperluan isteri dalam waktu terdekat. Nizam berharap isterinya dapat sembuh secepatnya dan menjalani kehidupan seperti normal. "Ada beberapa kali susu isteri habis untuk tiga hari kerana kami gagal. Kami cuba bagi bubur akan tetapi isteri tidak boleh menelan dengan baik dan najisnya mengeras sehingga sembelit. "Saya hilang malu apabila keadaan macam ni. Saya tak kisah orang pertikai. Saya fikir isteri dan anak-anak saja. Anak yang masih bersekolah saya tak risau kerana mereka sangat memahami situasi keluarga. "Mereka hanya makan di rumah, dah berbulan mereka ke sekolah tanpa duit belanja," ujarnya lagi. Biarpun berat diuji, Nizam berkata dia tidak pernah sesekali merungut, malah menyifatkan ia sebagai peluang terbaik untuk membalas segala pengorbanan isterinya sepanjang 26 tahun pernikahan mereka. Nizam dan isteri berkenalan ketika di sekolah rendah dan dia menyifatkan wanita itu sebagai insan yang paling baik di dunia kerana memberikan layanan persis seorang raja kepadanya sepanjang perkahwinan mereka. Saya tak pernah rasa geli atau kotor nak cuci lampin dan najis dia... apa pun bau saya tak rasa busuk. NIZAM "Kami berkahwin tahun 1996. Sejujurnya saya gembira buat semua ini untuk dia. Buat susu, tukar lampin, cuci najis dan sebagainya saya lebih suka buat sendiri. Tak adil kalau saya nak mengeluh. "Saya kenal isteri sejak sekolah rendah, ketika kami darjah tiga. Apabila dah kahwin, dia layan saya macam raja. Kalau cerita kat orang, mesti orang kata macam cerita kartun, macam menipu. Tapi memang saya dilayan macam raja. "Pukul tiga pagi dia sanggup buat air untuk saya. Di mana saya nak makan dalam rumah, dia akan hantarkan makanan dengan air cuci tangan. Saya mandi pun dia akan hantarkan tuala ke bilik mandi. Sampai tahap macam tu. Nizam bersyukur isterinya menunjukkan perubahan baik selepas berbulan-bulan jatuh sakit. "Apabila keadaan dia macam ni, saya terasa macam hilang buah pinggang sebelah. Tapi saya tak pernah rasa geli atau kotor nak cuci lampin dan najis dia. Apa pun bau saya tak rasa busuk. Banyak benda wangi dia buat pada saya selama ini. "Selama ini dia layan saya sangat baik walaupun saya ada kurangnya. Cuma sekarang rasa ralat sangat kalau tak boleh bagi dia susu. Tak kisah la macam mana, saya cuma nak dia sihat. Bukan untuk buat kerja rumah, tapi cukuplah dia dapat hidup normal semula. "Alhamdulillah, sekarang nampak ada perubahan positif. Isteri saya pun boleh bangun apabila kita pegang. Dah ada pergerakan kaki dan tangan," ujarnya lagi. Untuk menghulurkan bantuan, anda boleh menyalurkan sumbangan di Marhaen.my Marhaen.my merupakan platform bagi memudahkan rakyat Malaysia membantu dan berkongsi rezeki melalui kemudahan pembayaran secara dalam talian menerusi kempen "Senyum Bersama Marhaen". Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI