suria

Bapa meninggal, anak sulung rancang berhenti belajar... simpati tengok ibu kerja teruk demi sara keluarga

Banyak dugaan terpaksa ditempuh gadis ini selepas kematian bapanya.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Pepatah ini sesuai bagi menggambarkan situasi Amiera Maya Nurzaliqqa Mohd Amiruddin, 21, apabila gagal menahan air mata di pusara arwah bapanya, Mohd Amiruddin Supar yang meninggal dunia pada 24 Jun lalu.

Dia yang senang disapa Maya berkata pelbagai kesukaran dan tanggungjawab terpaksa dihadapi selepas pemergian bapanya apatah lagi dia merupakan anak sulung dalam keluarga.

“Pada 9 Mac 2021 ayah disahkan menghidap kanser kolon dan hati. Bulan tu adik sedang menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan saya pula tengah exam ulangan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia).

“Ayah tak beritahu kami mengenai penyakit dia sebab risau akan ganggu fokus kami tapi saya pelik dia sering ke hospital. Tapi satu hari tu saya ternampak surat sakit dari hospital menyatakan tentang penyakit dia. Saya cuma diam saja walaupun dah tahu.

“Sebulan lepas tu ayah terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Teluk Intan, Perak untuk lakukan pembedahan (9 April 2021). Masa tu saya tengah duduki peperiksaan kertas akhir iaitu Sejarah,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkesan bapa meninggal mengejut, anak ubah fikiran nekad belajar ke peringkat lebih tinggi... mengaku cuma berlakon tunjuk kuat!

ARTIKEL BERKAITAN: Besar ujian buat pengantin! Bapa meninggal 5 jam sebelum majlis nikah, selesai ijab kabul terus buat tahlil

Maya turut menceritakan mengenai dirinya yang terpaksa mencari kerja bagi membantu menampung kos sara diri dan keluarga kecilnya.

Dalam pada itu, gadis yang menetap di Sungai Besar, Selangor ini turut menerima tawaran kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak (UIAM), Kuala Lumpur pada Oktober 2021.

Mahu menyambung pengajian tetapi tidak mahu mengabaikan tugas terhadap keluarga tersayang, Maya membahagikan masanya untuk melaksanakan kedua-duanya secara serentak.

Maya merupakan anak sulung daripada dua orang adik beradik.

“Ayah dah tak larat nak kerja jadi mama minta saya 'gantikan' dia. Saya terima tawaran kerja dekat sebuah syarikat swasta. Pada bulan tu pula ayah sudah mula jalani sesi kemoterapi sebanyak 12 kali sehingga Disember.

“Pada Oktober saya diterima masuk UIAM tapi belajar secara dalam talian saja. Jadi saya boleh bekerja sambil belajar. Waktu siang saya akan kerja dekat Promaxx Marketing sampai jam 5 petang. Balik tu saya terus bantu ibu berniaga makanan di Galeri Selera Fas, Tonggak 10, Sungai Besar.

“Tapi saya berhenti kerja tetap pada Februari 2022 dan fokus kepada perniagaan dan belajar saja. Saya akan berada di UIAM selama tiga hari dan selebihnya di rumah untuk berniaga,” katanya.

Keadaan bapa Maya semakin kritikal apabila beg stoma yang digunakannya dipenuhi darah dan terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Teluk Intan pada 23 Jun 2022.

Mama sekarang terpaksa buat dua kerja. Dia bekerja hampir 20 jam sehari. Berat badan pun makin susut akibat terlalu letih.

AMIERA MAYA NURZALIQQA

Pada keesokan harinya, bapa Maya menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.35 malam yang mana dia diberitahu oleh ibunya, Rosnani Ahmad bahawa bapanya meninggal akibat akibat kanser kolon, kanser hati, kanser paru-paru, kanser buah pinggang dan limpa.

Maya terpaksa menangguhkan peperiksaan yang sepatutnya diambil pada 25 Jun 2022 kepada tarikh lain demi menguruskan pengebumian bapa.

Ujian demi ujian terpaksa ditanggung apabila dia menerima satu lagi perkhabaran duka bahawa datuknya Supar Sidek yang meninggal dunia pada 27 Jun 2022.

Bapa Maya meninggal dunia pada 24 Jun 2022.

“Mama sekarang terpaksa buat dua kerja. Dia bekerja hampir 20 jam sehari. Berat badan pun makin susut akibat terlalu letih.

“Saya masih berbelah bahagi untuk belajar kerana kos minyak saya sahaja hampir RM300 sebulan dan kami tidak mampu, tambah pula bila terpaksa tinggalkan mama di rumah sendiri.

“Adik saya akan pulang ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) Lendu Melaka pada 9 Oktober 2022. Sekarang pun saya kembali bekerja di tempat kerja lama untuk membantu mama mencari wang simpanan,” jelasnya lagi.

Maya (kiri) bersama ibu dan arwah bapanya.

Ujar Maya, kesukaran dihadapi membuatkan dirinya menghadapi masalah kemurungan yang disahkan oleh Hospital Sabak Bernam, Selangor.

Bagaimanapun, keadaannya semakin stabil apabila memikirkan adik dan ibunya yang memerlukan dirinya ketika itu.

Tambahnya, dia tetap bersyukur walaupun dalam situasinya diuji dengan dugaan sebesar ini, dia dikelilingi kawan-kawan saudara mara yang sentiasa memberikan semangat dan galakan untuk meneruskan kehidupan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain