suria

Ramai terhibur tengok gelagat ‘jurutera kebersihan’ kutip sampah! Dalam ceria ada yang simpan niat sambung belajar

Gelagat ceria Wan dan rakannya mencuit hati netizen.

KETIKA ramai golongan muda lebih cenderung memilih pekerjaan, remaja ini pula langsung tidak kisah berjemur di tengah panas dan bergelumang dengan bau busuk setiap hari.

Bagi Wan Othman Wan Mohd Nor Hassyim, mencari rezeki sebagai pemungut sampah bukanlah sesuatu perkara yang memalukan, asalkan ia sumber pendapatan yang halal.

Malah remaja yang senang disapa sebagai Wan ini juga sering kali berkongsi video gelagatnya dan rakan-rakan memungut sampah di aplikasi TikTok.

Salah satu video yang dirakam Wan, memaparkan gelagat seorang rakannya yang begitu ceria dan bersemangat ketika mengangkat tong sampah, membuatkan para netizen turut sama tersenyum dan memuji kecekalan anak muda seperti mereka yang bekerja keras demi kelangsungan hidup.

Sehingga kini, video berkenaan meraih melebihi 347,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sebelum ni mereka datang pagi” - Mahu ubah pekerja lori sampah jadi model, jurugambar sanggup tunggu berjam-jam

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki si pemungut sampah, dapat macam-macam semasa perayaan Tahun Baru Cina... paling best angpau lebih RM2,500!

Berkongsi cerita dengan mStar, Wan yang kini berusia 19 tahun berkata dia sudah hampir 10 bulan bekerja sebagai pemungut sampah dengan syarikat Alam Flora di bandaraya Kuantan, Pahang.

"Sebelum bekerja sebagai pemungut sampah, saya bekerja secara kontrak dengan sebuah syarikat sub-kontraktor Alam Flora. Tugas saya membersihkan bangunan dan membersihkan longkang. Dalam enam bulan juga bekerja.

"Selepas itu saya mohon untuk bekerja di bawah Alam Flora. Saya sendiri yang minta untuk bekerja sebagai pemungut sampah kerana nak mencuba sesuatu yang baru dan mencari pengalaman," ujarnya.

wan 2

Wan bekerja sebagai pemungut sampah sejak 10 bulan lalu.

Wan yang merupakan anak kedua daripada lima adik beradik ini berkata, dia sudah mula bekerja sejak berusia 14 tahun kerana mahu membantu keluarga.

"Saya sebenarnya tak berpeluang menghabiskan persekolahan peringkat menengah... hanya sempat belajar setakat tingkatan dua.

"Ada faktor yang mendorong saya untuk bekerja, namun saya tak selesa nak berkongsi. Apa yang boleh saya katakan, ketika itu saya tengok keluarga susah, jadi saya ambil keputusan untuk bekerja.

"Selepas berhenti sekolah, macam-macam kerja saya buat. Antaranya kerja kedai makan, ikut ayah bekerja sebagai pemandu treler dan berbagai lagi. Matlamat saya adalah untuk bantu keluarga," ujarnya.

wan 3

Wan kini bekerja sebagai pemungut sampah dengan syarikat Alam Flora.

Bercerita lebih lanjut, Wan berkata dia gembira dengan kerja yang dilakukannya sekarang walaupun sesetengah orang melabel pemungut sampah sebagai pekerjaan kelas bawahan.

"Selain saya, dekat sini ramai juga orang muda yang bekerja sebagai pemungut sampah. Ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ada yang berusia 20-an... yang lebih tua dalam 40-an pun ada.

"Walaupun berbeza usia, tapi semuanya sekepala. Bukan itu saja, kalau ada rezeki, ada penduduk taman atau orang beri makanan serta minuman. Ada juga yang bagi perabot atau barang terpakai.

"Itu yang membuatkan saya seronok. Sebab persekitaran kerja yang bagus. Nak bekerja pun senang hati.

Saya sendiri yang minta untuk bekerja sebagai pemungut sampah kerana nak mencuba sesuatu yang baru dan mencari pengalaman.

WAN OTHMAN

"Kawan-kawan sekolah dulu pun tak ada nak pandang serong walaupun saya kerja macam ni. Mereka tegur macam biasa seperti dulu juga," ujarnya lagi.

Tambah Wan, walaupun sudah selesa bekerja dan sudah lama meninggalkan alam persekolahan, namun sesekali terbit juga perasaan di hatinya untuk menyambung kembali perdidikannya yang tergendala.

"Pernah terdetik juga di hati kalau ada rezeki nak sambung belajar lagi. InsyaAllah, semuanya tengok kepada rezeki dan situasi," katanya.

Tidak menyangka videonya menjadi tular, Wan berkata dia sekadar berkongsi gelagat rakannya itu untuk tujuan suka-suka.

wan 1

Wan tetap menyimpan keinginan untuk menyambung kembali pelajarannya yang tergendala sebelum ini.

"Biasalah kalau dengan kawan-kawan, banyak benda kelakar yang keluar. Kebetulan terdetik nak rakam dan muat naik untuk suka-suka. Tak sangka pula jadi viral.

"Saya tak sempat baca semua komen lagi, namun terharu apabila ramai beri komen pujian dan mendoakan kami. Ada yang gelar kami jurutera kebersihan, dan ramai yang menghargai pekerjaan kami. Terima kasih buat semua.

"Bagi saya, kerja ni tak perlu pun nak memilih asalkan ia sumber yang halal. Bagi golongan muda yang kerja biasa-biasa, usah segan... apa pun Allah dah tetapkan rezeki masing-masing," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain