suria

“Tahan sikit esok kita ke klinik” - Selepas pujuk, kutip ulat satu persatu... wanita terkilan tak sempat selamatkan anjing cedera

Min berkongsi video cubaan untuk menyelamatkan anjing yang meraih lebih 1 juta jumlah tontonan.

HATI wanita ini luluh apabila melihat seekor anjing mengalami luka begitu parah di bahagian leher.

Yasmin Hanani, 25, berkata dalam kejadian pada 8 Julai lalu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Klang, Selangor apabila melihat sekumpulan anjing melintas jalan dan salah seekor daripadanya mengalami kecederaan.

Jelasnya ketika dihubungi mStar, dia bagaimanapun tidak berhenti dan memberikan bantuan kepada anjing malang tersebut kerana mampunyai urusan penting di rumah ibunya.

“Saya dalam perjalanan ke rumah mak dengan suami. Kami lalu jalan dalam iaitu di Kampung Sawah. Masa tu la saya nampak ada tiga hingga empat ekor anjing melintas dan ada seekor tengkuknya berdarah. Walaupun nampak serius luka tu tapi dia masih boleh berjalan.

“Saya seorang je nampak anjing tu, suami tak perasan. Dua hari berturut-turut saya fikir fasal anjing tu bila balik ke rumah dan akhirnya saya ceritakan juga dekat suami," katanya.

Selepas suaminya dimaklumkan, mereka berdua keluar dan pergi semula ke kawasan anjing-anjing tersebut ditemui sebelum ini untuk menghulurkan bantuan.

"Kami keluar jam 5.30 petang, cuaca pun redup saja. Bila lalu kawasan tu memang nampak 'dia' ada dekat tepi jalan terbaring dan dah tak boleh berjalan,” ujarnya yang senang disapa Min.

Melihat keadaan anjing itu yang cukup sadis membuatkan wanita yang merupakan pencinta haiwan ini menangis sebelum memberikan bantuan.

Jelas Min, ketika sedang memberikan pertolongan, dia dihampiri seorang lelaki india yang mengaku bahawa anjing tersebut merupakan haiwan peliharaannya yang bernama Georgi.

Lelaki tersebut turut menceritakan punca Georgi mengalami cedera parah.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sudi jaga saya? Selepas selamatkan anak anjing comel, remaja ini sedia lepaskan kepada tuan baharu walau hubungan dah mesra

ARTIKEL BERKAITAN: Pujuk dulu, kemudian bantu! Cara abang polis selamatkan anjing jatuh longkang buat ramai tersentuh

“Bila sampai saya nampak 'dia' tak bergerak dari tempat saya jumpa sehari sebelum tu. Saya terus ambil sarung tangan dan ubat-ubatan untuk beri rawatan. Dia nampak takut tapi kakinya sangat lemah masa nak lari dari saya.

“Masa saya cuba alihkan dia ke tepi jalan ada seorang uncle India tanya kenapa alih anjing dia. Saya terkejut rupanya anjing ni bertuan. Tuannya tu beritahu anjing dia yang bernama Georgi kena gigit anjing liar dekat tengkuk.

“Uncle beritahu dia ada letak minyak tanah di kawasan luka yang dah banyak ulat sebab lalat bertelur. Saya rasa mungkin sebab minyak tu luka yang asalnya kecil jadi lebih teruk sampai nampak kesan kemerahan macam terbakar,” ujar Min lagi.

Sayu mendengar cerita Georgi, Min dan suaminya, Azri Salman, 27, meneruskan niat untuk membantu dengan membuang ulat-ulat tersebut satu per satu dan proses itu mengambil masa selama lebih tiga jam.

Min dan Azri dalam perjalanan ke Klang, Selangor ketika terjumpa anjing tersebut.

Menurutnya yang berasal dari Klang, Selangor, dia tidak dapat membawa Georgi ke klinik haiwan kerana waktu beroperasi sudah tamat.

“Saya ada beli ubat jenis spray. Lepas sembur banyak sangat ulat jatuh. Dari sekecil-kecil saiz sampailah besar. Saya tak dapat bayangkan betapa lama dah dia menderita tahan sakit.

“Bila tengok keadaannya dah 'bersih' sikit tak ada ulat saya cuba bagi makan tapi 'dia' tak jamah sikit pun. Mungkin luka bahagian leher tu terlalu dekat dengan tekak jadi 'dia' hilang selera.

“Bila bagi minum guna sudu barulah 'dia' minum sikit. Saya ada pesan pada Georgi minta dia bertahan sampai esok pagi untuk saya bawa jumpa doktor. Sebelum tinggalkan dia, saya tinggalkan nombor dekat uncle tu dan beritahu yang saya akan datang balik,” imbas Min.

Saya terkilan apabila tak dapat menyelamatkan Georgi. Lama juga saya ambil masa untuk terima kenyataan yang dia mati sebelum sempat saya selamatkan.

YASMIN HANANI

Namun, pada keesokan paginya, uncle tersebut menghantar mesej pada Min dan memberikan perkhabaran bahawa Georgi telah mati.

Sekali lagi wanita ini mengalirkan air mata kerana terkilan tidak dapat menyelamatkan haiwan tersebut.

Perkongsian videonya yang disiarkan di TikTok meraih lebih 1.1 juta jumlah tontonan dan rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak di ruangan komen.

Min dan Azri cuba sedaya upaya mereka membantu anjing cedera.

“Saya terkilan tak dapat selamatkan Georgi. Lama juga saya ambil masa untuk terima kenyataan yang dia mati sebelum sempat saya selamatkan.

“Apa-apa pun, saya bersyukur dan berterima kasih dekat suami yang turut menyokong dengan membantu saya cuba selamatkan anjing tu. Dia banyak tenangkan saya dengan kata-kata positif.

“Lagi pula, saya memang dari kecil sudah dididik oleh mak dan ayah supaya menyayangi haiwan. Waktu saya darjah tiga, saya pernah juga rawat haiwan luka di bahagian telinga sehingga berulat. Jadi saya memang tak takut atau geli dengan ulat-ulat ni semua,” ujar Min lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain