suria

Kecoh isu baki 5 sen, Zus Coffee lancar siasatan... Bukan kes ‘tak cukup’, akan ambil tindakan

Zus Coffee memohon maaf selepas tular insiden kekurangan baki 5 sen.

SELEPAS membuat permohonan maaf, rangkaian kafe terkenal, Zus Coffee tampil dengan kenyataan susulan berhubung isu ketiadaan wang baki sebanyak lima sen.

Ketua Pegawai Operasinya, Venon Tian berkata, pihaknya mengambil serius setiap maklum balas dan komited untuk terus menambah baik pengalaman pelanggannya.

Berhubung isu baki 5 sen yang tular, katanya, satu siasatan segera telah dijalankan.

"Satu siasatan segera dilancarkan bagi menangani isu tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Zus Coffee mohon maaf isu tak cukup baki 5 sen selepas teruk dikecam... Beri baucar potongan 75 sen kepada pelanggan

Merujuk kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kata Venon, pelanggan berkenaan mengunjungi cawangan di Tanjung Malim pada pukul 11.13 pagi, 28 September 2022 dan memesan minuman Caramel Macchiato ais berharga RM11.75 pada 11.14 pagi.

Menurutnya, pelanggan telah membuat bayaran sebanyak RM12, dan wang baki 20 sen dikembalikan kepadanya.

zus cofee

Kenyataan Zus Coffee pada Sabtu.

"Apabila pelanggan menyatakan bahawa juruwang telah memberikan baki kurang 5 sen, dia meminta untuk memberikan tambahan baki lagi 10 sen.

"Juruwang memberikan tambahan baki 10 sen hampir serta-merta iaitu 8 saat dari baki pertama diberikan.

"Kesimpulannya adalah kes diketengahkan oleh pelanggan tersebut walaupun hanya 5 sen, dalam perniagaan harus mengembalikan baki wang yang tepat, atau lebih dan tidak berkurang.

"Ia merupakan sebahagian daripada etika dan prinsip perniagaan, yang dilakukan oleh pekerja kami hampir serta-merta," menurut Venon kenyataannya di Facebook.

Sehubungan itu, Venon memberitahu, beberapa pelan tindakan akan diambil oleh pasukannya bagi menambah baik perkhidmatan.

Antaranya, melanjutkan latihan etika perniagaan kepada semua pekerja, menyediakan baki yang tepat kepada pelanggan dan secara alternatif mempunyai nilai yang sama, mengeluarkan nilai 5 sen dalam menu, dan mempromosikan penggunaan aplikasinya untuk menggalakkan transaksi tanpa tunai.

"Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang mungkin berlaku dan komited untuk berkhidmat lebih baik," kata Venon sambil menambah pelanggan boleh berhubung dengan pihaknya sekiranya terdapat perkhidmatan yang tidak memuaskan.

Terdahulu, tular mengenai hantaran yang dimuat naik di laman sosial, pelanggan berkenaan berkongsi situasi di mana juruwang di kafe berkenaan memulangkan wang baki kurang lima sen dengan alasan tiada duit baki yang mencukupi.

Tidak berpuas hati dengan alasan yang dianggap seperti mengambil kesempatan, pelanggan itu bertindak 'menyekolahkan' juruwang berkenaan sehingga dia diberikan wang baki yang sepatutnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain