suria

[V] Bapa auto menari siap kibas-kibas tangan depan cucu... Memang silap besar kaki latah kuis ikan mainan atas meja!

Gelagat bapa Nur Atiqah yang melatah mencuit hati netizen.

AKSI seorang warga emas yang melatah sehingga menari gara-gara tercuit mainan berbentuk ikan yang boleh bergerak, cukup mencuit hati netizen.

Lebih melucukan, kedengaran suara anak kecil yang turut sama tergelak dek tidak dapat menahan tawa melihat gelagat datuk kesayangan mereka melatah kerana terperanjat.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Atiqah Zaini berkata gelagat spontan bapanya, Zaini Zi, 56, sempat dirakam ketika lelaki itu mahu duduk di meja makan.

"Ikan mainan tu saya beli untuk kucing. Saya minta pos dekat alamat rumah mak... lagipun rumah saya dengan rumah mak ayah dekat saja. Kebetulan hari kejadian, saya nak pergi ambil ikan tu tapi sempat buka dulu di rumah mereka.

"Alang-alang ada ikan tu, saja niat nak kacau ayah. Plan asalnya, saya yang nak usik ikan tu. Tapi masa ayah nak duduk di meja makan, dia pula yang usik sendiri hingga terkejut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Janganlah kacau, nanti kau berjangkit tahulah” - Pemuda latah penat ‘lari’, tukar kerja cari ketenangan

ARTIKEL BERKAITAN: Suka sakat kawan latah, akhirnya ‘berjangkit’ dekat diri sendiri... pemuda dedah dah banyak handphone jadi ‘korban’

"Memang terus melatah la dia... cucunya pun tergelak tengok datuk mereka," ujar wanita berusia 30 tahun ini.

Berkongsi 'sejarah' bagaimana bapanya mula melatah, Nur Atiqah berkata, tabiat tersebut sudahpun bermula ketika orang tuanya baru mendirikan rumah tangga dengan ibunya.

LATAH 1

Nur Atiqah (dua, kiri) bersama ibu, bapa serta adik beradiknya.

"Daripada penceritaan mak dan ayah, ayah ni masa muda suka menyakat seorang nenek yang juga jiran sekampungnya. Bermula daripada situ, dia pun terjangkit.

"Apabila dah makin berusia, makin menjadi-jadi pula siap dengan aksi mimik muka dan gerakan badan seperti menari. Selalunya ayah melatah tak lama, dia akan berhenti sendiri.

"Kami anak beranak suka usik ayah tapi berpada-pada tengok keadaan. Selalunya masa bersantai-santai, kami akan usik. Bukan waktu ayah tengah buat kerja, di dapur atau memandu.

LATAH 2

Bapa Nur Atiqah sememangnya rapat dan mesra bersama cucu-cucunya.

"Syukur, ayah tak melatah waktu drive, mungkin sebab fokus. Tapi selalunya kalau travel jauh, adik bongsu yang drive," katanya yang menetap di Kota Damansara.

Menurut Nur Atiqah, hanya dia dan adik bongsunya yang 'mewarisi' tabiat melatah ayahnya.

"Tapi sekadar di mulut saja melatah, tak sampai tahap menari-nari," ujarnya sambil berseloroh.

Selalunya masa bersantai-santai, kami akan usik. Bukan waktu ayah tengah buat kerja, di dapur atau memandu.

NUR ATIQAH ZAINI

ANAK

Tidak menyangka perkongsian videonya menjadi tular sehingga meraih lebih 887,000 jumlah tontonan di TikTok, Nur Atiqah berkata dia sekadar berkongsi momen mencuit hati itu untuk diabadikan di media sosial.

"Niat saya muat naik video itu hanya suka-suka simpan di TikTok dan nak menghiburkan pengikut. Langsung tiada niat untuk buat content atau cari publisiti. Kalau untuk tujuan itu, sudah tentu setiap masa saya akan rekod video ayah.

LATAH 3

Menurut Nur Atiqah, bapanya sudah mula melatah ketika baru mendirikan rumah tangga dengan ibunya.

"Ada yang DM minta post video ayah selalu sebab dia suka tengok. Tapi seperti yang saya cakap, saya tak berniat nak buat content. Ia adalah video yang dirakam secara spontan.

"Sebenarnya banyak saja video lucu melatah yang lain tapi saya kongsi yang lucu, santai dan tak sensitif. Sebelum muat naik pun saya tanya dan maklumkan ayah dulu.

"Malangnya ada pula komen yang video seperti ini boleh buka aib ayah. Takkanlah kita nak buat macam tu. Apapun kita sebagai anak semestinya yang lebih kenal ayah sendiri," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain