suria

[V] “Tanya pasal anak, mata bergenang” - Nenek umur 80 tahun jual air kotak bawah flyover, ada kala terlelap tunggu pelanggan

Wanita tua ini berniaga air kotak seorang diri di bawah jejambat.

MESKIPUN usianya sudah melepasi lapan dekad, wanita tua ini cekal menggunakan tulang empat keratnya untuk mencari rezeki yang halal.

Kelibat warga emas ini hampir sahaja tidak kelihatan kerana dia lebih senang berniaga sambil duduk di bawah 'flyover', namun segelintir pengguna jalan raya yang perasan akan singgah untuk membeli jualannya.

Kisah nenek tua ini menjadi perhatian selepas videonya yang sedang berniaga air kotak berperisa coklat dikongsikan oleh seorang wanita di laman TikTok.

"Ya Allah, kesiannya makcik ni... mesti penat sangat sampai tertidur," tulisnya pada video berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Nurul Fazierah Mashdin ini berkata, wanita tua itu berniaga seorang diri dan berjalan kaki dari rumahnya ke jejambat berkenaan yang terletak kira-kira lapan minit dengan menaiki kenderaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik tua gigih usung hasil kraftangan, bakal doktor sedih tak dapat beli banyak... tapi bantu cara lain - “Ada yang sanggup bayar berapa saja upah”

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri hidap kanser telinga, pakcik OKU gigih berniaga di kaki lima bank... tulis atas kertas minta ‘pakat-pakat tolong’ - “Dia masih fikir orang yang lebih susah”

"Sebenarnya, video tersebut dirakam ketika saya kali kedua berjumpa dengan makcik tersebut pada April lalu. Kali pertama saya terserempak dengannya adalah pada November 2021.

"Saya sempat singgah dan beli jualannya... sambil-sambil tu bersembang serba sedikit. Katanya, suami dah meninggal dunia 10 tahun lalu.

"Apabila ditanya mengenai anak, matanya bergenang. Jadi saya enggan 'push' dengan bertanya banyak soalan. Namanya juga saya tak tanya, hanya panggil 'makcik' dan dia beritahu umurnya dah lebih 80 tahun.

makcik 2

Wanita tersebut dirakam tertidur keletihan menunggu pelanggan yang sudi membeli jualannya.

"Disebabkan kasihan, kami hantar makcik tu pulang ke rumahnya. Dia menetap di sebuah flat di Jalan Klang Lama... menyewa bilik dengan rakannya dan beberapa individu lain. Saya sempat belikan barangan makanan serba sedikit untuknya ketika itu," ujar wanita berusia 22 tahun ini.

Menurut Nurul Fazierah, disebabkan berasa simpati dengan nasib warga emas berkenaan yang tinggal sebatang kara, dia pernah cuba menghubungi aktivis terkenal, Ustaz Ebit Lew di media sosial untuk membantu memohon bantuan bagi pihak wanita tersebut.

"Namun mesej tersebut tiada balasan... mungkin sebab ustaz sendiri menerima banyak mesej dan tak perasan mesej yang dihantar oleh saya.

makcik 3

Nurul Fazierah sempat membantu membelikan barangan makanan untuk wanita tersebut.

"Selepas pertemuan pada April lalu, saya dah tak nampak kelibat makcik tersebut berniaga di bawah jejambat berkenaan.

"Jadi masa bulan puasa dan waktu hari raya beberapa bulan lalu, saya pergi mencarinya di flat tetapi makcik itu dah tak tinggal di situ lagi.

"Orang-orang terdekat dan jiran-jirannya pun tak tahu lokasi tempat tinggal baharu makcik tersebut," katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pusat beli belah di ibu kota.

Tambah Nurul Fazierah, disebabkan pencariannya menemui jalan buntu, dia mengambil keputusan untuk memuat naik video warga emas berkenaan di laman sosial.

Saya sendiri tak mampu untuk membantu dari segi wang ringgit, jadi inilah saja cara saya iaitu cuba sebarkan agar ramai-ramai tolong makcik ni.

NURUL FAZIERAH MASHDIN

"Niat saya kongsi video tersebut adalah untuk minta siapa-siapa yang nampak makcik ini berniaga di mana-mana, mohon bantunya setakat mana yang boleh atau belilah jualannya.

"Saya sendiri tak mampu untuk membantu dari segi wang ringgit, jadi inilah saja cara saya iaitu cuba sebarkan agar ramai-ramai tolong makcik ni. Waktu rakam dulu, saya pun dah mohon kebenaran daripada makcik," katanya.

Tanpa disangka, perkongsiannya mengundang perhatian netizen malah ramai yang menyuarakan hasrat untuk membantu meringankan beban warga emas tersebut.

"Ada yang WhatsApp, ada yang komen mahu transfer duit dan minta saya sampaikan kepada makcik tersebut. Sebenarnya berat juga untuk saya pikul amanah ini, namun saya sedaya upaya cuba tunaikan juga niat baik orang lain yang mahu meraih pahala bersama.

makcik 4

Nurul Fazierah (kiri) meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki wanita berkenaan.

"Buat masa ini saya masih mengumpul maklumat untuk menjejaki makcik tersebut. Saya beritahu kepada penderma yang saya akan buat live ketika pertemuan itu, dan menyampaikan sumbangan yang diamanahkan.

"Kalau siapa-siapa ada maklumat pasal makcik tu, boleh hubungi saya juga. Saya tak sabar bak jumpa semula dengan makcik tu, nak beritahu betapa ramai rakyat Malaysia yang baik dan prihatin," ujarnya lagi.

Sehingga kini, video yang dimuat naik oleh Nurul Fazierah meraih melebihi 1.8 juta jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain