suria

[V] “Semua ni untuk ayah” - Belum naik pentas, baru letak bonnet atas kepala... wanita ini dah menangis dulu dalam kereta kenang arwah bapa

Biha menangis di dalam kereta ketika mencuba pakaian konvokesyen.

MENAMATKAN pengajian di kolej atau universiti bukanlah satu perkara mudah terutama bagi mereka yang sudah mempunyai keluarga.

Adakalanya kesempitan atau cabaran hidup membuatkan mereka sukar untuk meneruskan perjuangan namun ada yang tabah mengharunginya demi menggenggam segulung ijazah.

itulah yang perlu dihadapi wanita yang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang ini sebelum dia akhirnya dapat menyarung jubah konvokesyen sempena hari graduasinya pada 3 Disember ini.

Bercerita kepada mStar, Nabihah Kasim, 30, menjelaskan kisah di sebalik tangisannya ketika mencuba jubah idaman setiap yang bergelar mahasiswa itu di dalam keretanya.

“Semasa saya drive nak ke USM untuk ambil jubah konvo, saya dah mula rasa macam-macam. Tak percaya, bangga, terharu semua ada. Waktu ambil jubah memang mata berair dah.

“Saya saja rakam video untuk kenangan dan masa nak cuba bonnet (topi PhD) tu memang ‘automatik’ menangis sebab terkenang perjalanan PhD saya yang sangat-sangat susah.

“Lepas pakai tu, saya terfikir nak video call parents untuk kongsi momen ni. Terus saya terkenang arwah ayah dan menangis lagi teruk sebab PhD ni sebenarnya saya buat untuk ayah saya. Ni impian arwah juga,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai kepayahan dirinya untuk lulus PhD, dugaan paling sukar adalah terpaksa membahagikan masa menguruskan rumah tangga.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan jaja ada PhD rancak tengking pekerja restoran piza, tak boleh sabar diminta tunggu 45 minit... Gadis ini malu tak terkata!

ARTIKEL BERKAITAN: Genggam PhD pada usia 27 tahun cabaran hebat ketika jadi pelajar di luar negara... Dr Hadi kongsi petua elak pelajar tertekan

Biha yang memiliki dua cahaya mata berkata, tugasan sebagai ibu tidak pernah dilupakan walaupun mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan pengajian.

Struggle jugalah saya buat PhD sebab dah berkahwin dan ada anak. Saya bersalin dua kali sepanjang perkahwinan tu. Buat PhD sebagai isteri atau ibu ni tak mudah sebab kerja rumah pun kena buat, belajar pun kena fikir juga.

“Jam 9 pagi hingga 5 petang saya di makmal. Apabila balik petang saya memasak sambil layan anak-anak buat kerja rumah. Malam pula lepas anak tidur saya akan stay up baca atau tulis paper.

Bersama rakan-rakan sewaktu mengikuti pengajian di USM.

“Empat hari sebelum pembentangan tesis pun saya masih di wad teman anak sakit masuk hospital,” ujarnya lagi.

Menurut Biha yang memiliki lapan adik beradik, ketika semester pertama dia terpaksa reda dengan pemergian bapanya pada 18 September 2017.

Dia yang sedang sarat berbadan dua pada ketika itu merasakan seolah-olah dunianya gelap kerana masih belum bersedia kehilangan bapanya, Kassim Abas.

“Arwah meninggal secara mengejut iaitu pada hari sama balik dari menunaikan haji. Dia pulang dalam keadaan sihat tapi meninggal selepas beberapa jam tidur di rumah.

Biha bersama suami dan anak-anak.

“Waktu tu saya mengandung dan masih sedikit ‘lost’ dalam study. Boleh dikatakan setiap hari menangis sepanjang jalan masa memandu ke makmal di USM.

“Ayah saya seorang cikgu. Dia seorang yang hebat, tegas dan penyayang. Selalu dia cakap yang dia tak ada harta nak tinggalkan pada kami tapi sebenarnya dia bekalkan kami dengan pelajaran yang cukup,” ujarnya.

Kata Biha yang mengambil jurusan Nano Materials Fabrication and Characterisation di Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR) USM, kedua-dua orang tuanya merupakan sumber inspirasi yang menjadi pemangkin untuk dia meneruskan pengajian.

Alhamdulillah saya terharu sebab ramai yang komen cakap mereka terinspirasi untuk sambung dan habiskan belajar, siap mesej secara personal pun ramai.

NABIHA

Katanya, sebelum ini bapanya mengambil ijazah pada usia 37 tahun manakala ibunya pula ketika berusia 40 tahun sambil menguruskan lapan anak.

Berikutan video dikongsikan Biha di TikTok, rakaman menyentuh hati warga maya itu meraih lebih 500,000 tontonan.

Rata-ratanya mengucapkan tahniah serta memberikan kata-kata semangat buat Biha di ruangan komen.

Keluarga Biha ketika ibunya menamatkan pengajian peringkat ijazah pada usia 40 tahun.

“Saya terkejut sebenarnya dengan reaksi netizen sebab saya ni ‘sendu’ saja di media sosial. Tapi Alhamdulillah saya terharu sebab ramai yang komen cakap mereka terinspirasi untuk sambung dan habiskan belajar, siap mesej secara personal pun ramai.

“Alhamdulillah saya harap generasi muda nampak kepentingan ilmu ni, sebab mereka sekarang dah tak nak sambung belajar lepas SPM. Ramai nak jadi content creator. Nak jadi content creator boleh, jadilah yang berilmu,” ujar Biha menitipkan pesan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain