suria

Tak mahu kisah sedih berulang, pelanggan sambut birthday pelayan restoran mamak! ‘Anne’ terharu dihargai, janji akan kembali ke Malaysia

Seorang pelayan diraikan oleh pelanggannya sebelum dia pulang ke India.

WALAUPUN sambutan hari jadinya diraikan secara ringkas, kenangan tersebut akan sentiasa diingati oleh seorang pekerja restoran mamak.

Ketika dihubungi mStar, seorang wanita yang senang disapa sebagai Amelia menceritakan detik manis dia dan ahli keluarga meraikan hari jadi seorang pelayan di restoran mamak Al Fariz Maju, Petaling Jaya pada Isnin.

Dia yang berkongsi video sambutan itu di akaun TikTok @nasikerabu77 berkata, ibunya yang memberikan idea supaya pelayan restoran yang dikenali sebagai Sankar itu diraikan memandangkan dia baru menyambut ulang tahun kelahiran pada 14 Januari baru-baru ini.

Selain itu, Amelia berkata sambutan itu menjadi lebih istimewa kerana Sankar bakal pulang ke negara asalnya, India selama kira-kira empat bulan untuk berkahwin.

Sankar bekerja di restoran tersebut selama 6 tahun.

“Dia sentiasa mesra dan selalu mengambil pesanan makanan kami untuk beberapa tahun ini.

“Sankar sangat peramah... disebabkan kami selalu ke sana, dia sudah tahu makanan dan minuman yang kami sering pesan.

“Selain itu, dia sangat sopan dengan kami,” katanya apabila ditanya tentang Sankar.

Menerusi video yang dikongsi, Sankar kelihatan tersenyum gembira apabila keluarga Amelia menyanyikan lagu hari jadi kepadanya sambil mengeluarkan kek dari kotak.

Amelia berkata Sankar sangat juga bersyukur apabila dirinya diraikan dan berkongsi kek yang diberi dengan rakan serumahnya.

Sankar sangat peramah... disebabkan kami selalu ke sana, dia sudah tahu makanan dan minuman yang kami sering pesan.

Amelia

Bercerita lanjut tentang pelayan di restoran mamak, Amelia berkata sebelum ini dia dan keluarga pernah bersedih gara-gara seorang pekerja di situ meninggalkan Malaysia tanpa mereka sempat mengucapkan selamat tinggal.

Menurut Amelia, Sankar telah bekerja di restoran tersebut selama enam tahun dan dia pasti lelaki itu teruja untuk pulang ke negaranya untuk berjumpa keluarga.

“Sebenarnya, kami memang suka pelayan di Restoran Al Fariz Maju ini. Sebahagian daripada mereka balik ke India dan tidak kembali.

“Sama juga dengan Sankar, kita tidak tahu sama ada dia akan datang semula atau tidak walaupun dia kata akan kembali.

“Sekurang-kurangnya, kami dapat meraikannya sebelum dia pergi,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata auto mengalir nampak mak ayah masuk dewan, siap bawa kek birthday... Suami gembira kejutan untuk isteri menjadi!

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tempah Paw Patrol, dapat My Little Pony! Ibu ini masih senyum ‘repair’ sendiri kek birthday anak, netizen pula panas hati

Amelia berkata dia tidak sangka video pendek itu akan tular dan mendapat perhatian ramai.

“Secara jujur, saya muat naik video ini untuk kenangan saya sendiri. Saya agak terharu sebab tak sangka orang pun rasa sedih apabila tengok video tersebut.

“Ramai orang juga meninggalkan komen baik-baik di ruangan komen.

“Bukan saya seorang sahaja yang rasa tersentuh semasa menonton video tersebut,” katanya.

Antara komen netizen di TikTok.

Video yang dimuat naik meraih lebih 11,000 tanda suka dan lebih 65,000 tontonan selain komen warganet yang rata-rata gembira melihat kebaikan yang dilakukan ahli keluarga Amelia.

“Aduh, bergenang air mata. Kenapa awal sangat potong bawang.

“Tengah menahan air mata dekat tempat kerja sekarang. Baiknya keluarga awak. Orang lain dapat kek, saya yang menangis.

“Rindu juga pelayan di restoran mamak saya, saya selalu ingat dia akan berikan papadom setiap kali kami makan.

“Dia tak akan lupakan perkara ini sampai bila-bila. Itu yang pasti.

“Saya ingat saya seorang sahaja yang sebak. Orang-orang yang berjiwa indah. Semoga tuhan memberkati awak sekeluarga,” demikian antara komen netizen di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan