suria

‘Park’ lama di 2 petak pam minyak, pemandu bas tetap enggan beri laluan kepada ambulans bawa pesakit uzur - “Tu masalah kau, bukan masalah aku”

Tular rakaman sebuah bas didakwa selamba parkir di petak pam minyak dalam tempoh lama. (Gambar hiasan)

MASIH ada golongan dalam masyarakat yang bersikap pentingkan diri apabila petak pam minyak digunakan sesuka hati seperti kepunyaan sendiri.

Terbaharu, tular rakaman video memaparkan pemandu sebuah bas ekspres didakwa selamba menggunakan pam diesel untuk kenderaan ringan sedangkan pam khas untuk kenderaan berat sudah disediakan.

Situasi ini ternyata menyusahkan pengguna lain yang ingin mengisi minyak, seperti mana yang dialami oleh seorang pemandu ambulans.

Ketika dihubungi mStar, Azman Mohamed Isa atau lebih mesra disapa Azman Roy, berkata, dia bersama dua rakannya dalam perjalanan menghantar seorang pesakit warga emas berusia 89 tahun dari Seksyen 24, Shah Alam ke Sungai Dua, Pulau Pinang.

Azman Roy berkata ketika berhenti di sebuah stesen petrol, dia mendapati sebuah bas diparkir di dua petak yang disediakan untuk kenderaan ringan mengisi minyak.

Disebabkan sudah lama menunggu, dia cuba menegur pemandu bas berkenaan tetapi mendakwa lelaki tersebut menjawab dengan kasar sambil memberi alasan sedang menunggu penumpangnya naik.

Untitled design - 1

Tangkap layar video yang dimuat naik di TikTok

Menurut Azman Roy, kejadian berlaku pada 6 Mac lebih kurang jam 7.30 pagi itu yang mana mereka terpaksa singgah mengisi petrol kerana seperti yang dapat dilihat dalam video tular, meter minyak berada di takuk empty (kosong).

"Waktu berhenti di Petron tu, ada sebuah bas baru sahaja selesai isi minyak. Kami tunggu belakang bas tu. Tapi lepas lima minit macam, bas tak bergerak pergi.

"Pam untuk kenderaan berat (lori dan bas) ada di sebelah sana. Tapi bas tu dah block pam kenderaan ringan. Sepatutnya pemandu bas tu kena isi minyak di pam khas yang disediakan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Yang ni aku pantang sangat!” - Buat petak pam minyak macam sendiri punya, pemandu Porsche buat ramai berang

ARTIKEL BERKAITAN: Hati bekas pekerja ‘dijentik’, kirim RM1,000 kepada bos stesen minyak... Rupanya nak tebus dosa lama - “Dulu dia ambil duit dan barang”

"Saya turun beritahu yang ambulans saya bawa pesakit dan nak isi minyak. Dia cakap tengah tunggu penumpang yang turun. Saya beritahulah ada pesakit tua yang terlantar uzur nak hantar ke rumah anaknya.

"Terkejut saya bila dia bagi jawab dengan kasar kau pergi isi minyak dekat tempat lain. Tu masalah kau dan bukan masalah aku," pemandu ambulans yang berusia 38 tahun itu mengimbas semula kejadian.

Sementara itu, Azman Roy yang sudah bekerja sebagai pemandu ambulans selama lapan tahun memberitahu dia sebenarnya sudah terbiasa dengan kes sebegini.

Namun apa yang membuatkan anak kelahiran Klang, Selangor ini bertambah sedih adalah jawapan yang diberikan oleh individu berkenaan yang dianggap tidak mempunyai sensitiviti dan sifat berperikemanusiaan.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku di pam minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Gunung Semanggol, Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

"Masa tu ada la sedikit pertengkaran, tapi nasib baik pembantu pemandu bas tenangkan pergaduhan. Lepas tu barulah pemandu bas alih bas dan pergi.

Untitled design - 1

Takuk minyak ambulans.

"Sebelum ni ada sahaja kes yang sama macam ni. Nak kena ketuk tingkap ataupun tegur barulah nak alih. Kalau tak tegur, kena tunggu sampai mereka habis urusan barulah kenderaan tu dialihkan.

"Cuma kes kali ini saya agak kecewa. Saya kecewa dengan ayat pemandu bas tu. Siap suruh saya pergi cari stesen minyak yang lain serta beritahu tu bukan masalah dia, tu masalah saya," ujarnya.

Dalam pada itu, dia yang bekerja di Shah Alam, bersyukur kerana urusan menghantar pesakit uzur itu ke rumah anaknya di Pulau Pinang dipermudahkan.

Azman Roy turut memberitahu tujuannya memuat naik video tersebut adalah untuk menunjukkan masih ada rakyat Malaysia yang bersikap penting diri sehingga menyusahkan orang lain.

"Tujuan saya muat naik video tu bukan nak mencari gaduh atau salah sesiapa. Tetapi saya beritahu banyak lagi manusia yang bersikap pentingkan diri dan tidak ada sifat perikemanusiaan. Sedangkan kami ambulans yang membawa pesakit," ujarnya lagi.

Antara komen netizen pada hantaran berkenaan

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen berkongsi pernah mengalami nasib yang sama dan geram dengan sikap tidak bertanggungjawab golongan itu.

"Sama la. Baru kena semalam. Kita tengah beratur nak isi minyak. Pemandu lori tu sedap (selamba) sedut rokok kat sebelah sana. Sampai kita kena undur dan masuk dekat pam sebelah.

"Saya pernah kena tempat yang sama. Ada dua buah bas sedang tunggu penumpang. Parkir dekat situ. Macam mana orang nak isi minyak?

"Macam aku tadi petang (6 Mac), nak isi minyak ada lori parkir dekat pam. Sebab nak pergi beli snek. Tunggu dalam 30 minit cari tak jumpa pemandu. Akhirnya pergi pam lain," luah netizen.

Ada juga netizen yang meminta pihak stesen minyak untuk membuat pengumuman supaya golongan ini tidak 'naik lemak'.

"Suruh jurupam tu buat pengumuman dekat speaker biar dia malu. Buat dalam nada tegas. Sama juga dengan kenderaan lain yang jenis biar sahaja kereta parkir dekat pam ni," kongsi netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain