suria

Momen cucu-cucu melompat peluk nenek buat ramai sebak... Tapi ‘Maktin’ pula bocor rahsia, rupanya baru 2 minggu tak jumpa

Momen di mana ibu Fatin diterpa anak kepada sepupunya sebaik mereka bertemu membuatkan ramai yang sebak.

KEHADIRAN anak kecil sememangnya menjadi penyeri dalam sebuah keluarga.

Mereka bukan hanya ditimang dan ditatang ibarat minyak yang penuh oleh ibu bapa, malah menjadi 'intan payung' kesayangan datuk nenek serta ibu saudara.

Jika ditelusuri di media sosial, banyak perkongsian video yang dimuat naik oleh warga maya memaparkan momen istimewa bersama datuk atau nenek masing-masing yang bisa menyentuh hati ramai.

Baru-baru ini tular satu video memaparkan momen di mana seorang nenek datang membuat kejutan di rumah cucunya untuk melepaskan kerinduan, yang mana membuatkan rata-rata netizen turut sebak.

Sehingga kini video tersebut meraih lebih 450,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sanggup berjauhan walau jarak rumah hanya 10 minit, cucu lega nenek tak pandai baca mahir guna voice message

ARTIKEL BERKAITAN: Alahai! Kejutan hari jadi nenek nyaris tak menjadi gara-gara ikut instinct adik... suasana kelakar bertukar sedih ketika tiup lilin

Berkongsi cerita dengan mStar, Fatin Zulaikha Ismail berkata video tersebut dirakam olehnya secara spontan ketika dia bersama ibu, Zaimah Mohd, 64, berkunjung ke rumah sepupunya.

"Tiga orang kanak-kanak di dalam video itu sebenarnya anak kepada abang sepupu saya. Kiranya, mereka adalah cucu saudara kepada ibu saya. Walaupun berpangkat cucu saudara dengan nenek saudara, namun hubungan mereka sangat erat.

"Abang sepupu saya sebelum ini pun rapat dengan ibu malah membesar bersamanya. Jadi selepas dah berkahwin dan ada anak, anak-anaknya pula rapat dengan ibu.

nenek 2

Fatin (kiri) bersama ibunya (tiga, kanan) dan keluarga abang sepupunya.

"Malah ibu sering menjaga mereka sebab rumah kami dengan abang sepupu sekitar 30 kilometer saja... masih lagi dalam bandar Seremban.

"Kalau tengok video, orang mesti ingat itu nenek dan cucu, dan orang fikir dah lama tak berjumpa. Sebenarnya dua minggu kami tak bersua muka, tapi gaya mereka berpelukan ibarat dua tahun tak berjumpa," ceritanya berseloroh.

Mesra disapa sebagai Fatin, wanita berusia 29 tahun ini berkata kanak-kanak tersebut yang berusia dalam lingkungan dua hingga lapan tahun memanggil ibunya dengan gelaran Tokde.

"Saya anak tunggal dan masih belum berkahwin. Jadi, budak-budak itulah tempat ibu saya melepaskan kerinduan dan melayan macam cucunya sendiri.

Sebenarnya dua minggu kami tak bersua muka, tapi gaya mereka berpelukan ibarat dua tahun tak berjumpa.

FATIN ZULAIKHA ISMAIL

"Kalau kami berjalan ke mana-mana, ibu mesti tak lupa belikan buah tangan atau hadiah buat cucu saudara kesayangannya itu. Selalu juga kami 'culik' tiga beradik tu bawa balik sebab mereka mesti nak ikut.

"Abang sepupu saya dan isterinya pun dah tahu dah... anak-anak mereka memang suka ikut Tokde sebab nak tidur dengan Tokde mereka. Kalau nak tahu, mereka memang jenis periang dan penyayang.

"Saya balik kerja dan muncul dekat pintu rumah pun, mereka terpa dan peluk macam lama tak jumpa. Tapi itulah hati tulus kanak-kanak apabila mereka nak tunjukkan kasih sayang," ujarnya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Fatin berkata dia sekadar mahu mengabadikan momen istimewa tersebut untuk dijadikan tatapan untuk masa depan kelak.

nenek 3

Busana raya pasti dipilih dengan tema warna sedondon melambangkan keakraban hubungan keluarga.

"Ibu saya dah tua... ini salah satu perkara yang membuatkannya gembira. Kita tak tahu hayat masing-masing berapa lama, jadi selagi ada peluang dan ruang, habiskan masa dengan melakukan perkara-perkara gembira bersama keluarga.

"Tak sangka ramai turut tersentuh bila tengok video tu. Tapi sedih juga bila ada yang komen, hubungannya dengan neneknya macam langit dengan bumi. Sedih pula apabila terbaca komen macam tu.

"Secara tak langsung, menerusi video itu, saya nak sampaikan betapa pentingnya kita eratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga dan ambil peluang yang ada untuk cipta kenangan manis," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain