suria

Imaginasi ngeri jadi realiti! Dua lelaki muncul tengah malam di balkoni kondo tingkat 12 - “Ada bagusnya saya paranoid”

Rumah pasangan ini hampir diceroboh oleh dua lelaki tidak dikenali.

BAHAYA boleh berlaku di mana-mana.

Walaupun berada di kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat berlindung paling selamat, masih ada bahaya menanti.

Maka, wajar bagi kita untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, walaupun di kediaman sendiri.

Terbaharu, seorang wanita berkongsi pengalaman ngeri yang berlaku ke atas dia dan suami ketika sedang bersantai di ruang tamu kondominium mereka yang tidak dinyatakan lokasi.

Menurut Phoebe Shafinaz, kejadian berlaku pada jam 12.43 malam apabila suaminya tiba-tiba menjerit sebaik saja ternampak susuk tubuh manusia di balkoni rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki didakwa ceroboh, tertidur dalam rumah mangsa dihadap ke mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Pak guard ceroboh rumah pernah tanya di mana ‘suami’! Wanita dedah terpaksa ambil ubat penenang, mujur tergerak hati beli CCTV 2 minggu lalu

“Saya sentiasa paranoid tentang keselamatan diri dan orang tersayang. Hari ini (30 Mac) terbukti bahawa ada bagusnya menjadi seorang yang paranoid.

“Saya sedang tengok-tengok telefon apabila suami tiba-tiba menjerit. Saya angkat kepala dan melihat seorang lelaki dengan ketinggian kira-kira 6 kaki di balkoni.

“Lelaki itu cuba buka sliding door dan kami nampak ada seorang lagi lelaki baru saja turun ke balkoni dari tingkat atas,” katanya yang berkongsi tentang kejadian itu di Twitter.

Ceritanya lagi, walaupun mereka berdua dalam keadaan panik pada ketika itu namun suaminya memberanikan diri berlari ke arah pintu bagi memastikannya ia dikunci dengan sempurna.

Kami tidak dapat tidur semalam selepas kejadian itu. Jadi suami menempah hotel supaya kami boleh tidur beberapa jam sebelum bekerja.

PHOEBE SHAFINAZ

Ketika itu, suaminya dikatakan berada terlalu rapat dengan penceroboh di luar yang kemudiannya meminta mereka diam.

“Saya berlari ke arah suami dan menariknya dari pintu untuk pastikan dia selamat. Kemudian saya menghubungi polis, pengawal keselamatan dan menghantar mesej SOS (kecemasan) dalam WhatsApp grup kondo.

“Beberapa perkara terus berlegar di fikiran saya. Apa akan jadi kalau kami tidak mengunci pintu? Apa yang akan berlaku kepada kami jika lelaki itu berjaya masuk? Apa yang akan berlaku jika kami sudah tidur? Bagaimana jika mereka masuk, menjadikan kami tebusan atau memaksa kami melindungi mereka?.

“Saya pun buntu. Saya tak mahu fikir negatif. Saya mahu percaya bahawa lelaki itu hanya melarikan diri dari sesuatu dan hanya lalu di rumah saya,” ujar wanita itu yang unitnya terletak di tingkat 12.

Bagaimanapun, dia masih terus berfikir apakah tujuan lelaki itu memanjat dari balkoni ke balkoni.

Suaminya mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyendal kayu pada pintu.

Apabila melihat lelaki itu, katanya, ia bagaikan mimpi ngeri jadi realiti kerana perkara itu benar-benar berlaku seperti yang pernah dibayangkan selama ini.

"Sebab itu saya selalu paranoid. Tak ada yang mustahil untuk berlaku pada zaman ini. Apa-apa saja boleh terjadi. Sejak pindah ke sini, saya selalu membayangkan ada orang asing di balkoni dan hari ini ia berlaku," katanya.

Dalam masa sama, terselit juga rasa terharu melihat tindakan suaminya yang sanggup melindunginya dalam apa jua keadaan.

“Suami betul-betul sanggup mempertaruhkan keselamatannya sebab nak kunci pintu. Kami tak dapat tidur semalaman selepas kejadian itu.

“Jadi suami tempah hotel hanya supaya kami boleh tidur beberapa jam sebelum bekerja. Ya, kami agak trauma tetapi belajar banyak daripada pengalaman ini.

“Saya cadangkan semua orang di luar sana untuk sentiasa mengunci pintu dan tingkap anda. Walaupun langkah itu nampak kecil dan mudah, tetapi ia boleh menjadi sebab kini anda masih hidup,” katanya lagi.

Hantaran tersebut meraih perhatian warga maya yang turut bimbang dengan apa yang dialami pasangan ini.

Mana tidaknya, adalah mustahil untuk manusia normal menggadai nyawa memanjat balkoni pada malam hari tanpa sebab dan alasan.

Dalam satu lagi hantaran yang dibuat, dia memaklumkan suaminya mengambil langkah keselamatan dicadangkan netizen dengan meletakkan kayu pada sliding door mereka supaya sukar dimasuki penceroboh dari luar.

Pemandangan dari balkoni rumah Phoebe yang menginap di tingkat 12.

“Saya suka Twitter bermaklumat (cadangan netizen)! Saya harap apa kami buat ni betul. Ini hanyalah salah satu daripada banyak langkah keselamatan sementara yang kami ambil.

“Kami telah memesan lebih banyak barangan (keselamatan). Terima kasih atas semua cadangan,” katanya dalam ciapannya berserta video.

Sudah pasti apa yang berlaku ini boleh dijadikan sebagai pengajaran malah sebagai peringatan kepada kita agar lebih berhati-hati.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain