suria

Dua gadis enjoy jadi pemandu, kelindan! Selalu karaoke dalam perjalanan hantar barang, akui belum cukup gagah buka pintu kontena

Dua gadis ini mencari rezeki sebagai pemandu dan kelindan lori kontena.

BUKAN biasa-biasa! Siapa sangka di sebalik treler yang besar saiznya, pemandu dan kelindannya kedua-duanya adalah wanita.

Tetap berperwatakan feminin, dua gadis ini masih mampu tersenyum dan kelihatan ceria walaupun mengendalikan kenderaan berat.

"Saya bawa kereta pun gugup lagi kak. Salute," demikian antara komen netizen menerusi satu video mereka yang tular di media sosial.

Bercakap kepada mStar, salah seorang daripada mereka, Fatima Zahara Nor Azman berkata, dia menjalankan tugas sebagai kelindan iaitu pembantu kepada sepupunya, Amira Fatihah Khairudin, 26, yang merupakan pemandu lori kontena atau treler.

Wanita berusia 27 tahun itu memberitahu, walau baru dua bulan bekerja sebagai kelindan, dia tidak kekok melakukan tugas berkenaan.

"Treler atau lori kontena ni memang setiap hari hantar barang ke destinasi. Kebiasaannya kami hantar bekalan tayar, minyak pelincir dan barangan elektrik.

"Sebagai kelindan, antara tumpuan saya adalah melihat titik buta bagi mengelakkan daripada sebarang kenderaan sepanjang perjalanan," katanya ketika dihubungi.

Dua gadis ceria menaiki lori kontena.

Lebih mesra disapa Tyma, katanya, tentunya terdapat cabaran apabila wanita menggalas tugas sebagai kelindan atau pembantu kepada pemandu lori atau treler.

"Tak banyak pemandu lori atau treler wanita. Kalau ada pun, kebiasaannya kelindan mereka adalah lelaki. Tapi kami dua-dua wanita bergabung!" ujar anak kelahiran Taiping, Perak itu.

Tyma (kiri) bersama sepupu, Amira Fatihah.

Walaupun kebanyakan barang diangkat dan dikeluarkan oleh petugas, namun Tyma yang dibesarkan di Nilai, Negeri Sembilan tetap berdepan cabaran untuk membuka pintu kontena.

ARTIKEL BERKAITAN: Sambil punggah barang, dengar orang kutuk kerjaya driver lori! Lelaki ini tak teragak tayang sijil dekan 4 semester

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu posmen, kini pemandu lori kontena... pemuda akui realiti kerjanya susah nak balik rumah, siap pesan "kalau lori masuk simpang tolonglah mengalah!"

"Buka dan tutup pintu kontena bukan mudah, sangat berat sebenarnya. Ada yang saya lakukan sendiri, dan saya akan minta bantuan sepupu sekiranya terlalu berat.

"Kalau ada forklift lebih senang kerja kalau di tempat tinggi. Tapi tolak, buka tutup pintu kontena bukan masa keluarkan barang je, pemeriksaan sekuriti pun kena buka dan masa ni tak ada orang nak bantu, apatah lagi forklift,” katanya.

Tyma selesa menjadi kelindan lori.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, mereka juga perlu membiasakan diri untuk bergaul dengan pemandu dan kelindan lori serta treler yang mana majoritinya adalah lelaki.

Berpengalaman bekerja sebagai kerani di pejabat dan kemudian membantu ibunya membuat kuih dari rumah, Tyma tidak menyesal berhujan berpanas mencari rezeki di luar.

Pekerjaan ini menjadi keperluan untuk sara hidup, tak kisah kena berpanas atau berhujan dan bukan kerja dalam pejabat ada aircond.

FATIMAH ZAHARA NOR AZMAN

"Saya pernah menganggur selama lebih setahun. Bukan senang nak cari kerja sekarang, walau kerja berat dan macam tak sesuai untuk wanita, ia tetap sumber rezeki saya.

"Pekerjaan ini menjadi keperluan untuk sara hidup, tak kisah kena berpanas atau berhujan dan bukan kerja dalam pejabat ada aircond," katanya sambil menambah dia dan sepupu sering berkaraoke sepanjang perjalanan menghantar barang ke destinasi.

Menghiburkan diri ketika menjalankan tugas menghantar barang.

Selain itu, Tyma juga tidak mengambil peduli terhadap tanggapan segelintir pihak terhadap peranannya sebagai kelindan yang tidak mempunyai lesen kenderaan perdagangan.

"Kerja sebagai kelindan ni bukannya hina. Saya pernah diperli ingatkan saya boleh memandu, dan hanya sangka tugas kelindan hanya tukang buka dan tutup pintu kontena.

"Sebenarnya peranan kelindan banyak membantu pemandu sepanjang menjalankan tugas dan tanggungjawab buat syarikat dan pelanggan.

"Saya tak ambil peduli apa kata orang. Saya cuma fikir ini adalah kerja halal. Kepada wanita yang dah ada lesen tu, kenapa tidak mencuba untuk memandu. Dan jadi kelindan pun ada fungsinya, yang penting ia adalah sumber rezeki untuk kita sara hidup," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain