suria

Gerai nasi lemak bentang 20 meter karpet merah sambut pelanggan... Terus ‘feeling’ macam artis nak ambil anugerah!

Gerai nasi lemak yang membentangkan karpet merah untuk menghargai pelanggan.

KEBIASAANNYA hanya tetamu kenamaan atau golongan VIP akan disambut dengan hamparan permaidani merah ketika hadir ke acara tertentu.

Begitu juga dengan artis, selebriti atau influencer yang dijemput ke acara karpet merah sempena majlis hiburan.

Namun kini dengan hanya membeli sebungkus nasi lemak daun pisang, anda berpeluang merasai pengalaman seumpama itu.

Kerana keunikan itu juga sebuah gerai nasi lemak di belakang pusat beli-belah Aeon Mall di Seksyen 13, Shah Alam tular selepas membentangkan karpet merah khas buat para pembeli.

Pengusahanya, Mohd Ali Jainneh, 33, berkata, idea itu timbul selepas dia terlihat sebuah gerai laksa di Pahang yang membentangkan karpet hitam.

"Saya lihat ia lebih kemas dan cantik. Jadi, saya bentangkan pula karpet merah di gerai nasi lemak sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang beratur.

"Karpet merah itu dilihat sebagai satu keunikan yang membuatkan ramai teruja, tanpa mempunyai rasa perlu menunggu lama atau beratur panjang," katanya kepada mStar.

nasi lemak 4

Antara reaksi pelanggan melalui permaidani merah.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Ali, bekas imam itu mengusahakan bisnes nasi lemak bermula di Samarahan, Sarawak sejak lapan tahun lalu sebelum berpindah ke Shah Alam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah sempoi jadi individu 'terpaling ikut tema' majlis makan malam! Berbaloi perah otak, hadiah balik modal

ARTIKEL BERKAITAN: 'Nasi lemak kren' dijual pemuda ini nampak sedap, sesedap suaranya nyanyi live di TikTok setiap malam

"Cawangan pertama di Shah Alam di Seksyen 18 dan cawangan kedua ini baru seminggu beroperasi. Tapi kami baru bentangkan karpet merah sejak empat hari lalu.

"Kalau karpet merah, orang hanya fikir anugerah atau artis. Sekarang orang biasa pun boleh merasai pengalaman yang sama macam artis dengan membeli nasi lemak," ujarnya yang berasal dari Tamparuli, Sabah.

nasi lemak 2

Nasi lemak daun pisang menjadi perhatian ramai.

Dengan panjang berukuran kira-kira 6 meter, karpet merah itu dapat membantu memeriahkan gerai nasi lemak yang beroperasi dari pukul 7 malam sehingga 11 malam kecuali Ahad.

Ustaz Ali yang juga bekas pensyarah tidak menyangka gerai yang baru dibuka itu menerima sambutan amat menggalakkan sehingga menyaksikan barisan beratur yang agak panjang.

Kalau karpet merah, orang hanya fikir anugerah atau artis. Sekarang orang biasa pun boleh merasai pengalaman yang sama macam artis.

MOHD ALI JAINNEH

PENGUSAHA NASI LEMAK

"Disebabkan sambutan itu, kami tambah lagi karpet merah menjadikan keseluruhan hampir 20 meter bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang beratur panjang.

"Dengan adanya karpet merah, ia membuatkan pelanggan akan beratur mengikut barisan, sekali gus memberi isyarat kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dengan kehadiran orang ramai di bahu jalan," tambahnya.

nasi lemak 1

Selain karpet merah, turut disediakan kerusi untuk kemudahan para pelanggan.

Selain menghargai pelanggan menerusi hamparan permaidani merah, kata Ustaz Ali, pihaknya turut menyediakan air balang secara percuma setiap Khamis.

"Air balang percuma ni kita bagi secawan seorang. Ada satu hari tu lebih 200 cawan kita edarkan secara percuma," katanya yang turut memasang tiang besi untuk kemudahan pelanggan beratur.

Pelanggan beratur mengikut barisan.

Bukan sekadar itu, Ustaz Ali memaklumkan gerai nasi lemaknya turut menyediakan sejumlah kerusi sebagai kemudahan untuk orang yang menunggu.

"Bagi pelanggan khas seperti wanita hamil, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), mereka boleh WhatsApp order lebih awal dan datang ambil tanpa perlu menunggu.

"Kepada pelanggan lain pula, diharapkan semua bertimbang rasa dan beratur mengikut giliran. Utamakan siapa yang datang dahulu, kalau ada kawan yang datang kemudian eloklah pesan saja kepada rakan di hadapan tanpa perlu memotong barisan orang lain," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain