MUSIM konvokesyen sudah tiba dan pasti ramai yang teruja menyaksikan gelagat graduan menerima skrol di atas pentas. Namun, seorang graduan berdepan dengan situasi yang tidak disangka-sangka. "Kisah sedih di hari konvokesyen," tulis seorang wanita menerusi satu perkongsian video yang menunjukkan sepasang kasutnya dibuang ke dalam tong sampah. Fatin menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat Cerita Nur Fatin Sulaiman, kejadian berlaku pada istiadat konvokesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor, pada minggu lalu. Wanita berusia 32 tahun itu memberitahu, dia membuat persiapan awal termasuk membeli baju dan tudung baharu bagi menghadiri majlis tersebut. "Semua saya beli baharu, kecuali kasut sebab saya ada sepasang kasut yang masih elok dan jarang digunakan. Kasut itu saya hanya guna untuk majlis-majlis besar. "Kasut tu disimpan dalam kotak. Pada hari kejadian, ia tidak mengelupas atau terkopak. Malah saya sempat menggunakannya untuk sesi fotografi bersama keluarga di studio tiga hari sebelum majlis," katanya kepada mStar. Keadaan kasut yang mula mengelupas sewaktu memasuki dewan. Graduan Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat daripada UiTM Kampus Puncak Alam itu berkata, dia hanya menyedari sesuatu yang tidak kena ketika memasuki dewan konvokesyen. ARTIKEL BERKAITAN: "Saya acah-acah macho, first time pakai kasut kulit tumit tinggi" - Graduan 'ghaib' selepas jatuh tangga masa konvo tergelak tengok diri sendiri ARTIKEL BERKAITAN: Graduan gigi rongak gamatkan majlis konvo... Rupanya di sebalik senyuman ada kisah ngeri, 3 hari terlantar di hospital "Tapak kasut sebelah kanan tiba-tiba tertanggal. Saya toleh ke belakang dan sempat lihat tapak tu dari jauh. Alamak dah tercabut! "Patutlah masa naik tangga saya rasa tapak kasut lain macam. Nak patah balik untuk ambil tapak kasut dah tak boleh sebab kami semua masuk ke dewan mengikut penggiliran, giliran yang sama untuk naik ke atas pentas bagi menerima skrol," ujarnya yang mesra disapa Fatin. Fatin (tengah) meraikan kegembiraan bersama rakan-rakan. Menurut Fatin yang mengikuti pengajian jarak jauh (PJJ), dia mengakui tidak tenang sepanjang berada di dalam dewan kerana memikirkan nasibnya apabila naik ke atas pentas. "Saya hanya tawakal. Tiada rasa gementar nak naik ke pentas, tapi saya lebih kepada panik terbayangkan kalau tapak kasut tertanggal ketika berdepan dengan naib canselor. "Selain doa, saya sangat berharap janganlah sebelah lagi tapak kasut tertanggal," ujarnya yang berasal dari Puchong, Selangor. Keluarga hadir memberi sokongan kepada Fatin, pada majlis konvokesyen. Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia bernasib baik apabila tiada kejadian yang tidak diingini berlaku ketika naik ke pentas bagi menerima skrol. "Saya terkejut kasut yang dipakai tiba-tiba bermasalah sebaik turun dari pentas. Tiba-tiba kasut mengelupas dengan bahagian hadapan terkopak macam 'mulut buaya'. Syukur tiada kejadian tapak kasut tercabut di atas pentas. NUR FATIN SULAIMAN GRADUAN "Selepas sesi fotografi di luar dewan bersama keluarga, saya kemudian buang kasut tu dalam tong sampah," katanya yang kemudian memakai sandal yang turut dibawanya pada hari itu. Menganggap sebagai satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, Fatin yang merupakan pembantu tadbir sama sekali tidak menyangka perkara tersebut berlaku padanya. Fatin ketika menerima skrol di pentas. "Memang tak sangka sebab kasut tu elok saja pada awalnya. Saya hanya beli kasut baharu untuk mak kerana selama ini dia selalu pakai sandal dan tidak biasa ke majlis-majlis rasmi. "Jadi, fokus saya lebih kepada mak, pakaian suami dan anak-anak untuk hadiri konvo saya. Kalau tahu kasut saya tu mengelupas, sudah tentu saya akan membeli kasut yang baharu. "Syukur tiada kejadian tapak kasut tercabut di atas pentas. Mujur juga dalam gambar di pentas okay, langsung tak nampak kasut yang dah buruk," ujarnya secara berseloroh. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube