suria

Guna Evian dituduh cuma ‘wayang’! Peniaga tak melatah, air balang sebungkus RM10 tetap laku keras

Peniaga ini menerima kecaman selepas menggunakan air mineral jenama Evian di kedainya.

SEORANG peniaga berdepan kecaman netizen apabila dia menggunakan air mineral berjenama popular, Evian dalam penyediaan minuman di kedai miliknya.

Menurut netizen, apa yang dipamerkan oleh peniaga itu hanyalah 'wayang' semata-mata memandangkan harga sebotol Evian adalah lebih mahal berbanding air mineral biasa.

"Botol je Evian. Dalamnya air paip dirawat.

evian2

Fahmi dan isterinya mengusahakan kedai ikan bakar sejak tiga tahun lalu.

"Depan kamera je. Belakang kamera tak tahu la air apa.

"Lepas tu harga berapa ribu satu plastik (minuman) ni? Takut nak beli," tulis beberapa netizen.

Ketika dihubungi mStar, peniaga yang dikenali sebagai Muhammad Fahmi Mohd Rahani itu berkata dia sedar segala kecaman netizen dan menafikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Macam-macam orang cakap. Mereka kata saya guna air paip, air Coway dan macam-macam lagi.

MUHAMMAD FAHMI MOHD RAHANI

Jelas pemilik restoran ikan bakar berusia 34 tahun itu, dia baru sahaja memperkenalkan produk air balang di premisnya dan penggunaan air mineral Evian merupakan salah satu kaedah promosi untuk menarik pelanggan.

"Saya buka kedai ikan bakar sejak tiga tahun lepas. Terbaharu, saya tertarik tengok satu jenama air balang. Jadi saya sertai jenama itu untuk membolehkan saya jual air balang mereka di kedai saya. Baru saja mula tiga hari lepas.

"Sebenarnya air Evian memang dari pihak (pemilik jenama) air balang tu sendiri. Mereka minta kami guna air Evian untuk opening. Sepatutnya guna air Evian untuk first balang sahaja pada hari pertama berniaga.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual air balang pun 'bergelut', paling sedih laksa sedap ibu langsung tak terusik, “Saya tak tahu apa yang kurang”

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga guna helah iklan gerai, ramai tertipu sangka betul Tokti pernah singgah! Netizen buat pendedahan mengejutkan

"Tapi disebabkan kecaman netizen. Saya teruskan jual air balang yang dicampur Evian selama tiga hari. Selepas ini, baru saya akan tukar kepada air mineral jenama Spritzer," ujarnya yang berniaga di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia tidak kecil hati dengan tuduhan yang dilemparkan netizen, sebaliknya mengajak mereka untuk datang sendiri mencuba makanan serta minuman yang ada di kedainya.

"Macam-macam orang cakap. Mereka kata saya guna air paip, air Coway dan macam-macam lagi. Mereka kata itu gimik saja. Tapi sambutan menggalakkan. Sebab orang cakap macam tu, ramai yang nak cuba.

evian3

Air balang itu dijual pada harga RM10 sebungkus.

"Dalam tiga hari, saya dah jual 450 bungkus air balang. Ada dua perisa iaitu bandung laici dan jagung. Harga RM10 sebungkus. Tapi setiap bungkus tu kita masukkan satu tin buah. Ia sangat berbaloi.

"Saya orang berniaga, dah biasa kena kecam. Tapi untuk air balang ni, orang kecam kata saya menipu. Saya terima saja, saya tak kecil hati," ujarnya.

Menurut Fahmi yang mengusahakan perniagaan bersama isterinya, Nurdiana Burhanuddin, 34, dia sentiasa cakna segala komen netizen dan berazam untuk sentiasa memberikan servis terbaik buat pelanggan pada masa akan datang.

evian4

Kedai makan Fahmi yang terletak di Sungai Buloh.

"Semua peniaga kena sabar. Kalau ada masalah, cari jalan penyelesaian. Jangan cari salah pelanggan saja, tapi carilah penyelesaian untuk tambah baik team kita. Jangan ambil ringan komen orang.

"Walaupun perit, kita kena sabar. Kita jual makanan dan minuman. Kita kena servis orang. Kena perbaiki mutu setiap hari," ujarnya lagi.

Selain kedai ikan bakar dan air balang itu, Fahmi berkata kedainya turut menempatkan tujuh vendor lain yang menawarkan lebih 20 menu menarik buat pelanggan.

Untuk rekod, Evian ialah jenama Perancis yang membotolkan air mineral dari beberapa sumber berhampiran Évian-les-Bains, di pantai selatan Tasik Geneva.

Di Malaysia, Evian dilihat sebagai jenama air mewah kerana harganya yang lebih mahal berbanding air mineral biasa.

Menerusi semakan di laman web iprice.my, air mineral Evian 1,500ml dijual pada harga RM9.90 sebotol.

Ia jauh berbeza berbanding air mineral 1,500ml jenama biasa yang dijual pada harga RM2 hingga RM4 sebotol.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain