VIDEO seorang peniaga Melayu yang bertutur dalam bahasa Mandarin dengan pelanggan berbangsa Cina meraih perhatian ramai di media sosial. Dalam video itu, Nurin Alyssa Adli Shah, 20, dilihat sedang mengatur aneka pencuci mulut di gerainya yang terletak di Skudai, Johor, sambil berborak dengan beberapa pelanggan wanita. Ketika dihubungi kepada mStar, Alyssa berkata dia mampu bertutur dalam bahasa Mandarin kerana pernah menuntut di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) semasa kecil. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Saya belajar di sekolah aliran Cina sejak tadika sehingga darjah lima. Sekolah Cina memang susah sangat, memang sampai nangis-nangis pergi sekolah dulu. Sampai darjah lima je, lepas tu saya tukar sekolah kebangsaan. "Tapi Alhamdulillah, ilmu bahasa Mandarin yang saya pelajari dulu boleh digunakan sehingga ke hari ini. Saya tidak fasih sebab dah lama tinggal. Tapi setakat nak berbual ringkas dengan pelanggan berbangsa Cina, saya tiada masalah. "Ketika kejadian itu, saya sekadar rakam video sambil susun-susun dessert di gerai saya. Ada aunty tu berbual dengan rakannya. Jadi saya pun ikut serta berbual dengan mereka. Aunty tu terkejut dengar saya cakap Cina," ujarnya. Dulu pernah jealous tengok kawan-kawan sambung belajar, tapi bila fikir balik, rezeki kita semua lain-lain. NURIN ALYSSA ADLI SHAH Bercerita lanjut, anak pertama daripada empat beradik itu mendedahkan dia mula berniaga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun 2020. Menurut Alyssa, idea untuk berniaga selepas tamat sekolah timbul apabila dia melihat individu-individu lain turut membuka gerai dan mempromosikan perniagaan masing-masing menerusi TikTok. "Saya berniaga sejak PKP tahun 2020, selepas tamat Sijil Pengajian Malaysia (SPM). Semua dessert dibuat sendiri yang mana saya dibantu oleh ibu dan adik. Dapat idea nak berniaga sebab saya tengok orang buka gerai jual dessert dalam TikTok. ARTIKEL BERKAITAN: Tak berkerdip mata tengok peniaga jelita jual mi sup viral... Ramai yakin bukan kerja bomoh tarik pelanggan - “Pelaris tersendiri dah ada” ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga makanan tiba-tiba viral, kedai jadi tumpuan pelanggan... Ada yang sanggup datang berulang kali "Alhamdulillah, sambutan menggalakkan sehingga ke hari ini. Saya jual dalam 10 ke 11 jenis dessert tapi menu paling popular merupakan kaswi pandan, kek tapak kuda dengan kek batik. Seminggu sekali saya buat delivery sekitar Johor. Untuk luar negeri, saya tak berani ambil risiko. "Berniaga memang mencabar. Penat pun memang penat. Selain itu, saya juga berdepan cabaran cuaca. Khemah pernah terbalik sebab angin kuat. Tapi saya seronok walaupun penat, sebab saya dah terbiasa kerja sendiri," ujarnya lagi. Menurut Alyssa, dia juga tidak sangka perniagaan kecil yang diusahakan mendapat perhatian ramai, sekali gus membuka pintu rezeki buatnya. Alyssa bersama ibunya. "Dulu saya tak reti pun nak edit video. Tapi saya rajin post di TikTok, saya belajar sikit-sikit. Alhamdulillah, semakin hari, sale semakin meningkat. "Saya sangat berterima kasih kepada semua pelanggan yang sudi sokong saya. Memang tak pernah terfikir yang bisnes saya akan viral," ujarnya lagi. Tambah Alyssa, dia juga pernah berasa cemburu melihat teman seusia menyambung pengajian di universiti, namun yakin masanya juga akan tiba tidak lama lagi. Aneka pencuci mulut yang dijual gadis itu. "Dulu pernah rasa jealous tengok kawan-kawan sambung belajar. Tapi apabila fikir balik, rezeki kita semua lain-lain. Tak salah kalau kerja dulu, sambung belajar kemudian. Sekarang saya sedang kumpul duit untuk sambung peringkat diploma secara sambilan. "Buat masa ini keluarga yang jadi kekuatan saya. Saya berniaga hanya fikir untuk keluarga saja. Walaupun saya tak sambung belajar jauh, sekurang-kurangnya saya dekat dengan keluarga," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube