TIDAK dapat dibayangkan bagaimana seorang wanita boleh memiliki empat orang suami. Bukan berlaku di luar negara tetapi percayalah ia membabitkan wanita Malaysia. Perkara itu didedahkan seorang peguam syarie yang menyaksikan sebutan kes di mahkamah melibatkan suami keempat dan isterinya. Bercakap kepada mStar, peguam bernama Hasanah Johari berkata, suami keempat itu hadir ke mahkamah bagi memfailkan faraq nikah iaitu membubarkan pernikahan melalui kuasa mahkamah atas sebab-sebab tertentu. Menurutnya, si isteri dan suami keempat baru saja mendirikan rumah tangga baru-baru ini dan hanya mengetahui mengenai perkara berkenaan selepas seminggu berkahwin. “Hakim tanya macam dia tahu, dia jawab ia bermula selepas didatangi seorang lelaki yang memaklumkan bahawa isterinya merupakan isteri orang lain. “Terkejut dengan perkara itu, suami keempat membuat semakan di pejabat agama dan mendapati isterinya adalah isteri kepada lelaki yang datang berjumpa denganya itu,” katanya ketika dihubungi mStar. Suami keempat mengenai status isterinya selepas seminggu berkahwin. -Gambar hiasan / Freepik Hasanah berkata, wanita itu berkahwin dengan suami pertama pada 2008 dan kemudian memfailkan fasakh tapi kes dibuang kerana tidak hadir maka tiada perintah fasakh. ARTIKEL BERKAITAN: Paling rare! Wanita miliki 2 suami serentak, bergilir layan siang malam... Sayang dua-dua, tak sanggup cerai ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ada dua suami, tinggal serumah... kenakan ‘syarat’ adakan hubungan intim Menurut Hasanah lagi, wanita tersebut dinikahi suami kedua menerusi perkahwinan di negara jiran pada tahun 2013. “Wanita itu berkahwin di luar negara dan tak ada rekod. Dia balik ke Malaysia selepas terpisah dengan suami dan dia menganggap perkahwinan itu terbubar sendiri. “Suami ketiga pula dinikahi pada 2017 dan tidak dinyatakan sebab mereka tidak lagi bersama. Keseluruhannya wanita itu menjadi isteri menerusi tiga perkahwinan di Malaysia dan satu di negara jiran. “Kemungkinan wanita itu menyalahgunakan borang pengesahan status bujang yang membolehkan dia terlepas untuk berkahwin lain,” ujarnya sambil menambah si isteri hanya tinggal dengan suami keempat, dan tidak lagi bersama suami-suami lain. Isteri mengakui mempunyai suami lain. -Gambar hiasan / Freepik Ditanya mengenai perasaan suami keempat tadi mengenai status isterinya, Hasanah yang berpengalaman sebagai peguam syarie selama sembilan tahun memberitahu, lelaki berkenaan kelihatan tenang di kamar mahkamah. “Suami keempat tu tak marah, mungkin dah tahu lebih awal yang isteri dia ada suami lain. Waktu bercakap depan hakim, dia sangat tenang. “Dia cuma mahu kepastian daripada mahkamah mengenai status pernikahan dan mahu memfailkan faraq nikah. “Suami dan isteri itu tidak menyatakan perasaan mereka antara satu sama lain. Isteri hanya berpeluk tubuh dan mengaku di hadapan hakim yang dia ada suami lain dan anggap perkahwinan sebelum ini dibubarkan,” katanya. Tambahnya, hakim kemudian memutuskan pernikahan pasangan itu fasid (tidak sah) dan difaraqkan. Kita kahwin ni kena ada ilmu munakahat, kalau jodoh tak panjang, selesaikan di mahkamah. HASANAH JOHARI PEGUAM SYARIE Mengendalikan kes-kes di Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka, Hasanah mengakui ia merupakan kes paling luar biasa didengarinya. “Sebelum ni ada kes isteri ada dua suami, tapi ini empat suami. Memang seram kes ni berlaku di depan mata, saya hanya beristighfar. “Bagaimanapun, perihal tentang suami ketiga menjadi tanda tanya,” jelasnya lagi. Suami hadir ke mahkamah untuk memfailkan faraq nikah. -Gambar hiasan Di sebalik pendedahan tersebut, Hasanah menjelaskan bahawa poliandri iaitu amalan bersuami lebih seorang pada satu masa hukumnya adalah haram di sisi Islam. Jelasnya, kesan buruk dapat dilihat tentang soal nasab iaitu pertalian keluarga si anak itu dengan bapa memandangkan isteri mempunyai lebih seorang suami. “Kalau mengandung, tak tahu bapa daripada suami mana. Kedua, mengenai status nasab anak. Ketiga, nafkah anak terganggu sebab bapa mana wajib bayar nafkah untuk anak, keempat jika melibatkan anak perempuan untuk berkahwin kelak. “Dan kelima mengenai pusaka sekiranya salah seorang suami meninggal dunia, dengan siapa untuk mewarisinya dan faraid. Sebab itu perkara ini diharamkan kerana ia akan mengacau bilau keturunan,” katanya. Tambahnya lagi, sesiapa yang mahu dan telah mendirikan rumah tangga perlu mengetahui ilmu-ilmu berkaitan dengan perkahwinan atau munakahat. “Kita kahwin ni kena ada ilmu munakahat. Kalau jodoh tak panjang, selesaikan di mahkamah. Bukan anggap diri dah diceraikan begitu saja. “Sebab itu saya selalu jelaskan, apa-apa urusan nikah cerai, rujuk mahkamah. Ada perintah, ada rekod. Tidaklah panjang kes macam ni,” kata Hasanah. Pendedahan Hasanah mengenai isteri yang mempunyai empat suami turut dikongsi menerusi ciapan di akaun Twitternya, @TkeyJoe. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube