suria

Terbantut staf ‘gomen’ nak bincang tender, si batik masuk bilik mesyuarat! Elok melingkar atas meja hidang makanan

Seekor ular sawa batik ditemui di atas sebuah meja di bilik mesyuarat.

PERBINCANGAN yang hendak diadakan di sebuah bilik mesyuarat bertukar cemas apabila dihadiri ‘tetamu' yang tidak diundang.

Apa yang mengejutkan apabila seekor ular sawa ditemui di atas meja yang menempatkan beberapa set cawan, piring dan pinggan.

Reptilia itu dilihat sedang ‘berehat’ di sebalik alas meja lutsinar.

“Hadir dalam mesyuarat,” demikian menurut keterangan video yang dimuat naik di laman sosial sehingga menjadi tular.

Bercakap kepada mStar, Muhammad Nakiee Alias berkata, kejadian berlaku di tempat kerjanya di Gelugor, Pulau Pinang, pada pagi 23 Ogos lalu.

Pemuda berusia 34 tahun itu berkata, pada hari kejadian bilik mesyuarat itu sepatutnya dijadikan tempat perbincangan berkaitan dengan tender.

“Pagi tu rakan masuk ke bilik itu untuk pasang lampu dan penyaman udara. Sebaik lampu dipasang, dia ternampak ada benda besar yang panjang di meja tempat hidang makanan.

“Tengok dekat rupa-rupanya seekor ular sawa batik. Dia terkejut ular terus berlari keluar dari bilik mesyuarat sebelum beritahu kami apa yang dia nampak,” katanya ketika dihubungi mStar.

Seekor ular sawa ditemui dekat set cawan, pinggan dan piring untuk kegunaan hidangan di bilik mesyuarat.

Nakiee berkata, kekecohan itu menyebabkan dia bersama beberapa rakan lain memasuki bilik mesyuarat di aras bawah bangunan pejabat dua tingkat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik belut yang dibeli suami, hitam bersisik kepalanya kembang dalam singki! Rupanya ular sedang ratah ayam

ARTIKEL BERKAITAN: Risau si batik masuk rumah orang, pemuda Sabah jadi hero tengah malam - “Ular tu pusing kepala, saya lari pusing-pusing”

“Sebenarnya saya sendiri geli dengan ular. Tapi sempat rakam keadaan ular tu di atas meja sebelum rakan menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Walaupun ditemani rakan-rakan, saya terperanjat tengok ular sepanjang dan sebesar itu. Macam panjang sebuah van,” ujarnya yang berasal dari Sik, Kedah.

Pasukan APM cuba mengeluarkan ular sawa dari alas meja lutsinar.

Menurut penjawat awam itu lagi, pasukan APM tiba di pejabatnya kira-kira 15 minit kemudian dan berjaya menangkap dan membawa keluar reptilia itu.

Dia bagaimanapun memberitahu, ia bukan pertama kali kawasan pejabatnya didatangi ular sawa, sambil menambah kali terakhir adalah beberapa bulan lalu.

Tak dapat bayangkan kalau ular sawa tu masuk semasa ramai orang sedang bermesyuarat.

MUHAMMAD NAKIEE ALIAS

“Sebelum ni dah banyak kali ular masuk ke sini, tapi biasanya di kawasan sekitar pejabat dan longkang. Setahu saya ini pertama kali ia masuk ke dalam bilik pejabat.

“Kemungkinan ia masuk melalui ruang udara dekat tingkap bilik mesyuarat di tingkat bawah. Ular tu baru masuk sebab kali terakhir bilik mesyuarat tu digunakan pada petang sebelum kejadian,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Pasukan APM memasukkan ular sawa di dalam sangkar.

Mengenai perbincangan berkaitan tender yang sepatutnya diadakan di bilik mesyuarat, kata Nakiee, ia bertukar lokasi di bilik pantri.

“Saya tak join perbincangan tu. Tapi saya difahamkan mereka tak bincang di bilik mesyuarat sebab masih risau ada ular di situ, takut ada ‘kawan’ yang lain.

“Tak dapat bayangkan kalau ular sawa tu masuk semasa orang sedang bermesyuarat. Mesti ramai yang panik dan berlari keluar untuk menyelamatkan diri.

“Mujur juga tak ada makanan yang dihidangkan di meja sewaktu ular sawa tu dijumpai. Kalau ada, mungkin boleh hilang selera makan sebab terbayangkan ular besar,” ujarnya secara berseloroh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain