suria

Rumah sahabat dimasuki air, tunggu masa nak hanyut! Lelaki rayu bantuan, sengaja kongsi video supaya ada pihak nampak

Keadaan sebuah rumah nelayan yang meraih simpati orang ramai.

KALAU takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Kata-kata di atas membawa maksud sekiranya seseorang itu gentar atau tidak sanggup berdepan risiko, maka jangan dekati bahaya.

Namun, dalam dunia hari ini yang segalanya memerlukan wang bagi kelangsungan hidup, rata-rata masyarakat tidak mempunyai pilihan melainkan berdepan segala rintangan.

Air laut memasuki rumah setiap kali dipukul ombak.

Begitu juga realiti hidup komuniti nelayan di mana mereka harus akur berdepan ombak dan laut bergelora demi mencari rezeki.

Melalui satu video tular di laman TikTok, dapat dilihat sebuah kediaman keluarga nelayan di persisiran pantai dikenali sebagai 'rumah rakit' yang agak daif keadaannya.

Kelihatan juga air laut menderu masuk ke dalam rumah itu melalui celah-celah kayu di bahagian lantai kediaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Tenangnya orang Kelantan hadap banjir... Ramai kagum wanita ini ‘berdamai dengan takdir’, sikit pun tak merungut

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita cantik reda hadapi musibah banjir, tak putus-putus sangka baik dengan Allah - “Sedih boleh, tapi jangan lebih-lebih”

Difahamkan, air laut naik tinggi berpunca daripada ombak besar yang terbentuk akibat pergerakan sebuah bot berhampiran.

Bercerita lanjut kepada mStar, lelaki dikenali sebagai Yus itu berkata dia sengaja memuat naik video berkenaan agar nasib komuniti nelayan mendapat perhatian pihak berwajib.

"Itu rumah kenalan saya, nama dia Idan. Idan dengan nelayan lain memang banyak duduk di situ dalam rumah rakit. Lokasi perkampungan nelayan ni di Gelang Patah, Johor.

Dengan kuasa media sosial, saya harap bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang betul memerlukan ini.

YUS

"Rumah rakit ni sebenarnya rumah terapung yang diperbuat daripada kayu, ada tali yang mengikat rumah mereka supaya tidak dibawa ombak apabila air pasang.

"Dalam rumah rakit ni, Idan duduk beramai-ramai seisi keluarga. Bilik air, dapur dan bilik tidur semua sekali ada dalam tu.

"Yang dalam video tu, air naik sebab bot lalu, bayangkan keadaan Idan sekeluarga kalau waktu ribut melanda, angin kencang membadai dan hujan lebat," jelas Yus.

Suasana di dalam rumah yang kacau bilau.

Selain itu, perkampungan nelayan tersebut turut berisiko tenggelam dalam beberapa tahun mendatang berikutan pemanasan global yang menyebabkan paras air laut meningkat.

"Besar harapan saya agar Idan sekeluarga dapat dibantu dan dipindahkan ke rumah batu yang lebih selesa dan selamat untuk dijadikan tempat tinggal.

"Dengan kuasa media sosial, saya rayu semoga bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan ini, kesian sangat saya tengok.

"Bukan senang nak keluar dari kepompong kemiskinan dengan sendirinya, lebih-lebih jika ujian hidup bertimpa-timpa," ujar Yus menutup bicara.

Sebahagian komen warga maya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut berasa simpati melihat nasib sahabat Yus itu.

"Saya pernah tidur rumah kawan macam ni, tandas dia betul-betul laut, bila air surut, boleh nampak bersepah najis.

"Kenapa bot tu bawa laju dekat kawasan pantai yang ada perumahan, tak silap saya undang-undang menggariskan had laju bot di tempat tertentu supaya tak terjadi ombak macam ni.

"Semoga semuanya sentiasa dalam lindungan Allah," kata warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain