SEORANG wanita berdepan pengalaman dihina pomoter produk di sebuah pasar raya gara-gara kulit wajahnya yang bermasalah. Menurut Nazihah Ismail, 25, kejadian berlaku ketika dia berkunjung ke pasar raya itu yang terletak di Kelantan pada 28 Januari lalu. Sebagaimana diceritakan Nazihah, individu tersebut merupakan staf yang mempromosikan produk berkaitan kulit wajah dan mendakwa dia dipaksa membuat pembelian. "Saya bukan nak marah tapi rasa geram. Ada seorang pekerja (promoter) tu panggil nak jual produk dekat saya dengan bahasakan diri dia 'kak'. Wanita ini mempunyai masalah alahan sejak 2022. "Ada dua perempuan dan seorang lelaki pekerja dia. Pekerja lelaki tu siap tarik-tarik baju dan tangan tapi saya cakap dah lambat ni. Tapi dia cakap sekejap je tak sampai lima minit. "Dia beritahu yang dia jual ubat. Dia tarik tangan, lumur dan gosok tapi saya senyap je. Dia ada tegur mengenai wajah saya yang berjerawat," katanya ketika dihubungi mStar. Walau berasa malu dengan teguran tersebut, Nazihah tidak melatah malah menjelaskan wajahnya berjerawat disebabkan alahan (resdung) sejak 2022. ARTIKEL BERKAITAN: Wajah penuh jerawat batu, MUA sampai malu nak mekap pelanggan! Terpedaya dengan produk merkuri, kulit cantik cuma sementara ARTIKEL BERKAITAN: Kekasih pun lari kerana jerawat batu! Bertahun kena ‘face shaming’, keluarga berhabis duit selamatkan wajah si gadis... siapa sangka kini menghitung hari bahagia Namun penjelasan Nazihah itu tidak diendahkan sebaliknya staf terbabit terus mempromosikan krim itu yang dikatakan dapat membantu memulihkan masalah jerawat jika digunakan setiap hari. "Saya beritahu ada berjumpa doktor dapatkan rawatan. Tapi dia cakap awak sapu (gosok) je krim ni satu muka siang malam sebanyak tiga kali. Lama dia gosok tapi saya masih diamkan diri. "Lepas siap gosok dan bilas dia beritahu krim tu sekarang ada promosi. Beli satu tiub harga RM25 saja. Katanya kalau beli sekotak dapat percuma satu. Saya cakap tak apa la cik. "Lepas saya cakap tak nak, dia cakap Ya Allah, muka macam tu pun tak nak beli lagi ke? Saya terkilan dan sedih dia perlekehkan muka saya," ujarnya. Bukan semua orang suka dengan cara macam tu. NAZIHAH Dia yang berasal dari Kelantan memaklumkan sudah mencuba pelbagai jenis ubat termasuklah menjaga makan dan minum untuk mengatasi masalah jerawatnya. Bukan itu sahaja, Nazihah turut berusaha menghilangkan jerawat secara mengikut petua yang disarankan oleh orang di sekelilingnya. "Muka saya ni, apa sahaja yang orang beritahu kena buat... saya sudah 'tepek' (sapu) pun sebelum ni. Semua sudah buat. "Ada yang kata letak limau nipis dengan garam, tepung beras campur kunyit la dengan basuh muka menggunakan air beras la... Semua saya dah cuba tapi masih sama je," jelasnya. Dia yang kini sudah berpindah untuk bekerja di Johor berkata kejadian tersebut masih meninggalkan kesan terhadap dirinya. Wanita ini menceritakan pengalaman tersebut menerusi laman TikTok. Luahannya yang dibuat menerusi video di TikTok menjadi tular sehingga meraih lebih 300,000 jumlah tontonan. Nazihah dalam pada itu turut menitipkan pesanan kepada orang ramai susulan apa yang berlaku kepada dirinya. "Nasihat saya... kalau nak naikkan sales (jualan), jangan sampai tarik-tarik tangan pelanggan. Bukan semua orang suka dengan cara macam tu. "Kepada promoter yang cakap macam tu dekat saya hari tu, saya harap selepas ni tak ada lagi marketing macam ni paksa orang beli produk. "Takut berjumpa dengan pelanggan panas baran nanti kena duduk hospital makan nasi guna straw akibat dibelasah," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube