suria

10 tahun tak ibadat, bisnes kencang bazar Ramadan jatuh merudum! Suami isteri malu, baru sekali baca al-Quran Allah beri semula nikmat

Pasangan suami isteri berniaga di bazar Ramadan. -Gambar hiasan The Star

KEDATANGAN bulan Ramadan pastinya dinantikan golongan peniaga untuk mencari rezeki dan menjana pendapatan tambahan di bazar.

Namun dalam kerancakan mengaut untung di bazar, terdapat peniaga suami isteri diuji dengan insiden yang tidak diduga.

Kisah pasangan dengan dua cahaya mata itu diceritakan oleh usahawan, Muhammad Abu Hurairah Roslan yang mana mereka mempunyai pengalaman berniaga selama 10 tahun.

"Mereka ni peniaga Ramadan. Maksudnya, datang je Ramadan memang sasaran mereka adalah berniaga. Hidup dan mati memang ditumpukan sehabisnya untuk Ramadan.

"Setiap kali datang Ramadan, duit. Duit dalam kepala, itu sahaja, lain mereka tak ambil kira. Puasa ke, tarawih, ibadah memang tunggang-langgang," kongsinya di Facebook.

peniaga bazar the star 2 FAIHAN GHANI

Kehadiran pengunjung di bazar memberi peluang kepada peniaga untuk menjana pendapatan. -Gambar hiasan FAIHAN GHANI/The Star

Mesra disapa Ustaz Abu, katanya, untung mereka tidak seberapa pada tahun lalu, namun pasangan itu tidak berputus asa dan mencuba lagi tahun ini.

"Tahun-tahun sebelumnya memang padu. Jualan bukan puluhan ribu, ada sampai setengah juta. Perancangan, stok dan semua mereka 'all out' tahun ni, nak untung lebih lagi," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami jual motor nak berniaga air balang di bazar, baru mula bisnes dah sakit seminggu... isteri harap dapat balik modal sebelum raya

ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan sambut Ramadan... Wanita meraung masuk kebun sawit, ‘menyumpah’ monyet curi kuih raya pelanggan

Namun dari awal Ramadan, satu per satu masalah datang menguji pasangan suami isteri ini yang menjual baju raya kanak-kanak dan busana muslimah.

Seorang wanita tidak dapat menahan kesedihannya. -Gambar hiasan

Menurut Ustaz Abu, masalah bermula dari stok tidak dapat disiapkan pembekal, kesilapan barang yang diterima pelanggan dan kualiti barang yang tidak sempurna.

"Semakin hari, perniagaan mereka makin teruk. Tiba-tiba PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pula. Lagilah mereka down. Semua tapak kena bersihkan, stok melambak.

Saat Tuhan ambil sekejap dunia mereka, Tuhan pulangkan semula dengan penuh kasih sayang.

MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN

"Satu hari, tiba-tiba puan ini rasa lain. Rasa down datang bersama rasa berdosa. Menangis dia sepanjang malam," katanya sambil menambah hubungan suami isteri itu semakin renggang sehingga bergaduh hampir setiap hari.

Mengimbas kembali, katanya, suami isteri itu kemudian terdetik hati untuk berubah dan melakukan amal ibadah sepanjang Ramadan.

Suami isteri berasa tenang selepas solat berjemaah. -Gambar hiasan

Sepanjang 10 tahun mereka berniaga, itulah pertama kali mereka berdua solat berjemaah dan selepas itu membaca al-Quran.

"Basah setiap muka surat dengan air mata mereka. Puan ni cerita, suami dia sampai tutup al-Quran dan meraung rasa berdosa. Dan pertama kali juga mereka sahur dan solat subuh bersama.

"Mereka rasa indahnya Ramadan saat itu. Mereka isi dengan sebanyaknya untuk tebus dosa. Pergi rumah anak yatim, belanja berbuka dan makan bersama," katanya lagi.

Terus bercerita, kata Ustaz Abu, suatu hari si suami menerima panggilan daripada sebuah yayasan secara tiba-tiba.

Seorang lelaki berdoa agar diberi keampunan. -Gambar hiasan The Star

Menurutnya, yayasan itu memerlukan 500 helai baju kanak-kanak dan 250 helai baju muslimah untuk ibu-ibu tunggal.

"Si suami terduduk masa tu, si isteri peluk suami dan kedua-duanya menangis, kata mereka 'Kami malu dengan Allah. Kami buat ibadah sehari je, macam ni Allah balas'," kata Ustaz Abu mengimbas kembali kata-kata pasangan itu.

Bagi Ustaz Abu, kasih sayang Allah itu ada dalam setiap penderitaan dan kesakitan.

"Saat Tuhan ambil sekejap dunia mereka, Tuhan pulangkan semula dengan penuh kasih sayang. Hingga hambaNya terasa benar kasih Tuhan itu.

"Allah sedang panggil hati kita. Allah mahukan hati kita itu sebenarnya. Sebab tu Allah tarik dunia ni sementara.

"Wahai Allah, hati kami di Ramadan ini, Kau rasakanlah dengan rasa kasih dan sayang. Jangan Kau biarkan kami dalam dosa. Terimalah ibadah kami," katanya di Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain