suria

Seminggu bawa 2 anak balik kampung suami di pedalaman, serba-serbi tak selesa... Ibu mahu ajar erti bersyukur

Suhaili berkongsi pengalaman beraya di kampung suaminya di Sulawesi Selatan. -Gambar FB Suhaili Ikhsan

BAGI generasi muda yang membesar di kota, sudah semestinya mereka terbiasa dengan kehidupan yang sempurna dan serba serbi moden.

Justeru, sedikit sebanyak pasti wujud kejanggalan apabila pulang berhari raya di kampung dan terpaksa membiasakan diri dengan persekitaran yang serba kekurangan.

Tambahan pula jika kampung halaman terletak di kawasan pedalaman, bukan sahaja liputan komunikasinya terhad malah kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik juga ada kalanya dicatu.

Namun semua itu bukanlah halangan untuk warga kota pulang berhari raya di kampung, asalkan mereka mengambil pendekatan seperti peribahasa yang berbunyi 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak'.

Demikianlah juga dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita mengenai pengalaman pulang berhari raya di kampung sebelah suaminya yang terletak di sebuah desa di Bone, Sulawesi Selatan, Indonesia.

raya 2

Hidangan enak yang disajikan oleh tuan rumah untuk dinikmati Suhaili dan keluarganya.

Menurut Suhaili Ikhsan, mereka pulang bercuti ke kampung tersebut selama kira-kira seminggu dan dalam tempoh itu, mereka sekeluarga perlu membiasakan diri dengan keadaan yang serba kekurangan.

"Tujuh hari tinggal di kawasan pedalaman, tanpa aircond, tanpa tandas yang sempurna, dapur yang menyukarkan saya untuk masak, serta elektrik yang dicatu," demikian kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita bosan balik rumah mentua, sambutan raya amat sendu! Rindu keluarga sendiri yang lebih 'happening'

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah di kampung, anak di bandar... kalau boleh semua hasil tanaman nak dikirim! Satu beg durian ‘diseludup’ naik bas - “Pemandu tanya, adik tak mengaku”

Suhaili yang juga seorang penulis dan berpengalaman luas dalam industri pendidikan berkata, dia memahami perasaan dua anak perempuannya yang mungkin sedikit kurang selesa biarpun mereka tidak merungut.

Namun sebagai ibu dan bapa, dia serta suaminya mengambil pendekatan tersendiri untuk mengajar kedua-dua anak mereka melihat daripada perspektif yang berbeza mengenai erti bersyukur.

Orang kampung memberikan layanan yang baik-baik, pergi ke mana-mana pun orang memberikan keutamaan, disayangi dan dihormati.

SUHAILI IKHSAN

"Kita beri ganjaran atas sikap anak-anak tidak complaint, merungut-rungut apatah lagi mengeluh-ngeluh dengan tempat tidur yang lebih selesa, tandas yang bagus dan makanan yang enak.

"Raikan perasaan mereka, namun latih mereka untuk melihat perspektif yang lebih perlu untuk disyukuri.

"Antaranya, orang kampung memberikan layanan yang baik-baik, pergi ke mana-mana pun orang memberikan keutamaan, disayangi dan dihormati.

"Buktinya pelbagai barang dititipkan untuk dibawa pulang. Ada yang baru dimasak, ada yang dibeli, ada yang diusahakan supaya dapat dibawa sebagai kenangan," tulisnya sambil menyenaraikan beberapa lagi pengalaman manis sepanjang bercuti di kampung.

Bukan itu sahaja, ujarnya, biarpun serba kekurangan dari segi kemudahan namun mereka sekeluarga merasai pengalaman yang sememangnya amat berharga.

raya 3

Pelbagai makanan yang dititipkan untuk Suhaili sekeluarga sebelum berangkat pulang.

"Jangan berhenti bersyukur, Allah akan beri lebih lagi," akhirinya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya turut bersetuju dengan perkongsian wanita berkenaan terutamanya peranan mendidik anak-anak mengenai erti bersyukur.

"Menjadi kenangan manis anak-anak suatu hari nanti.

"Betul! Toleransi dengan perkara yang tak kena di mata kita, tak sesuai dengan selera kita dan yang kita tidak suka!

"Syukurlah atas apa yang ada! Itulah falsafah hidup tanpa ropol-ropol!" demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain