SETIAP individu pasti mempunyai seseorang yang dianggap sebagai orang kepercayaan untuk menyimpan rahsia, meluahkan masalah dan sebagainya. Tidak salah untuk menaruh kepercayaan kepada seseorang, namun biarlah berpada-pada. Sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang individu ini, dia mendakwa mengalami kerugian sehingga puluhan ribu ringgit gara-gara tidak mendapat semula wang yang disimpan oleh orang kepercayaannya. "Saya ada amanahkan seseorang menyimpan wang tabungan saya. Selama tujuh tahun saya menyerahkan RM1,000 (sebulan) untuk disimpan. "Saya pernah tengok kali terakhir wang tu berjumlah RM84,000. Beliau seorang yang amanah, jadi duit saya memang selamat dalam jagaannya. "Dia juga ada beritahu keluarganya tentang wang saya itu selama hidupnya," kongsi individu berkenaan dalam laman grup Facebook Peguam dan Pengguna Malaysia (PPM). Sebarang perjanjian berkaitan wang atau harta perlulah mempunyai dokumen atau hitam putih untuk mengelakkan masalah di kemudian hari. -Gambar hiasan Bagaimanapun menurut individu tersebut, tanpa diduga orang yang diamanahkan untuk menyimpan wang tabungannya itu meninggal dunia secara tiba-tiba akibat serangan jantung. Dakwanya, masalah mula timbul apabila ahli keluarga si mati enggan mengembalikan wang miliknya yang berada dalam simpanan arwah. ARTIKEL BERKAITAN: Masih hilang RM30,000 selepas insiden ‘duit terbang’, keluarga hargai individu tampil pulangkan wang walau sedikit ARTIKEL BERKAITAN: Gelang emas RM8,500 hilang, ustaz dan pelajar tahfiz solat hajat! Pencuri ‘panas’ pulangkan dalam bentuk duit - “Lima kali mimpi wajah sama” "Beliau (si mati) meninggalkan harta berjumlah jutaan ringgit untuk keluarganya. Jadi saya ingat mereka akan pulangkan duit saya yang tak seberapa itu. "Tapi rupanya saya silap. Keluarganya enggan kembalikan wang saya dan agihkan sesama mereka. "Mereka tahu duit tu duit hasil titik peluh saya tapi mereka kata tak ada bukti untuk saya tuntut wang saya sebab tiada perjanjian hitam putih," luahnya lagi. Buntu dengan situasi yang melanda, individu berkenaan meminta pendapat warga maya untuk membantunya mendapatkan semula wang yang didakwa miliknya itu. Bawa ustaz pergi jumpa mereka. Bagi tazkirah pasal harta dan hukum-hakam serta azab neraka makan duit haram. NETIZEN "Penat saya bekerja dan menabung akhirnya dapat dekat orang lain. Saya menabung untuk bina rumah. Sekarang rumah impian saya terkubur begitu saja," luahnya kecewa. Luahan individu berkenaan mengundang perhatian warga maya dengan ramai berpendapat insiden sedemikian sewajarnya menjadi pengajaran kepada orang lain lebih-lebih lagi melibatkan wang atau harta. "Apa pun aset dan harta kita, pastikan atas nama kita lebih-lebih lagi duit simpanan. Simpan sendiri dekat akaun bank kerana segalanya berkemungkinan. "Amanah mesti bertulis. Dalam Islam memang disarankan bertulis tuan," demikian komen netizen. Reaksi netizen yang pelbagai terhadap perkongsian kisah individu berkenaan. Namun rata-ratanya meluahkan simpati dan tampil memberikan pelbagai cadangan bagi membantunya menyelesaikan masalah yang membelenggunya. "Kalau dia orang Islam, bawa ustaz pergi jumpa mereka. Bagi tazkirah pasal harta dan hukum-hakam serta azab neraka makan duit haram. "Apa-apa mesej Whatsapp ke, bukti transfer duit di bank ke, kumpulkan semua. Paling tidak tak dapat semua pun, dapat balik sebahagian. "Kena pergi pejabat peguam bawa semua bukti yang ada, baru boleh peguam bagi nasihat untuk tindakan selanjutnya," demikian komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube