PERKAHWINAN kedua sering kali dilihat sebagai peluang baru untuk memulakan hidup yang lebih baik selepas berdepan dengan kegagalan dalam rumah tangga pertama.
Meskipun berharap agar mahligai cinta baharu yang dibina dapat mengubat luka lama, hakikatnya cabarannya tetap tidak terduga, sebagaimana luahan seorang wanita di laman sosial.
Menurut wanita yang tidak mendedahkan identiti itu, dia membuka pintu hati untuk berkahwin semula demi memenuhi permintaan anak-anaknya yang masih kecil.
"Saya pernah bercerai atas sebab bekas suami panas baran dan suka mengungkit apa saja kebaikan yang dia buat. Selepas dua tahun berpisah, saya berjumpa jodoh dengan duda anak tiga.
"Saya buka hati untuk kahwin semula atas sebab anak sulung selalu tanya kenapa dia tak ada ayah macam orang lain. Saya sedih setiap kali dia tanya macam tu.
Kaum Adam juga patut membantu melakukan kerja-kerja rumah untuk meringankan beban isteri atau ibu. -Gambar hiasan
"Saya cuba bukakan hati walaupun saya masih trauma dengan perkahwinan sebelum ni," kongsinya yang merupakan ibu kepada dua anak lelaki yang masih bersekolah rendah.
Bersyukur dikurniakan seorang suami yang baik dan melayani dua anaknya seperti darah daging sendiri, namun menurut wanita tersebut, apa yang membuatkan dia kurang senang adalah disebabkan sikap anak tirinya.
"Anak tiri saya yang dah berkahwin selalu datang rumah, boleh dikatakan selang sehari datang, tidur dan makan dekat rumah. Betul-betul buat macam rumah sendiri.
"Apabila dia balik, saya nak kena kemas, sapu, mop satu rumah sebab dia ada anak kecil... Jadi rumah ditinggalkan dalam keadaan tak bersih.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu berubah sikap lepas kahwin baru, terlebih sayang anak-anak tiri... Langsung tak kisah zuriat sendiri kena ikat perut tahan lapar
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki terkejut anak tiri bawah umur galak ‘belanja’ BF foto tak senonoh... Dah tegur tapi tak jalan, siap dilabel orang luar!
"Dua lagi anak tiri yang tinggal bersama saya pula seorang dah kerja, seorang lagi dah sekolah menengah. Yang buat saya stres sangat, langsung tak boleh nak bantu apa-apa kerja rumah. Kalau disuruh baru nak buat," luahnya lagi.
Tambahnya, daripada perkara yang kecil seperti mencuci pinggan sendiri juga, kedua-dua anak tirinya hanya melakukan apabila disuruh.
"Saya sejenis tak suka rumah bersepah, dapur tak kemas. Anak-anak saya yang masih sekolah rendah tu pun saya ajar tolong kemas rumah, cuci pinggan, lap dapur.
"Tapi sebab saya kahwin dengan ayah mereka (anak tiri) masa diorang dah besar jadi susah nak tegur. Saya betul-betul penat dengan situasi sekarang.
Anak-anak saya yang masih sekolah rendah tu pun saya ajar tolong kemas rumah, cuci pinggan, lap dapur.
PENGADU
"Rasa macam orang gaji dalam rumah ni. Saya balik kerja penat nak rehat, balik tengok dapur tak berkemas," luahnya lagi.
Bukan suaminya tidak pernah menegur anak kandung sendiri, tapi menurut wanita tersebut, ia umpama mencurahkan air ke daun keladi.
"Daripada hati saya ikhlas, sekarang dah jadi tak ikhlas. Saya rasa macam nak lari je, nak hidup dengan anak-anak saya je. Tapi saya tak ada kekuatan tu lagi sekarang," akhirinya.
Antara komen warga maya terhadap perkongsian individu berkenaan.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan simpati terhadap nasib wanita tersebut dan dalam masa yang sama menitipkan nasihat buatnya dalam menghadapi situasi yang dialami.
"Bagi je suami yang tegur. Kalau puan tegur, nanti akan berlaku salah faham dan selisih pendapat. Mulalah bermasam muka.
"Awak cuba slow talk dengan suami suruh dia tegur anak-anak dia tu. Kalau tak jalan juga, awak sendiri yang buka mulut terus-terang cakap apa yang sepatutnya.
"Awak pergilah duduk mana-mana dulu. Suruh suami awak beritahu anak-anak dia awak dah tak nak tinggal situ lagi sebab dah tak larat," demikian antara komen netizen.