SABAN tahun, bazar Ramadan menjadi destinasi wajib bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang mahu mencari juadah berbuka puasa.
Di aplikasi TikTok, seorang peniaga bazar Ramadan Bandar Baharu, Kedah tular selepas dia berkongsi cerita tentang seorang pelanggannya.
Menurut Nanajiha yang berniaga makanan pantai timur dengan suaminya, dia bertemu dengan pelanggan wanita itu pada hari pertama Ramadan.
Nanajiha berkongsi kisah itu menerusi aplikasi TikTok.
"Hari pertama berniaga di bazar Ramadan dah buat pelanggan menangis. Ada pelanggan datang beli nasi dagang. Dia cakap dah lama tak makan nasi dagang.
"Aku tanya orang mana, dia jawab orang Kuantan. Terjumpa pula orang kampung," ujarnya memulakan cerita.
Menurut Nanajiha yang turut menjual nasi berlauk, suami kepada wanita itu datang semula selepas waktu berbuka puasa, menyebabkan dia dan suaminya risau dan tertanya-tanya.
Dia kata nasi dagang dan gulai ikan sama macam arwah mak dia masak.
NANAJIHA
PENIAGA BAZAR RAMADAN
Dia pada awalnya menyangka makanan yang dijual sudah basi, namun tersentuh apabila diceritkan hal sebenar oleh suami pelanggannya itu.
"Lepas berbuka, kami kemas-kemas, ada brother datang. Dia tanya, adakah aku akak yang jual nasi dagang? Aku jawab ya. Dia minta maaf dalam nada perlahan.
"Aku dengan suami dah cuak. Dalam hati, kami fikir matilah jual gulai basi ke? Sebab setahu aku, gulai aku tahan dua ke tiga hari. Brother tu tanya, gulai ikan ada lagi tak? Aku kata ada.
ARTIKEL BERKAITAN: “Sejuk macam masak semalam” - Serik beli makanan tak kena dengan tekak, dah setahun individu ini boikot bazar RamadanARTIKEL BERKAITAN: Gerai tak laku, peniaga bazar buat permintaan aneh... Persoalan terjawab selepas pelanggan datang sekali lagi esok hari
"Dia minta bungkus. Dia kata isteri dia orang Kuantan yang datang tadi. Dia cerita, isteri dia makan nasi dagang sambil menangis masa berbuka.
"Dia kata nasi dagang dan gulai ikan sama macam arwah mak dia masak. Sebak dah aku. Aku pun sedekahkan al-Fatihah buat arwah ibunya," ceritanya lagi.
Hantaran itu menerima lebih 122,000 tontonan dan turut dihujani komen netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa sebak dan simpati.
Nanajiha berkata dia berniaga makanan di bazar Ramadan Bandar Baharu, Kedah.
"Makan sambil nangis teringat orang tercinta yang dah tak ada is another level of deep pain.
"Saya baru masuk kerja ni, tiba-tiba mengalir air mata sebab cerita akak ni.
"Suami dia bagus, pergi cari balik untuk bini dia," tulis beberapa netizen.