SEORANG pelajar perempuan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), parah ditikam rakan lelaki.
Mangsa yang berusia 19 tahun mengalami kecederaan serius di bahagian belakang badan, dalam kejadian di kampus IPT di Sungai Petani, kira-kira pukul 10.30 pagi Isnin.
Kejadian dipercayai berlaku sewaktu mangsa bersama beberapa rakannya dikatakan sedang berjalan menuju ke perpustakaan sebelum dihampiri suspek, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, suspek yang juga berusia 19 tahun merupakan bekas teman lelaki mangsa.
Suspek dikatakan bertindak menikam belakang badan mangsa sehingga rebah.
Malah, suspek juga dipercayai mengalami kecederaan pada tangan, disyaki akibat pergelutan dengan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail mengesahkan kejadian berlaku sambil menambah suspek sudah ditahan.
Beliau berkata, penahanan suspek susulan laporan kejadian yang dibuat oleh pihak keselamatan universiti pada pagi Isnim.
"Suspek ditahan ketika dia mendapatkan rawatan di klinik kampus," katanya.
Menurut Wan Azharuddin, mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan berada dalam keadaan sedar serta stabil.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324/326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya," katanya.