suria

Anak belikan gelang RM11,000 buat ibu, dulu adik-beradik cuma merasa pakai emas sadur masa raya

Haina memberi seutas gelang emas sempena hari jadi ibunya.

SETIAP insan bergelar ibu pasti mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak walaupun dengan kemampuan mereka terbatas.

Pengorbanan itulah paling dikenang Haina Asykin Mohd Ismail, 30, yang tidak melupakan jasa ibunya berusaha untuk menggembirakan dia dan adik beradiknya sewaktu mereka kecil.

Sebagaimana diceritakan kepada mStar, ketika kecil, Haina dan adik-beradiknya hanya memakai emas sadur kerana cuma itu yang mampu diberikan ibu mereka, Normah Jamuri, 67. 

Tangkap layar video tular.

"Dulu mak saya bagi pakai emas Zhulian tu sebab nak bagi kami adik beradik merasa pakai barang kemas macam anak-anak orang lain, tapi dia tak mampu belikan yang tulen. 

"Setiap seorang diberi dua utas gelang, satu dengan design 'love' gantung dan satu lagi (bertatahkan) batu permata. Tapi gelang saya pakai tu tak bertahan lama.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak susah hati tengok ibu hangat bercinta... Sanggup gadai emas, berhabis duit gaji untuk kekasih ‘pilot’ luar negara

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa ‘salute’ anak kerja biasa-biasa menabung setahun demi hadiah ibu... Terbeliak tengok duit RM5,000 bayar barang kemas

"Mak cakap saya ganas, suka panjat pokok... jadi gelang tu cuma boleh pakai masa hari raya je. Sepanjang pakai pun banyak kali kena hantar kedai sebab patah dan rosak ," katanya.

Walaupun gelang itu tidak tahan lama, namun ia tetap menjadi kenangan yang berharga buatnya kerana aksesori itu melambangkan kasih sayang seorang ibu yang mahu melihat anak-anaknya gembira.

Kini, setelah bekerja sebagai Eksekutif Sumber Manusia di sebuah syarikat di Selangor, Haina mampu membalas jasa ibunya dengan cara yang lebih bermakna sebagai tanda penghargaan. 

Haina ketika beraya bersama ibu tersayang.

"Saya faham tak semua orang mampu membeli emas tulen 916... tetapi masa tu, sekurang-kurangnya kami adik-beradik dapat merasa memakai barang kemas seperti kanak-kanak lain. 

"Sekarang, setiap kali hari jadi mak, saya belikan dia barang kemas. Masa gaji pertama 2018, saya bagi dia cincin berharga RM1,000. Untuk tahun ni pula saya bagi mak gelang emas," jelasnya.

Momen pemberian gelang emas itu dirakam dalam satu video dan dimuat naik di TikTok sempena hari lahir ibunya, 18 Januari lalu yang kini mencecah lebih 500,000 jumlah tontonan. 

Jadi itu salah satu sebab kenapa saya pilih tahun ni bagi gelang tu.

HAINA ASYKIN

Namun ternyata, ada kisah sedih di sebalik pemberian anak keenam daripada tujuh beradik itu sebagai usaha menggembirakan insan tersayang.

"Saya beli masa harga jatuh, RM388 per gram. Sekitar RM11,000 termasuk upah percuma. Saya lega dapat balas balik jasa mak macam mana dia dia buat dekat kami dulu.

"Saya simpan duit dalam tempoh lama untuk hadiahkan gelang ni... nak gembirakan mak lepas kehilangan anak lelaki (abang Haina) pada Disember tahun lalu. 

"Jadi itu salah satu sebab kenapa saya pilih tahun ni bagi gelang tu. Tapi saya faham kalau dia masih bersedih sebab kata mak, hilang anak tu tak ada penggantinya," jelasnya.

Haina (kiri) dan adik beradik ketika beraya di rumah ibunya.

Menyentuh mengenai trend pemakaian barang kemas sadur pada hari raya, Haina berkata ia bukanlah sesuatu perkara yang memalukan bagi sesiapa pun.

Tambahnya lagi, apa yang lebih penting adalah nilai sentimental dan kenangan di sebalik setiap barang kemas yang dimiliki. 

"Bagi saya, tak perlu malu pakai emas Zhulian. Sekarang pun sudah banyak design cantik-cantik dan lebih tahan lasak. Setahu saya, sekarang pun harga sudah lagi mahal berbanding dulu.

"Sesuai je nak bagi budak-budak pakai. Lagi-lagi yang jenis lasak dan tak boleh duduk diam macam saya masa kecil dulu. Kalau hilang pun tak ada la rasa terkilan sangat macam emas betul kan," ujarnya lagi.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain