SETIAP kali tibanya bulan Syawal, antara perkara yang mencuri tumpuan sudah tentunya gelagat kanak-kanak kecil mengutip duit raya.
Kali ini, seorang pemuda berkongsi pengalaman didatangi sekumpulan kanak-kanak yang datang beraya ke rumahnya tanpa ditemani ibu bapa mereka atau orang dewasa.
Malah tetamu cilik itu dengan selamba meluru masuk ke ruang tamu rumah tanpa mengetuk pintu atau menunggu keizinan tuan rumah.
"Rumah saya jenis rumah kampung yang sebuah-sebuah tu. Tengah leka kemas, tiba-tiba dengar orang bagi salam. Saya tengok luar, kereta tak ada dan tak nampak orang pun.
Kunjungan tiga orang kanak-kanak itu hanya mahu memungut duit raya.
"Sekali apabila saya ke ruang tamu, rupanya ada budak lelaki dua orang, budak perempuan seorang, umur dalam 8 hingga 10 tahun. Mereka dah siap duduk atas sofa rumah saya," ujarnya menerusi media sosial.
Tergamam dengan apa yang berlaku, pemuda itu segera menegur perbuatan kanak-kanak tersebut dan mengarahkan mereka pulang kerana bimbang sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Bagaimanapun tanpa berdalih, salah seorang daripada kanak-kanak itu terus meminta duit raya daripadanya dengan alasan mereka malas menunggu dan penat berjalan keliling kawasan perumahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah tunggu dalam kereta, singgah setiap rumah biar anak ‘kerja’ kutip duit raya - “Dah macam sindiket”
ARTIKEL BERKAITAN: Geram layan tetamu Gen Z, datang beraya ‘demand’ macam-macam... Tuan rumah terus tak jadi hidang pencuci mulut
"Saya pun tegur, mana boleh masuk rumah orang suka hati macam itu. Budak itu boleh jawab... ala bang, kitorang penat, bagi kitorang rehat sekejap.
"Saya terus cakap... dik, rumah ini ada baby, abang tengah tunggu orang datang ini. Adik balik ya. Tapi salah seorang daripada mereka terus tanya... bang, duit raya tak ada ke bang? Kitorang penat ini bang," jelasnya.
Paling penting, jangan sesuka hati masuk rumah orang walaupun pintu rumah itu terbuka luas.
PENGADU
Tambahnya lagi, dia akhirnya memberikan sampul duit raya kepada setiap seorang, namun tidak melepaskan peluang untuk menasihati mereka sebelum pulang.
"Sempatlah saya bagi nasihat sikit suruh mereka hati-hati, sebab kita tak tahu rumah siapa yang kita pergi, bahaya apa yang kita akan hadap.
"Paling penting, jangan sesuka hati masuk rumah orang walaupun pintu rumah itu terbuka luas,” kongsinya.
Komen netizen di media sosial.
Sementara itu, perkongsian tersebut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen yang rata-ratanya menyokong tindakan pemuda itu menegur dengan berhemah.
Malah netizen turut menyeru agar ibu bapa lebih peka dalam mendidik anak-anak tentang adab dan keselamatan semasa beraya.
"Lain kali kalau budak main masuk, bagitahu dia yang awak sudah lama tak makan gulai daging manusia. Baru dia takut.
"Bukan budak-budak saja, orang dewasa pun ramai yang macam itu. Ada juga jenis tak bagi salam.
"Budak-budak sebab akal tak panjang lagi, bolehlah kita nasihatkan lagi," komen netizen.