SEJAK keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diumumkan pada Khamis, media sosial meriah dengan perkongsian ramai mengenai pencapaian masing-masing.
Dalam kegembiraan ribuan calon meraikan keputusan yang diraih, video yang dikongsikan seorang gadis ini mengundang perhatian ramai, yang mana dia menerima wang tunai daripada ibu tersayang sebagai ganjaran atas pencapaian cemerlang.
"Ibu tunaikan janji on the spot," tulisnya pada ruangan kapsyen video tersebut.
Nur Maryam mendapat wang tunai daripada ibunya sebagai ganjaran di atas keputusan cemerlang.
Berkongsi cerita dengan mStar, gadis bernama Nur Maryam Baidurrie Nordin itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka namun bersyukur apabila memperoleh keputusan cemerlang sebagaimana yang disasarkan sebelum ini.
"Masa percubaan SPM, saya memperoleh 6A dan 2B. Ketika itu ibu hadiahkan RM50 untuk setiap A yang saya dapat. Kemudian ibu berjanji mahu hadiahkan RM100 untuk setiap A dalam peperiksaan SPM sebenar sebagai pemangkin semangat.
"Sebenarnya saya target dapat 8A tetapi tetap bersyukur tak terhingga dapat 7A 1B+. Saya akan membuat semakan semula, mana tahu jika ada rezeki... dapat 8A," ujar pelajar SMK Taman Mount Austin, Johor Bahru, Johor ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Berkat nenek baca Yasin di luar dewan peperiksaan, cucu raih keputusan SPM cemerlang - “Berjurai air mata sebab kau dik”
ARTIKEL BERKAITAN: “Macam mama dan baba juga” - Anak Fadhlina Sidek cemerlang SPM, beri kebebasan pilih jurusan
Nur Maryam mengakui tidak mudah untuknya meraih keputusan sedemikian memandangkan dia menghadapi sedikit kesukaran gara-gara terpaksa bertukar sekolah aliran Bahasa Inggeris kepada aliran Bahasa Melayu ketika memasuki tingkatan empat.
"Sudah tentu berbeza cara pengajarannya dan saya agak struggle untuk menyesuaikan diri dengan pengajaran dalam Bahasa Malaysia.
"Tapi saya ambil inisiatif dengan menghadiri kelas tuisyen untuk mantapkan penguasaan Bahasa Malaysia. Selain itu, kalau tak faham, cepat-cepat tengok kamus dwi-bahasa.
"Pokok pangkalnya, usaha keras dan usah cepat putus asa. Alhamdulillah usaha selama ini berbayar. Mengalir juga air mata gembira," ujarnya.
Saya anak tunggal. Melihat ibu ayah bekerja keras untuk saya, makin membuak-buak perasaan untuk membalas setiap pengorbanan yang dicurahkan.
NUR MARYAM BAIDURRIE NORDIN
Ditanya perancangan seterusnya, Nur Maryam berkata dia berhasrat melanjutkan pengajian dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan mahu menggapai cita-cita menjadi seorang pensyarah.
"Ibu dan ayah menyokong saja impian saya. Merekalah pendorong utama saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Mereka bekerja keras demi memastikan saya mendapat pendidikan dan kehidupan yang baik.
"Tambahan pula saya anak tunggal. Melihat ibu ayah bekerja keras untuk saya, makin membuak-buak perasaan untuk membalas setiap pengorbanan yang dicurahkan," ujarnya lagi.
Bersama Guru Penolang Kanan Hal Ehwal Murid (kiri), Pengetua (tengah) dan guru kelas (kanan).
Tidak menyangka perkongsian videonya meraih lebih 800,000 jumlah tontonan, Nur Maryam berkata dia sekadar mahu mengabadikan momen tersebut sebagai antara kenangan terindah dalam hidupnya.
"Terima kasih kepada guru-guru dan rakan-rakan yang berada di samping saya selama ini. Kepada yang kurang bernasib baik, usah sedih atau putus asa. SPM hanyalah permulaan.
"Kepada calon batch 08 pula, teruskan berusaha untuk menggapai impian dan banggakan guru serta ibu bapa," akhirinya.