suria

Kediaman Sekunder Dapat Momentum Pada 2014

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah kediaman sekunder akan menyaksikan lebih momentum pada 2014 berbanding pasaran utama, demikian menurut Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

Pasaran kediaman dalam tempoh enam bulan pertama akan tenang berikutan langkah-langkah pengawalan yang diperkenalkan kerajaan, tetapi momentum akan meningkat pada separuh kedua tahun ini terutama pasaran sekunder, kata Presiden MIEA Siva Shanker.

Ini kerana pelupusan Skim Berfaedah Pemaju (DIBS) yang mengurangkan daya tarikan projek kediaman utama kepada pembeli, katanya pada sidang media anjuran MIEA mengenai prospek pasaran hartanah 2014 pada Isnin.

Dalam Bajet 2014, kerajaan melupuskan DIBS, yang mana pemaju membayar bayaran faedah bagi pinjaman pembeli semasa pembinaan hartanah, dilihat sebagai insentif untuk spekulasi. 

Pasaran utama merujuk kepada hartanah yang baharu dilancarkan manakala pasaran sekunder adalah unit terpakai. 

"Ramai orang dijangkakan membeli hartanah sekunder berikutan secara amnya, ia 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding projek yang baharu dilancarkan," kata Shanker.

Daripada semua urus niaga harta kediaman pada 2012, hanya 20 peratus adalah unit utama manakala selebihnya sekunder, katanya yang mengunjurkan jualan unit utama menurun kepada 15 peratus tahun ini. 

MIEA mengunjur pasaran kediaman tahun depan akan 'perlahan tetapi stabil' sebelum meningkat dengan kukuh pada 2016.

"Kesukaran utama kepada pasaran hartanah tahun depan adalah pengenalan GST, yang boleh mewujudkan kenaikan harga," kata Shanker, merujuk kepada cukai barangan dan perkhidmatan yang akan dilaksanakan pada April 2015.

 "Jika kerajaan mula mendidik masyarakat mengenai GST sekarang, pasaran akan bertindak balas dengan baik kepada sistem cukai baharu itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sapurakencana Lancar PSLV Kedua

Artikel Lain