suria

MAS Tawar Jualan Lima Hari Ke Destinasi Terpilih

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) kini menawarkan tambang dan pakej menarik ke beberapa destinasi terpilih menerusi jualan lima hari yang diadakan sempena Pameran Perjalanan Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada Mac.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, syarikat penerbangan negara itu berkata tawaran itu adalah bagi perjalanan dari 28 Feb hingga 31 Mei, 2014.

Jualan selama lima hari itu bermula pada 24 Feb dan berakhir Jumaat ini.

Naib Presiden Kanan Serantau Malaysia Datuk Muzammil Mohamad berkata tawaran perjalanan lima hari itu menyediakan peluang kepada pelanggan untuk meneroka destinasi terbaik tanpa kos tambahan atau tersembunyi.

Tambang kelas ekonomi ke Taipei, Shanghai dan Beijing bermula daripada RM999. 

Semua tambang pergi balik untuk ke Asia Selatan seperti Kochi bermula daripada RM809, Mumbai RM1130 dan Kathmandu bermula daripada RM1199. 

Memandangkan Australia kini menjadi pilihan ramai, MAS menawarkan pelanggan untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Sydney, Melbourne, Perth dan Darwin dalam kelas ekonomi bermula serendah RM1099, pergi balik.

Selain itu, cabang perjalanan MAS, Golden Holidays, menawarkan beberapa pakej menarik - empat malam pakej jelajah Beijing daripada RM2071, empat malam pakej lawatan bandar Darwin daripada RM2589 dan pakej tiga malam ke Kathmandu daripada RM2369. 

 "Malaysia Airlines sentiasa komited untuk menyediakan tawaran perjalanan hebat dengan menawarkan jenama dan pengalaman layanan mesra MAS kepada pelanggan," kata Muzammil.

Tambang yang ditawarkan termasuk cukai lapangan terbang, surcaj, peruntukan bagasi 30 kilogram dan satu bagasi kabin sehingga 7 kilogram. 


mas, matta fair, malaysia airlines

Artikel Sebelum

Artikel Lain