suria

Singapura Disenarai Bandar Paling Mahal Di Dunia

PETALING JAYA: Jika anda fikir tinggal di Paris, London, Tokyo atau New York adalah mahal, tunggu sehingga anda menyeberangi tambak Johor!

Rakyat Malaysia berkemungkinan besar akan berfikir dua kali sekarang sebelum bercuti di Singapura selepas 'The Economist Intelligence Unit' (EIU) menyenaraikan republik itu sebagai bandar yang paling mahal di dunia untuk didiami.

Dalam laporan kajian dwi-tahunan 'Worldwide Cost of Living 2014, kos hidup di bandar raya itu semakin meningkat dari 10 tahun lalu apabila ia telah disenaraikan sebagai ke-18 yang paling mahal.

"Sejak sedekad yang lalu, 40 peratus kenaikan mata wang, ditambah pula dengan kadar inflasi harga yang kukuh, telah secara konsisten menolak Singapura ke ranking teratas," kata laporan itu.

Untuk meletakkan sesuatu harga ke dalam perspektif, kos pengangkutan di Singapura adalah hampir tiga kali ganda daripada New York, bandar yang paling mahal di Amerika Utara.

Laporan itu juga menjelaskan bahawa pergantungan pulau itu terhadap negara-negara lain bagi keperluan asas seperti tenaga dan air telah menyebabkan perlambungan kos utiliti.

Sembilan bandar lain yang menduduki tempat teratas dalam senarai paling mahal di dunia itu ialah Paris, Perancis (kedua); Oslo, Norway (ketiga); Zurich, Switzerland (keempat); Sydney, Australia (kelima); Caracas, Venezuela (keenam); Geneva, Switzerland (ketujuh); Melbourne, Australia (kelapan); Tokyo, Jepun (kesembilan) dan Copenhagen, Denmark (10).

Bagi mereka yang mempunyai bajet terhad, ini adalah masa untuk melawat Mumbai yang dikatakan menjadi bandar yang paling murah.

Bandar-bandar lain yang disenaraikan sebagai 10 paling berpatutan adalah Karachi, Pakistan, New Delhi, India, Damsyik, Syria, Kathmandu, Nepal, Algiers, Algeria, Bucharest, Romania, Panama City, Panama dan bandar-bandar Arab Jeddah dan Riyadh.

singapura, mahal, kos, di dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain