SINGAPURA: Insiden pesawat hilang tidak akan memberikan impak jangka panjang ke atas prospek pertumbuhan Malaysia Airlines, kata Ketua Ekonomi dan Strategi Pelaburan AMP Capital Investors, Dr Shane Oliver. Beliau berkata, kejadian seperti itu sudah pasti negatif kepada syarikat penerbangan itu dalam jangka pendek berikutan siasatan dan publisiti negatif. "Namun, jika syarikat penebangan itu mematuhi semua aspek keselamatan dan/atau membetulkan masalah dengan segera, saya tidak jangka ia akan memberi kesan berpanjangan ke atas prospek pertumbuhannya," katanya kepada Bernama. Oliver berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita asing bahawa insiden itu akan memberikan tamparan hebat ke atas Malaysian Airlines, yang mengalami kerugian selama bertahun-tahun ketika terus berusaha mengatasi saingannya seperti AirAsia. Bagi tahun kewangan berakhir 2013, MAS mencatat kerugian bersih RM1.173 bilion berbanding RM432.58 juta pada tahun sebelumnya. Hasil meningkat 9.9 peratus kepada RM15.12 bilion berbanding RM13.75 bilion. Pesawat MH370 membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.